Kisah Pembunuhan Thomas Merriman

Kes ini bermula pada awal Januari 2021 di sebuah bandar pesisir pantai yang tenang, Solana Beach, California. Thomas Merriman, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar yang berusia 64 tahun dilaporkan hilang oleh rakan-rakannya selepas dia langsung tidak kelihatan sejurus dibenarkan keluar dari hospital pada malam ambang tahun baharu. Di sisi lain, anak tirinya iaitu Jade Janks, seorang pereka dalaman yang dikenali dengan perwatakan yang tenang adalah individu terakhir yang dilihat bersama mangsa.
Hubungan antara Jade dan Thomas selama ini dianggap sangat akrab oleh penduduk setempat. Walaupun Thomas bukan bapa kandungnya, Jade merupakan individu utama yang menguruskan kebajikan dan kesihatan Thomas yang semakin merosot. Imej keakraban itu bagaimanapun hancur apabila pihak polis melakukan pemeriksaan mengejut di kediaman mereka pada 1 Januari 2021.

Pihak berkuasa kemudiannya menemui mayat Thomas Merriman disembunyikan di bawah timbunan sampah, palet kayu dan kadbod di kawasan luar rumahnya sendiri. Penemuan ini segera menukar status kes daripada laporan orang hilang kepada siasatan pembunuhan tahap pertama. Hasil laporan forensik mendedahkan punca kematian Thomas maut adalah disebabjan keracunan akut zolpidem (ubat tidur) dalam kuantiti yang sangat tinggi. Polis turut merampas telefon bimbit Jade dan menemui rentetan mesej teks yang dihantar kepada seorang rakan. Dalam mesej tersebut, Jade secara dingin menyatakan bahawa dia telah memberikan dos ubat yang besar kepada Thomas dan sedang menunggu kesannya berlaku.Berdasarkan bukti fizikal dan digital ini, Jade Janks telah ditahan dan didakwa atas pertuduhan merancang pembunuhan bapa tirinya.

Semasa perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi San Diego pada tahun 2022, pihak pembelaan cuba membina naratif bahawa Thomas yang mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan mungkin telah mengambil dos berlebihan secara tidak sengaja. Namun pihak pendakwaan mempunyai motif yang sangat kuat yang menjelaskan mengapa seorang anak tiri yang setia sanggup bertindak sedemikian kejam.
Inilah pendedahan yang menjadi titik tolak kes ini. Beberapa hari sebelum kejadian yakni semasa Thomas berada di hospital, Jade sedang membersihkan bilik Thomas dan secara tidak sengaja terlanggar komputer riba milik bapa tirinya itu. Skrin komputer tersebut sedang memaparkan sesuatu yang meruntuhkan maruah Jade iaitu gambarnya sendiri dalam keadaan bogel. Pemeriksaan forensik digital ke atas komputer tersebut menemui sebuah fail rahsia mengandungi lebih 1000 keping gambar bogel Jade Janks. Gambar-gambar itu diambil secara sembunyi oleh Thomas selama bertahun-tahun tanpa pengetahuan Jade termasuk gambar semasa Jade sedang tidur. Penemuan bahawa orang yang paling dipercayainya selama ini rupa-rupanya adalah seorang penghendap (stalker) telah mencetuskan kemarahan dan trauma yang tidak terkawal.

Walaupun juri dan orang awam bersimpati dengan pengkhianatan dahsyat yang dialami oleh Jade, sistem perundangan tetap berpegang kepada fakta bahawa Jade telah merancang pembunuhan tersebut secara sistematik dan menyembunyikan mayat mangsa.
Pada awal tahun 2023, hakim menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun hingga seumur hidup terhadap Jade Janks. Hakim menyatakan bahawa walaupun provokasi yang dialami Jade adalah sangat ekstrem, tindakan mengambil nyawa manusia tidak boleh dibenarkan di sisi undang-undang. Jade kini sedang menjalani hukuman tersebut di penjara negeri California.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Thomas Merriman"