Lelaki Bawa Mayat ke Bank Selepas Gagal Tuntut Wang Mendiang Kakaknya

     INDIA – Tindakan seorang lelaki di timur India membawa rangka mayat kakaknya ke sebuah bank sebagai bukti kematian bagi menuntut wang simpanan mendiang telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan mendapat perhatian pihak berkuasa. 

     Kejadian yang berlaku di daerah Keonjhar, Odisha pada Isnin lalu itu menjadi tular selepas rakaman video menunjukkan Jitu Munda, 52 tahun membawa bungkusan berisi rangka mayat kakaknya ke pintu masuk bank tersebut tersebar luas di media sosial.

    Menurut Munda, dia terpaksa mengambil tindakan drastik itu kerana berasa kecewa setelah beberapa kali percubaannya untuk mengeluarkan wang simpanan kakaknya gagal gara-gara ketiadaan dokumen rasmi kematian. Pihak polis mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah menggali semula mayat kakaknya untuk dibawa ke bank berkenaan bagi membuktikan bahawa pemilik akaun tersebut telah meninggal dunia.

    Mendiang kakaknya, Kalara, 56 tahun, seorang buruh harian, meninggal dunia awal tahun ini. Sebelum kematiannya, mendiang telah mendepositkan kira-kira 19300 rupee (sekitar RM1000) hasil daripada penjualan ternakan.

     Pihak pengurusan bank bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka meminta kehadiran fizikal si mati. Pihak bank sebaliknya menjelaskan bahawa mereka hanya menuntut dokumen sokongan yang sah mengikut undang-undang untuk proses tuntutan pusaka. Menurut kenyataan bank, Munda gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan dan mendakwa lelaki itu sebelum ini pernah hadir dalam keadaan mabuk serta berkelakuan mengganggu.

     Pengurus cawangan bank, Sushant Kumar Sethi pula mendakwa bahawa Munda pada mulanya memberi alasan bahawa kakaknya terlantar akibat lumpuh sebelum menukar kenyataan dengan mendakwa wanita itu sudah meninggal dunia. Pihak bank turut menambah bahawa terdapat waris sah lain yang telah tampil menuntut wang tersebut sekali gus mewajibkan pihak bank meminta dokumen rasmi bagi mengelakkan sebarang keraguan.

     Susulan kejadian tersebut, Menteri Hasil Negeri Odisha, Suresh Pujari menyatakan bahawa satu siasatan penuh sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pengurus cawangan sekiranya terdapat salah laku. Pentadbiran daerah Keonjhar turut menzahirkan kebimbangan mendalam dan menegaskan bahawa hak serta maruah rakyat adalah keutamaan.

     Pihak berkuasa tempatan dan polis akhirnya campur tangan bagi meredakan keadaan. Munda telah dipujuk untuk mengebumikan semula kerangka kakaknya dengan sempurna manakala pihak berkuasa turut menghulurkan bantuan kewangan berjumlah 30 000 rupee. 

     Menjelang hari Rabu, pihak berkuasa akhirnya mengeluarkan sijil kematian serta dokumen waris yang diperlukan. Pihak bank mengesahkan bahawa wang simpanan mendiang kini telah berjaya diserahkan kepada ahli keluarga yang sah.

Catat Ulasan for "Lelaki Bawa Mayat ke Bank Selepas Gagal Tuntut Wang Mendiang Kakaknya"