Kisah Melissa Caddick: Pengakhiran Tragis Seorang Scammer

      Kisah Melissa Caddick ini bermula dengan imej seorang wanita korporat yang sangat berjaya di Sydney, Australia. Dia mengendalikan syarikat pelaburan miliknya, Maliver yang didakwa menawarkan pulangan tinggi melalui pelaburan saham. Menerusi perwatakan yang meyakinkan dan penuh karisma, Melissa berjaya menarik perhatian pelabur yang terdiri daripada kalangan rakan rapat, jiran di kawasan elit Dover Heights, ahli keluarganya sendiri termasuk ibu bapa dan abangnya. Dia membina kepercayaan dengan menunjukkan gaya hidup yang sangat mewah yakni memiliki rumah agam menghadap laut bernilai jutaan dolar, koleksi barang kemas pereka terkenal dan sering bercuti ke luar negara dengan jet peribadi.

    Namun di sebalik kemewahan tersebut, Melissa sebenarnya menjalankan Skim Ponzi yang sangat licik. Dia tidak pernah melabur wang pelanggan di pasaran saham. Melissa sebaliknya memalsukan dokumen dan penyata kewangan daripada akaun syarikat untuk menunjukkan kononnya portfolio pelanggan berkembang pesat. Wang daripada pelabur baharu digunakan untuk membayar pulangan kepada pelabur lama dan untuk membiayai nafsu berbelanja besarnya. Penipuan ini bertahan selama bertahun-tahun kerana kepakarannya memanipulasi emosi mangsa hingga mereka tidak terdetik untuk mempersoalkan ketelusan syarikatnya.

    Kejatuhan Melissa bermula apabila Suruhanjaya Pelaburan dan Sekuriti Australia (ASIC) mula menghidu ketidaktelusan lesen kewangan Maliver. Pada pagi 11 November 2020, ejen persekutuan melakukan serbuan mengejut di rumah agamnya. Pihak polis merampas pelbagai barangan mewah, dokumen kewangan dan peralatan elektronik. Melissa dilaporkan memberikan kerjasama yang tenang sepanjang proses tersebut. Walau bagaimanapun, tekanan mental di sebalik ketenangan itu sukar digambarkan.

      Keesokan paginya, pada 12 November 2020 sekitar jam 5:30 pagi, suami Melissa iaitu Anthony Koletti mendakwa terdengar pintu depan rumah mereka tertutup. Dia menyangkakan Melissa keluar untuk rutin joging paginya. Melissa bagaimanapun tidak pernah kembali. Kehilangannya menjadi sangat pelik kerana dia meninggalkan telefon bimbit, kunci rumah dan dompetny. Tiga perkara ini mustahil ditinggalkan oleh seseorang yang ingin melarikan diri secara terancang. Selama berbulan-bulan, spekulasi memenuhi media Australia di mana ada yang mendakwa Melissa bersembunyi di bawah identiti palsu manakala yang lain percaya dia telah membunuh diri akibat malu.

     Misteri ini menemui titik pusingan yang mengerikan pada Februari 2021. Sekumpulan remaja yang sedang berjalan di Pantai Bournda, New South Wales, kira-kira 500 kilometer ke selatan dari rumah Melissantelah menemui sebuah kasut sukan jenama Asics yang terdampar. Di dalam kasut tersebut, terdapat sisa-sisa bahagian kaki manusia yang sudah reput. Penemuan ini segera diserahkan kepada pihak forensik untuk ujian DNA.

      Hasil ujian makmal mengesahkan bahawa tisu dan tulang pada kaki tersebut adalah milik Melissa Caddick. Penemuan ini secara tidak langsung menamatkan teori bahawa Melissa masih hidup dan bersembunyi. Pakar oseanografi kemudiannya menjelaskan bahawa arus laut dari Sydney memang berkemungkinan membawa objek ke arah selatan namun fakta bahawa hanya sebahagian kaki sahaja yang ditemui menimbulkan lebih banyak persoalan tentang apa yang sebenarnya berlaku di laut.

     Pada Mei 2023, mahkamah koroner di New South Wales merumuskan inkues panjang mengenai kematiannya. Koroner Elizabeth Ryan memutuskan bahawa Melissa Caddick telah meninggal dunia. Cumanya koroner tersebut tidak dapat menentukan secara spesifik punca, masa, dan cara kematian. Walaupun teori membunuh diri dengan terjun dari tebing berhampiran rumahnya adalah yang paling kuat, ketiadaan mayat yang lengkap menyebabkan kes ini kekal dengan status misteri terbuka dalam rekod perundangan.

     Di sebalik kematiannya, mangsa-mangsa Melissa ditinggalkan dengan trauma emosi dan kerugian kewangan yang dahsyat. Dianggarkan lebih AUD 23 juta wang pelabur telah lesap. Proses likuidasi harta bendanya dijalankan untuk membayar semula baki wang mangsa termasuk penjualan rumah agam dan koleksi pakaian mewahnya.

Catat Ulasan for "Kisah Melissa Caddick: Pengakhiran Tragis Seorang Scammer"