Kisah Wanita yang Nekad Terjun Tingkat 6 Demi Melarikan Diri Daripada Pemangsa.

     Kes ini berlaku pada 27 Mei 2019 di Suncheon, Wilayah Jeolla Selatan, Korea Selatan. Kisah ini bermula di sebuah kompleks apartmen pada awal pagi yang tenang. Mangsa, seorang wanita yang dikenali sebagai Yuna (nama samaran) merupakan seorang guru tuisyen yang sedang merancang hari perkahwinannya.

     Kehidupan Yuna bagaimanapun berubah menjadi ngeri apabila pintu rumahnya diketuk sekitar jam 5:00 pagi. Di sebalik pintu itu berdiri seorang lelaki bernama Jung yang juga merupakan rakan sekerja kepada tunang Yuna. Menggunakan alasan kononnya tunang Yuna sedang dalam kecemasan, Jung berjaya memperdaya mangsa untuk membuka pintu sebelum dia bertindak menceroboh dan menyerang mangsa dengan niat untuk merogol.

     Yuna yang dalam keadaan cemas dan terdesak untuk melindungi kehormatannya telah melakukan satu tindakan yang sangat nekad. Dia berjaya melepaskan diri seketika berlari ke arah balkoni di tingkat enam lalu terjun ke bawah. Mangsa lebih rela berhadapan dengan risiko kematian daripada menjadi mangsa kerakusan Jung. Walau bagaimanapun, takdir tidak menyebelahi Yuna apabila dia jatuh di atas kawasan tanaman yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah namun masih bernyawa.

     Apa yang menjadikan kes ini sangat luar biasa kejamnya adalah tindakan susulan Jung. Selepas menyedari mangsa terjun, Jung tidak melarikan diri. Dia sebaliknya memakai pakaian tambahan milik tunang mangsa dan menutup mukanya dengan tuala putih untuk mengaburi kamera litar tertutup (CCTV). Jung turun ke tingkat bawah di mana dia menemui Yuna yang sedang mengerang kesakitan. Jung bukannya memanggil ambulans tetapi sebaliknya mendukung mangsa kembali ke dalam lif untuk dibawa semula ke apartmen tingkat enam. Rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa terkulai layu dalam dokongan Jung di dalam lif menjadi bukti paling memilukan dalam kes ini.

     Sekembalinya mereka ke dalam rumah, Jung tetap meneruskan niat jahatnya dengan melakukan serangan seksual terhadap Yuna yang dalam keadaan lemah tidak berdaya. Selepas memuaskan nafsu serakahnya, Jung bertindak mencekik mangsa sehingga mati bagi memastikan tiada saksi yang tinggal. Dia kemudian sempat membersihkan serba sedikit kesan jenayah dan meninggalkan lokasi melalui tangga bagi mengelakkan wajahnya dirakam sekali lagi di dalam lif.

     Penangkapan Jung berlaku dengan pantas hasil kerjasama tunang mangsa yang mengenali susuk tubuh Jung melalui rakaman CCTV. Siasatan mendapati Jung bukanlah orang asing dalam sistem kehakiman. Dia mempunyai dua rekod sabitan jenayah seksual lampau dan telah menghabiskan masa selama 10 tahun di dalam penjara. Sewaktu melakukan pembunuhan kejam ini, Jung sebenarnya sedang dalam pemantauan pihak berkuasa dan memakai gelang kaki elektronik. Hal ini mencetuskan gelombang kemarahan rakyat Korea Selatan yang menuntut agar sistem pemantauan tersebut dikaji semula kerana ia terbukti gagal menghalang jenayah dalam jarak yang dekat dengan kediaman mangsa.

     Meskipun terdapat petisyen yang ditandatangani oleh ratusan ribu rakyat Korea menuntut hukuman mati, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Jung.

Catat Ulasan for "Kisah Wanita yang Nekad Terjun Tingkat 6 Demi Melarikan Diri Daripada Pemangsa."