Kisah Misteri Kehilangan Megumi Yokota

     Kisah ini bermula pada petang yang dingin, 15 November 1977 di bandar pesisir pantai Niigata, Jepun. Megumi Yokota, seorang remaja perempuan yang baru berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat latihan badminton di sekolahnya. Megumi hanya berada kira-kira 700 meter dari pintu rumahnya apabila dia tiba-tiba lenyap tanpa sebarang jejak. Kehilangan mengejutkan ini mencetuskan operasi mencari dan menyelamat yang besar oleh pihak polis Jepun. Walau bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk fizikal, saksi mahupun motif penculikan yang ditemui pada ketika itu. Selama dua dekad, ibu bapanya iaitu Shigeru dan Sakie Yokota hidup dalam penderitaan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung.

     Rahsia di sebalik kehilangan Megumi hanya mula terbongkar pada penghujung tahun 1990-an menerusi pendedahan daripada pembelot Korea Utara. Terbongkar bahawa Megumi sebenarnya telah diculik oleh ejen rahsia Korea Utara yang diarahkan oleh rejim Kim Il-sung. Dia telah disumbat ke dalam ruang simpanan gelap di dalam bot lalu dibawa merentasi Laut Jepun menuju ke Korea Utara. Tujuan utama penculikan tersebut adalah sangat kejam di mana Megumi dipaksa menjadi guru bahasa dan budaya Jepun kepada bakal pengintip Korea Utara supaya mereka boleh menyamar sebagai warga Jepun dengan sempurna bagi tujuan sabotaj dan pengintipan antarabangsa.

     Kemuncak kepada kontroversi ini berlaku pada tahun 2002 semasa sidang kemuncak bersejarah di Pyongyang antara Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il. Menerusu satu pengakuan yang mengejutkan, Kim Jong-il akhirnya mengakui bahawa ejen negaranya telah menculik 13 warga Jepun (angka yang dipertikaikan oleh Jepun yang percaya jumlahnya lebih tinggi) bagi tujuan latihan pengintipan. Kegembiraan keluarga mangsa bagaimanapun bertukar menjadi duka apabila pihak Korea Utara mendakwa bahawa Megumi Yokota telah meninggal dunia pada Mac 1994 (kemudian diubah kepada 1993) akibat membunuh diri selepas mengalami kemurungan yang teruk di hospital mental.

     Ketidakpercayaan pihak Jepun terhadap dakwaan kematian tersebut semakin memuncak apabila Korea Utara menyerahkan abu mayat yang didakwa milik Megumi pada tahun 2004. Hasil ujian DNA forensik yang dijalankan oleh pakar dari Universiti Teikyo mendapati bahawa abu tersebut mengandungi DNA daripada dua individu berbeza yang langsung tidak sepadan dengan Megumi. Penemuan ini menguatkan keyakinan keluarga Yokota serta kerajaan Jepun bahawa Korea Utara sedang berbohong dan kemungkinan besar Megumi masih hidup. Dia berkemungkinan besar tidak dibenarkan pulang kerana mungkin memiliki rahsia negara yang terlalu sensitif.

     Sepanjang tempoh tawanan, Megumi dilaporkan telah berkahwin dengan seorang lelaki Korea Selatan bernama Kim Young-nam yang juga merupakan mangsa penculikan. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Kim Eun-gyong. Pada Mac 2014, satu pertemuan yang sangat menyayat hati telah diatur di Ulaanbaatar, Mongolia. Di situ, Shigeru dan Sakie akhirnya dapat bertemu dan memeluk cucu mereka buat pertama kali. Walaupun Megumi tidak hadir dalam pertemuan itu, kehadiran cucunya memberikan sedikit kelegaan emosi kepada pasangan warga emas tersebut walaupun perjuangan mereka untuk melihat wajah anak kandung sendiri tetap diteruskan.

     Walaupun Shigeru Yokota telah meninggal dunia pada Jun 2020 tanpa sempat bersatu semula dengan anaknya, semangat perjuangan itu kini diteruskan oleh Sakie yang sudah menjangkau usia 90-an bersama dua adik kembar Megumi, Takuya dan Tetsuya.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan Megumi Yokota "