Kisah Pembunuhan Kejam Keila Nicole Duarte Acevedo

Pada bulan Julai 2025, seorang gadis remaja yang berusia 13 tahun iaitu Keila Nicole Duarte Acevedo telah dibunuh dengan begitu kejam di San Quintin, Baja California, Mexico. Keila, seorang remaja berusia 13 tahun yang dikenali sebagai individu ceria, dihormati dan mempunyai cita-cita tinggi telah menjadi mangsa kepada keganasan yang tidak berperikemanusiaan di tangan rakan sekolahnya sendiri.

Kejadian bermula pada petang Selasa, 1 Julai 2025 apabila Keila keluar dari rumahnya untuk bertemu dengan seorang rakan sekolah, Cristian Ivan yang berusia 16 tahun. Keila yang mempunyai hubungan kejiranan rapat dengan suspek tidak mengesyaki apa-apa yang buruk akan berlaku. Namun beberapa mesej teks yang dihantar oleh Keila kepada seorang rakan sebelum kejadian menunjukkan dia berasa tidak selesa. Keila yang turut menyatakan bahawa suspek berkelakuan ganjil sambil memegang kayu sempat meminta rakannya memaklumkan kepada keluarga sekiranya berlaku sesuatu yang buruk. Ketakutan Keila menjadi kenyataan apabila beliau gagal pulang ke rumah sekali gus mencetuskan operasi pencarian secara besar-besaran.

Kegagalan pihak berkuasa pada peringkat awal merupakan satu lagi titik hitam dalam kes ini. Apabila ibu mangsa yang bernama Dalia membuat laporan kehilangan, polis tempatan dilaporkan enggan mengaktifkan protokol pencarian segera dengan alasan perlu menunggu tempoh 72 jam. Keengganan ini jelas melanggar protokol standard bagi kehilangan kanak-kanak bawah umur. Hanya selepas bukti mesej teks dikemukakan pada keesokan harinya, barulah pihak berkuasa mula bertindak. Malangnya pada waktu itu, penemuan menyayat hati sudah pun menanti. Sisa tubuh badan Keila ditemui di sebuah kawasan terpencil selepas seorang penduduk melaporkan melihat seekor anjing membawa bahagian tubuh manusia. Siasatan forensik mengesahkan mangsa maut akibat trauma di kepala sebelum tubuhnya dikerat dengan kejam.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa jenayah ini bukanlah satu tindakan impulsif tetapi sebaliknya satu perancangan yang rapi. Semasa serbuan di kediaman suspek, polis menemui buku nota yang mengandungi lukisan anatomi manusia dengan lakaran terperinci tentang lokasi titik potongan badan. Cristian Ivan dalam keterangannya mengaku terinspirasi oleh siri fiksyen jenayah terkenal, Dexter. Walaupun suspek cuba memberikan pelbagai versi cerita yang bercanggah, akhirnya dia mengaku bertanggungjawab sepenuhnya.
Perkara yang paling mencetuskan kontroversi dalam kes ini ialah terhadnya hukuman yang boleh dikenakan. Memandangkan suspek dikategorikan sebagai juvana bawah umur, perundangan di Baja California hanya membenarkan hukuman maksimum selama lima tahun di pusat tahanan juvana. Orang ramai terutamanya keluarga mangsa menyifatkan hukuman ini sebagai penghinaan terhadap keadilan. Mereka berhujah bahawa jenayah yang melibatkan perancangan rapi dan kekejaman luar biasa seharusnya tidak tertakluk kepada had umur yang lazimnkerana risiko suspek untuk mengulangi jenayah tersebut setelah dibebaskan adalah sangat tinggi. Rentetan daripada kes ini, tiga orang pegawai polis yang mengendalikan laporan awal telah digantung tugas dan disiasat atas dakwaan kecuaian semasa menjalankan tugas.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Keila Nicole Duarte Acevedo"