Kisah Pembunuhan Kejam Aya Al-Sharbini

     Kisah ini bermula di Isbet Kafer Dawoud, sebuah kawasan di bawah pentadbiran Gabenor Gharbia, Mesir. Pada 28 April 2023, suasana di sana penuh dengan kegembiraan dan bunyi paluan gendang bagi meraikan majlis perkahwinan Aya Al-Sharbini, seorang guru tadika berusia 25 tahun. Aya yang dikenali sebagai seorang wanita yang berpelajaran, berbudi bahasa dan sangat disenangi oleh penduduk setempat kelihatan anggun bak puteri dalam persalinan putihnya. Cuma di sebalik senyuman di pelamin, tersembunyi sebuah keraguan yang akhirnya membawa kepada kejadian pembunuhanannya.


     Aya sebenarnya telah bertunang dengan Ahmed Gamal, seorang pekerja jualan selama tiga tahun bermula dari tahun 2020. Sepanjang tempoh pertunangan tersebut, Aya kerap meluahkan rasa tidak selesa dan bimbang kepada ibunya mengenai keperibadian Ahmed. Namun atas dasar hormat kepada keluarga dan pujukan abangnya, Hazem yang menyangka Ahmed adalah calon suami yang stabil dan bertanggungjawab, Aya akhirnya akur untuk meneruskan perkahwinan tersebut. Keputusan itu rupa-rupanya menjadi titik mula kepada mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun.

     Hanya dua hari selepas bergelar isteri yakni pada 30 April 2023, mayat Aya yang terbujur kaku telah ditemui di dalam apartmen mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Tubuh mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman yang luar biasa banyaknya. Hasil siasatan awal mendapati Ahmed telah menyerang Aya menggunakan pisau dapur secara tiba-tiba. Apa yang lebih memilukan, laporan forensik mendedahkan terdapat lebih daripada 35 kesan tikaman pada tubuh Aya termasuk di bahagian leher, belakang badan dan jari-jemarinya juga putus akibat cuba mempertahankan diri daripada serangan rakus suaminya itu.

     Semasa disoal siasat oleh pihak polis, Ahmed pada mulanya cuba memutarbelitkan fakta demi menyelamatkan diri. Lelaki itu mendakwa bahawa dia bertindak sedemikian kerana mendapati Aya tidak mempunyai dara pada malam pertama, sebuah tuduhan berat yang bertujuan untuk memburukkan reputasi mangsa di mata masyarakat konservatif. Walau bagaimanapun, kebenaran akhirnya terungkap apabila laporan forensik yang dikeluarkan pada 5 Mei 2023 mengesahkan bahawa Aya masih dara semasa dia dibunuh. Segala dakwaan Ahmed hanyalah rekaan semata-mata untuk menutup motif sebenar di sebalik tindakan kejamnya.

     Motif sebenar pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada konflik psikologi dan kecenderungan seksual pelaku yang luar biasa. Menurut keterangan ibu Aya, anaknya sempat membuat panggilan telefon sehari sebelum kejadian sambil menangis ketakutan. Aya menceritakan bahawa Ahmed menuntutnya melakukan perkara-perkara yang dianggap menyimpang dan tidak bermoral yang disifatkan Aya sebagai perbuatan kaum Luth. Keengganan Aya untuk menuruti kehendak luar tabii tersebut dipercayai telah membangkitkan kemarahan Ahmed yang akhirnya memilih untuk mengakhiri nyawa isterinya daripada melihat rahsia gelapnya terbongkar.

     Keadilan akhirnya ditegakkan apabila Mahkamah Jenayah Tanta menjatuhkan hukuman mati mandatori secara gantung terhadap Ahmed Gamal pada 19 Jun 2023. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Mufti Besar Mesir selaras dengan undang-undang Islam yang diamalkan. Walaupun Ahmed cuba mengemukakan rayuan, mahkamah menolak permohonan tersebut berdasarkan bukti-bukti kukuh bahawa pembunuhan itu dilakukan dengan niat dan perancangan teliti.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Aya Al-Sharbini"