Kisah Pembunuhan Kejam Noor Mukadam

Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di Islamabad, Pakistan. Noor Mukadam, seorang wanita berusia 27 tahun merupakan anak kepada Shaukat Mukadam, seorang bekas diplomat Pakistan. Disebabkan kerjaya bapanya, Noor membesar dalam persekitaran yang serba mewah dan berpendidikan tinggi. Malah dia menghabiskan sebahagian besar masa remajanya di Dublin, Ireland sebelum kembali semula ke Pakistan. Noor dikenali sebagai seorang wanita yang lemah lembut, berbakat dalam bidang seni kreatif dan fesyen serta mempunyai personaliti yang sangat disenangi oleh rakan-rakan di dua benua.
Kejadian ini bermula daripada hubungan Noor dengan Zahir Jaffer, seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga berasal daripada keluarga korporat yang sangat berpengaruh dan kaya di Islamabad. Zahir merupakan warganegara Pakistan-Amerika yang mempunyai rahsia gelap yang tidak diketahui Noor. Zahir sebenarnya mempunyai sejarah gangguan seksual serta tingkah laku ganas di Amerika Syarikat dan United Kingdom di mana dia pernah dihantar pulang dari UK atas tuduhan serangan seksual. Walaupun hubungan mereka yang terjalin sejak 2018 sering kali diwarnai dengan sikap Zahir yang panas baran dan toksik, Noor tetap memberikan kepercayaan kepadanya tanpa menyedari bahawa dia sedang berhadapan dengan seorang pemangsa yang berbahaya.

Kehadiran Noor di rumah Zahir pada malam 18 Julai 2021 bermula apabila Zahir memanggil dan meminta Noor untuk datang bertemu dengannya di kediaman mewah keluarga Jaffer. Tanpa sebarang rasa curiga, Noor datang secara sukarela. Namun di sebalik pertemuan itu, Zahir telah merancang sesuatu secara rahsia. Dia telah menempah dua tiket penerbangan ke New York dengan niat untuk melamar Noor pada malam tersebut. Zahir beranggapan bahawa jika Noor menerima lamarannya, mereka akan terus terbang ke luar negara untuk memulakan kehidupan baru.
Walau bagaimanapun, keadaan berubah menjadi ngeri apabila Noor menolak lamaran perkahwinan tersebut. Noor yang sudah sedia maklum akan sikap buruk Zahir sepanjang tiga tahun perkenalan mereka tidak mempunyai niat untuk berkahwin dengan lelaki itu. Penolakan ini telah menghancurkan ego Zahir yang sangat tinggi. Dia bukan sahaja membatalkan tiket penerbangan tersebut dengan penuh kemarahan malah mula bertindak agresif. Noor yang pada mulanya datang sebagai tetamu akhirnya menjadi tahanan di dalam rumah tersebut. Rakaman CCTV kemudiannya mendedahkan detik-detik cemas Noor cuba melarikan diri beberapa kali termasuk tindakan nekad terjun dari balkoni tingkat dua. Dia bagaimanapun diheret semula masuk ke dalam rumah oleh Zahir dengan kasar sambil disaksikan oleh kakitangan rumah yang tidak menghulurkan sebarang bantuan.

Selepas dikurung dan diseksa selama dua hari, kemuncak keganasan berlaku pada 20 Julai 2021. Zahir yang berada dalam keadaan hilang pertimbangan telah menembak, menikam dan akhirnya memancung kepala Noor. Selepas melakukan perbuatan kejam tersebut, Zahir dilaporkan menghubungi bapanya, Zakir Jaffer namun bukan untuk menyerah diri. Dia sebaliknya dipercayai untuk mencari jalan keluar. Pihak polis akhirnya menyerbu rumah tersebut selepas menerima laporan mengenai gangguan mental Zahir sebelum menemui mayat Noor dalam keadaan yang sangat ngeri. Zahir ditangkap di tempat kejadian selepas cuba menyerang pihak berkuasa dengan pisau.

Keadilan akhirnya ditegakkan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Zahir Jaffer pada Februari 2022 atas kesalahan membunuh. Selain itu, dua orang pengawal keselamatan rumah tersebut turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana bersubahat membiarkan jenayah itu berlaku di depan mata mereka tanpa melaporkannya kepada polis.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Noor Mukadam"