Kisah Daniel Petric: Lakukan Pembunuhan Akibat Ketagih Permainan Video

     Kejadian pembunuhan ini berlaku pada tahun 2007 di Wellington, Ohio, Amerika Syarikat. Daniel Petric merupakan seorang remaja yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang sangat menitikberatkan nilai keagamaan di mana bapanya iaitu Mark Petric merupakan seorang paderi yang dihormati. 

     Kehidupan Daniel bagaimanapun mula berubah secara drastik selepas dia mengalami kecederaan lutut yang serius akibat jangkitan kuman yang menyebabkannya terpaksa berkurung di rumah dalam tempoh yang lama. Semasa dalam fasa pemulihan tersebut, Daniel mula ketagihh bermain konsol permainan video terutamanya judul Halo 3. Ketagihannya memuncak hingga dia dilaporkan mampu menghabiskan masa sehingga 18 jam sehari untuk bermain yang kemudiannya menyebabkan perubahan personaliti yang ketara dan mengasingkan dirinya daripada dunia luar.

     Menyedari impak negatif tersebut, Mark dan Susan Petric akhirnya mengambil tindakan tegas dengan merampas permainan video tersebut lalu disimpan di dalam sebuah peti besi dalam bilik tidur mereka. Tindakan ini bertujuan untuk memutuskan rantaian ketagihan Daniel namun ia tanpa disedari menjadi pemantik kepada tragedi. Di dalam peti besi yang sama, Mark turut menyimpan sepucuk pistol jenis Taurus 9mm untuk tujuan keselamatan. Pada malam 10 Oktober 2007, Daniel berjaya mencuri kunci peti tersebut. Dia bukannya sekadar mengambil semula cakera permainan video yang diingininya tetapi turut mengambil senjata api milik bapanya bersama beberapa kelopak peluru dengan niat yang sangat terpesong.

     Detik-detik pembunuhan itu berlaku dengan sangat licik dan kejam di ruang tamu rumah mereka. Daniel menghampiri kedua ibu bapanya. Menggunakan nada yang tenang, dia meminta mereka memejamkan mata kerana kononnya mahu memberikan satu kejutan. Tanpa rasa ragu, Mark dan Susan menuruti permintaan anak mereka. Dalam keadaan mata mereka tertutup, Daniel melepaskan tembakan tepat ke arah kepala ibunya, Susan yang mengakibatkan kematian serta-merta. Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah bapanya, mencederakan bahagian muka dan rahang Mark dengan serius. Dalam cubaan terdesak untuk melepaskan diri, Daniel cuba memalsukan bahan bukti dengan meletakkan pistol tersebut di tangan bapanya bagi memberi gambaran seolah-olah ia adalah kes bunuh diri atau pergaduhan suami isteri.

     Selepas kejadian tersebut, Daniel melarikan diri menggunakan van keluarga, sebuah Honda Odyssey, dengan membawa bersama cakera permainan video Halo 3 yang menjadi punca segala konflik. Walau bagaimanapun, pelariannya tidak bertahan lama. Meskipun mengalami kecederaan parah, Mark Petric secara ajaibnya masih sedar dan berjaya menghubungi talian kecemasan 911. Pihak polis yang menerima maklumat tersebut segera menyebarkan deskripsi van tersebut. Daniel berjaya dipintas serta ditahan di lebuh raya Interstate 80. Semasa ditahan, Daniel dilaporkan berada dalam keadaan bingung dan sempat bertanya kepada pegawai polis jika bapanya masih hidup, satu kenyataan yang kemudiannya digunakan oleh peguam bela untuk menunjukkan kekeliruan mental yang dialaminya.

     Semasa perbicaraan pada tahun 2009, hujah utama pihak peguam bela adalah bahawa Daniel mengalami psikosis permainan video yang menyebabkan dia gagal membezakan antara realiti dan simulasi, malah percaya bahawa ibu bapanya boleh hidup semula seperti karakter permainan. Namun Hakim James Burge memutuskan bahawa perancangan rapi Daniel membuktikan adanya niat membunuh. Daniel akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan peluang parol selepas 15 tahun. Meskipun menanggung parut fizikal dan emosi yang mendalam, Mark Petric menunjukkan kebesaran jiwa yang luar biasa dengan memaafkan Daniel sepenuhnya serta terus menyokong anaknya itu hingga pada hari ini.

Catat Ulasan for "Kisah Daniel Petric: Lakukan Pembunuhan Akibat Ketagih Permainan Video"