Kisah Pembunuhan Kejam Wiwin Wintarsih

Pada penghujung tahun 2023 bertempat di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia, seorang gadis muda bernama Wiwin Wintarsih telah dibunuh dengan kejam oleh teman lelakinya sendiri. Wiwin yang berusia 19 tahun pada waktu kejadian merupakan seorang gadis dari keluarga sederhana di Ciamis. Selepas menamatkan pengajian di Madrasah Aliyah, dia memilih untuk bekerja sebagai kakitangan swasta bagi membantu meringankan beban kewangan keluarganya. Wiwin digambarkan sebagai seorang yang sangat menyayangi keluarganya dan setia dalam perhubungan.
Di satu pihak lagi, kekasihnya iaitu Herdis Permana (20 tahun) adalah seorang mahasiswa jurusan Ilmu Tasawuf di sebuah universiti tempatan. Kedudukan Herdis di mata orang ramai sangat dipandang tinggi kerana dia merupakan anak kepada seorang ustaz yang disegani di kampungnya. Sebagai pelajar dalam bidang kerohanian Islam, Herdis dikenali sebagai pemuda yang alim dan berakhlak mulia. Namun di sebalik itu, tersimpan rahsia hubungan gelap selama empat tahun yang akhirnya membawa kepada kejadian darah.
Segalanya bermula pada November 2023 apabila Wiwin memaklumkan kepada Herdis bahawa dia tidak datang haid selama dua bulan dan sering berasa mual. Ketakutan Wiwin terhadap kemungkinan dirinya hamil membuatkan dia mendesak Herdis untuk bertanggungjawab. Bagi Herdis, berita itu adalah satu bencana. Dia yang masih belajar dan memikul beban nama baik bapanya sebagai tokoh agama berasa terdesak. Walaupun Herdis cuba memujuk Wiwin untuk menggugurkan kandungan tersebut, Wiwin dengan tegas menolaknya. Penolakan ini mencetuskan rasa panik yang melampau dalam diri Herdis. Herdis Bukannya mencari jalan keluar yang diredai, dia sebaliknya mula merancang sesuatu yang jahat untuk melenyapkan Wiwin demi menutup aibnya.

Pada 29 November 2023, Herdis telah mempersiapkan senjata di dalam begnya seperti kerambit dan sebatang kayu pemukul. Selepas waktu kuliah, dia menjemput Wiwin sebelum membawa mangsa ke sebuah kawasan terpencil di Kampung Putaran Kaler, Tasikmalaya. Di kawasan semak yang sunyi itu, perbincangan mereka berakhir dengan pertengkaran hebat. Herdis yang seakan sudah dirasuk syaitan bertindak di luar kemanusiaan. Dia memukul tengkuk dan kepala Wiwin dengan kayu pemukul sebanyak lima kali sehingga kayu tersebut patah.
Apabila menyedari mangsa masih bernyawa dan meronta kesakitan, Herdis mengeluarkan kerambit lalu menikam dada serta mengelar leher mangsa berkali-kali sehingga Wiwin menghembuskan nafas terakhir. Selepas melakukan perbuatan keji itu, Herdis dengan tenang kembali ke kampus untuk menyambung kuliah seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia bahkan sempat mencuci pakaiannya yang terkena darah setibanya di rumah.
Mayat Wiwin ditemui pada petang hari yang sama oleh seorang pencari barang lusuh yang pada mulanya menyangka jasad itu hanyalah sebuah boneka. Penemuan itu segera dilaporkan kepada pihak polis. Melalui hasil siasatan forensik dan keterangan saksi, pihak berkuasa berjaya menahan Herdis di rumahnya dalam tempoh kurang dari 12 jam.

Pada Mei 2024, Mahkamah Negeri Tasikmalaya menjatuhkan hukuman mati ke atas Herdis Permana kerana terbukti melakukan pembunuhan terancang mengikut Pasal 340 KUHP. Hakim menyifatkan perbuatannya sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun selepas melalui proses rayuan di Mahkamah Tinggi Bandung pada Julai 2024, hukuman tersebut telah diringankan kepada penjara seumur hidup. Hakim rayuan mengambil kira faktor usia Herdis yang masih muda, pengakuannya yang menyesal dan rekodnya yang belum pernah dihukum sebelum ini sebagai alasan untuk tidak mengekalkan hukuman mati.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Wiwin Wintarsih "