Kisah Benar yang Lebih Ngeri dari Filem: Pembunuhan Kejam di Daerah Gochang


     Pada tanggal 25 Oktober 2000, sebuah kawasan luar bandar yang tenang di Daerah Gochang, Wilayah Jeolla Utara, Korea Selatan telah dikejutkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Choi Hye-in. Hye-in dilaporkan hilang selepas tamat waktu persekolahan. Mengikut keterangan, dia sepatutnya menunggu ibunya di satu lokasi pertemuan selepas bermain bersama rakan-rakan. Walau bagaimanapun, kelibatnya tidak kelihatan sehingga malam menjelma. Pencarian besar-besaran oleh pihak polis berakhir dengan penemuan yang menyayat hati pada pagi keesokannya di mana mayat Hye-in ditemui di atas sebuah kubur di kawasan pergunungan.



    Keadaan mayat Hye-in bukan sahaja memilukan tetapi juga sangat mengerikan. Kanak-kanak itu ditemui tanpa sebarang pakaian dan diletakkan dalam posisi mendepang tangan seolah-olah menyerupai bentuk salib. Siasatan forensik mendedahkan bahawa mangsa telah diserang secara seksual dan dicekik sehingga mati. Apa yang lebih meruntun jiwa, terdapat kesan kelaran yang sengaja dilakukan oleh pelaku pada bahagian sulit mangsa menggunakan senjata tajam. Disebabkan posisi mayat yang aneh dan simbolik itu, pihak polis pada mulanya mengesyaki kes ini mempunyai kaitan dengan ritual ajaran sesat atau kumpulan kultus.

​    Namun ketika siasatan sedang buntu, satu lagi kejadian ngeri berlaku hanya kira-kira dua bulan kemudian iaitu pada 19 Disember 2000. Seorang remaja perempuan sekolah menengah (16 tahun) dan adik lelakinya (13 tahun) telah diserang semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Pelaku yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Kim Hae-sun telah bertindak agresif dengan menolak kedua-dua mangsa ke dalam kawasan sawah padi sebelum mengheret mereka ke kawasan hutan yang sunyi. Di situ, dia telah mencekik adik lelaki mangsa sehingga pengsan dan melakukan serangan seksual terhadap kakaknya.


​     Tahap kekejaman Kim Hae-sun mencapai kemuncaknya dalam pembunuhan kedua ini. Selepas membunuh kedua-dua beradik tersebut, dia bukan sahaja mencederakan mayat mereka malah bertindak menghiris sebahagian daripada daging mangsa dan memakannya di lokasi kejadian. Dia juga sempat berehat dan menghisap rokok di sebelah mayat mangsa selama kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri. 

​     Pihak polis akhirnya berjaya menjejaki Kim Hae-sun melalui bukti fizikal berupa kesan tapak kaki yang sepadan di kedua-dua lokasi kejadian serta lakaran wajah dibuat berdasarkan keterangan saksi-saksi lain yang pernah dikekori oleh suspek. Semasa serbuan dilakukan di rumahnya, polis menemui bukti yang tidak dapat disangkal yakni sebilah pisau yang masih mempunyai kesan darah dan bungkusan daging mangsa yang disimpan di dalam beg plastik. Kim Hae-sun ditangkap secara rasmi pada hari berikutnya dan pengakuannya telah menggemparkan seluruh Korea Selatan.


     Latar belakang Kim Hae-sun mendedahkan kitaran keganasan yang panjang. Dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang toksik di mana bapanya sering mendera dan memukulnya sejak kecil. Tekanan ini menyebabkan Kim mula melepaskan kemarahan kepada haiwan ternakan sebelum beralih kepada manusia. Walaupun dia dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah pada Disember 2001, Korea Selatan telah melaksanakan moratorium (pemberhentian sementara) terhadap hukuman mati sejak tahun 1997. Disebab itu hingga pada hari ini, Kim Hae-sun masih menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.

Catat Ulasan for "Kisah Benar yang Lebih Ngeri dari Filem: Pembunuhan Kejam di Daerah Gochang"