Kisah Pembunuhan Kejam Keluarga Nozu di Takarazuka

Pada pagi 4 Jun 2020 bertempat di sebuah kawasan kejiranan yang tenang di Bandar Takarazuka, Wilayah Hyogo, Jepun telah dikejutkan dengan satu kejadian pembunuhan yang ngeri dan luar biasa. Seorang pemuda berusia 23 tahun iaitu Hideaki Nozu telah bertindak nekad menyerang ahli keluarganya sendiri menggunakan senjata busur silang (crossbow).
Konflik ini berakar umbi daripada dinamika keluarga Nozu yang sangat kompleks. Hideaki tinggal bersama ibunya, Mayumi (47 tahun), adiknya, Hideyuki (22 tahun) dan neneknya, Yoshimi (75 tahun). Hampir kesemua ahli keluarga ini termasuk Hideaki sendiri disahkan menghidap gangguan perkembangan saraf seperti Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dan ADHD. Walaupun mereka tinggal sebumbung, Hideaki berasa dirinya terasing. Dia menyimpan dendam yang mendalam terhadap ibunya yang dianggap tidak cekap menguruskan rumah tangga selain berasa cemburu terhadap adiknya yang dilihat lebih berjaya dalam kehidupan berbanding dirinya yang tercicir daripada universiti.

Rancangan pembunuhan ini dilakukan dengan penuh teliti dan dingin. Hideaki dilaporkan membeli dua unit busur silang secara dalam talian dan melakukan latihan sasaran menggunakan blok-blok konkrit di kawasan tempat letak kereta untuk memastikan serangannya tepat dan maut. Dia juga mengkaji sejarah peperangan dunia untuk memahami psikologi menarik picu tanpa ragu" terhadap sasaran manusia. Baginya, pembunuhan ini merupakan satu jalan pintas untuk dia dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah sekali gus mengakhiri penderitaan hidupnya.

Pada hari kejadian, serangan bermula pada waktu tengah malam apabila Hideaki menembak neneknya, Yoshimi di bahagian kepala ketika warga emas itu bangun untuk ke tandas. Beberapa jam kemudian, dia menyerang adiknya, Hideyukinyang sedang memberus gigi di bilik air. Lebih kejam yakni setelah menyedari adiknya masih bernafas selepas dua jam, Hideaki melepaskan tembakan kedua tepat ke arah kepala adiknya untuk memastikan kematiannya. Ibu saudaranya yang datang melawat kemudian turut menjadi sasaran. Walau bagaimanapun, ibu saudaranya itu terselamat kerana topi keledar basikal yang dipakainya telah memesongkan sedikit arah anak panah tersebut. Mangsa terakhir ialah ibunya, Mayumi yang dipanggil pulang ke rumah dengan alasan urusan dokumen universiti sebelum ditembak sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.

Ibu saudara Hideaki yang mengalami kecederaan parah di leher berjaya melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta bantuan yang membawa kepada penangkapan Hideaki di lokasi kejadian. Di mahkamah, pendedahan yang menyayat hati berlaku apabila ibu saudaranya menyatakan bahawa keluarga tersebut sebenarnya sangat menyayangi Hideaki dan tidak pernah berniat untuk meminggirkannya. Hideaki sendiri yang memilih untuk menutup pintu hatinya. Pada Oktober 2025, Mahkamah Daerah Kobe menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Hideaki. Walaupun tindakannya sangat zalim, mahkamah mengambil kira keadaan mentalnya (ASD) sebagai faktor yang mempengaruhi pertimbangannya semasa kejadian tersebut.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Keluarga Nozu di Takarazuka"