Kisah Pembunuhan Kejam Dina Wulandari

     Pada bulan Januari 2018 bertempat di Tebo, Jambi, Indonesia, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku yang melibatkan seorang gadis berusia 19 tahun yang dikenali sebagai Dina Wulandari.

​     Dina Wulandari dikenali oleh penduduk kampung sebagai seorang gadis yang sangat berbudi pekerti, rajin dan amat rapat dengan ibunya. Pada pagi Khamis, 25 Januari 2018, rutin harian Dina bermula seperti biasa apabila dia keluar rumah sekitar jam 7:00 pagi untuk menghantar adiknya ke sekolah dengan menunggang motosikal. Namun kebimbangan mula timbul apabila sehingga jam 1:00 tengah hari, Dina masih belum pulang ke rumah dan telefon bimbitnya gagal dihubungi. Pihak keluarga yang berasa tidak sedap hati segera memulakan pencarian bersama penduduk kampung di sekitar laluan yang sering dilalui mangsa.

     Pencarian tersebut akhirnya membawa kepada satu titik terang apabila penduduk menemui kesan tayar motosikal yang menghala tepat ke tebing Sungai Batanghari. Selain itu, penutup telefon bimbit milik Dina turut ditemui di kawasan semak berhampiran. Syak wasangka bahawa Dina telah jatuh ke dalam sungai semakin kuat sekali gus membuatkan penduduk kampung nekad melakukan aktiviti penyelaman di kawasan tersebut. Alangkah luluhnya hati pihak keluarga apabila penyelam berjaya mengesan sebuah motosikal di dasar sungai sedalam 5 meter. Apa yang lebih memilukan, tubuh Dina ditemui terikat erat pada motosikal tersebut menggunakan akar pohon dengan keadaan tangan, kaki dan lehernya turut dijerut bagi memastikan mangsa tidak dapat melepaskan diri.


     Hasil siasatan pantas pihak polis membawa kepada penangkapan seorang lelaki bernama Satar Radius, berusia 22 tahun yang juga merupakan penduduk di kawasan tersebut. Satar ditangkap dua hari selepas kejadian ketika cuba melarikan diri ke daerah lain. Semasa disoal siasat, Satar mengaku telah merancang tindakan tersebut kerana didorong oleh nafsu. Dia telah menahan Dina di tengah jalan dengan alasan meminta tolong untuk dihantar ke sebuah lokasi. Memandangkan Dina mengenali pelaku, dia tidak mengesyaki sebarang niat jahat. Namunbsetibanya di kawasan ladang sawit yang sunyi, Satar bertindak ganas dengan menjatuhkan motosikal lalu menghempas mangsa ke tanah sehingga pengsan.

​     Pendedahan yang paling meruntun jiwa dalam kes ini adalah melalui pengakuan Satar sendiri dan hasil bedah siasat forensik. Selepas melakukan serangan seksual terhadap mangsa yang sedang tidak sedarkan diri, Satar memutuskan untuk melenyapkan bukti jenayahnya. Dia mengikat tubuh Dina pada motosikal dalam keadaan mangsa masih bernafas. Walaupun Satar menyedari mangsa masih hidup berdasarkan gelembung udara yang keluar sebaik sahaja kepala mangsa masuk ke dalam air, dia tetap meneruskan tindakannya menolak motosikal itu ke dasar sungai. Hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan terdapat air di dalam paru-paru mangsa. Hal ini membuktikan Dina Wulandari meninggal dunia akibat lemas setelah ditenggelamkan hidup-hidup.

     Kes ini diheret ke muka pengadilan di Mahkamah Negeri Tebo. Walaupun pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara selama 18 tahun atas kesalahan membunuh dan mencabul, pihak hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap Satar Radius pada 19 September 2018.  Keputusan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang rata-ratanya menyifatkan hukuman tersebut terlalu ringan berbanding dengan kekejaman yang dilakukannya.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Dina Wulandari"