Kisah Nguyen Thi Phuong yang Benar-Benar Menyedihkan

     Segalanya bermula pada tahun 2008 di Wilayah Ben Tre, Vietnam. Ketika itu, Nguyen Thi Phuong merupakan seorang wanita muda berusia 26 tahun yang dikenali dengan rupa paras cantik dan berkulit cerah. Kejadian bermula apabila Phuong mengalami reaksi alahan yang teruk selepas memakan makanan laut. Pada awalnya, dia hanya mengalami kegatalan yang amat sangat di seluruh badan. Namun disebabkan kesempitan hidup dan akses terhad kepada rawatan pakar, Phuong hanya membeli ubat-ubatan di farmasi tempatan dan mencuba rawatan herba tradisional.

     Tanpa disedari, tindakannya itu membawa padah. Dalam tempoh yang sangat singkat, kulit wajah dan badannya mula membengkak dan kemudiannya mengendur secara drastik. Kedutan-kedutan halus mula muncul dan merebak dengan pantas hingga menyebabkan wajahnya berubah menjadi seperti wanita warga emas yang berusia 70 hingga 80 tahun. Walaupun fizikalnya menua, sistem dalaman tubuhnya, kitaran haid, rambut, gigi dan penglihatannya tetap kekal seperti seorang wanita muda.

     Transformasi yang mengerikan ini menyebabkan Phuong mengalami trauma emosi yang mendalam. Dia memilih untuk mengasingkan diri daripada penduduk dan sentiasa memakai pelitup muka setiap kali keluar rumah bagi mengelakkan pandangan pelik dan hinaan orang sekeliling. Dia bahkan berpindah ke daerah lain untuk memulakan hidup baru di mana orang tidak mengenali wajah asalnya. Namun di sebalik penderitaan itu, muncul satu cahaya murni dalam hidupnya iaitu suaminya, Nguyen Thanh Tuyen. Kesetiaan Tuyen menjadi bualan dunia apabila dia enggan meninggalkan isterinya walaupun rupa paras Phuong tidak lagi dikenali. Tuyen bekerja keras sebagai tukang kayu untuk menampung kos rawatan. Dia sentiasa menegaskan bahawa dirinya mencintai isterinya. Tuyen terus berada di sisi Phuong, memegang tangannya dan memberikannya kekuatan moral untuk terus hidup.

     Pada tahun 2011, kisah Phuong mula tular di media sosial sekali gus mendorong sekumpulan doktor dari pelbagai hospital terkemuka di Vietnam dan pakar dari luar negara untuk menawarkan bantuan. Pelbagai ujian diagnostik dilakukan untuk merungkaikan misteri penuaan segera ini. Pakar perubatan berbelah bahagi mengenai punca sebenar. Teori pertama menjurus kepada kesan sampingan ubat-ubatan tradisional yang diambilnya,yang dipercayai mengandungi kandungan steroid atau corticoid yang tinggi sehingga menyebabkan kulit menipis dan mengalami atropi secara mendadak.

     Selain itu, Phuong juga disyaki menghidap Mastocytosis yakni gangguan sel mast yang mencetuskan reaksi alahan kronik sehingga merosakkan struktur kolagen kulit secara kekal. Teori ketiga pula mengaitkan keadaan Phuong dengan sindrom Lipodistrof, sejenis penyakit sangat jarang berlaku yang menghilangkan lapisan lemak di bawah kulit hingga menyebabkan kulit melorot dan berkedut seribu seolah-olah melalui proses penuaan pantas.


     Selepas menjalani beberapa siri rawatan intensif termasuk terapi ubat-ubatan dan usaha pemulihan kulit, keadaan Phuong menunjukkan sedikit peningkatan. Kedutan pada wajahnya sedikit berkurangan dan kegatalan kronik yang dideritainya mula reda. Dia mula mendapat keyakinan diri semula untuk muncul di hadapan khalayak.

    Walau bagaimanapun, takdir menentukan segalanya. Pada Ogos 2015, berita duka menyelubungi keluarga kecil ini apabila Nguyen Thi Phuong dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 30 tahun. Walaupun punca kematiannya tidak dinyatakan secara spesifik sebagai kesan langsung daripada penuaan kulit tersebut, komplikasi kesihatan yang berpanjangan dan kesan ubat-ubatan yang diambil selama bertahun-tahun dipercayai telah melemahkan daya tahan badannya.

Catat Ulasan for "Kisah Nguyen Thi Phuong yang Benar-Benar Menyedihkan "