Kisah Pembunuhan Kejam Esmeralda Moronta

     Esmeralda Moronta de los Santos dilahirkan pada 22 Disember 1992 di Santo Domingo. Kehidupan awalnya diuji apabila bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa dia masih kanak-kanak sekaligus memaksa ibunya membesarkan mereka sekeluarga sendirian. Meskipun berdepan ujian hidup, Esmeralda membesar sebagai seorang yang ceria, rajin dan sangat disenangi. Minat mendalamnya dalam bidang pastri mendorong Esmeralda mengasaskan perniagaan sendiri yang dinamakan Estilo Pastelero pada tahun 2016. Berkat usaha gigih, perniagaannya berkembang pesat sehingga dia sering dijemput sebagai tetamu dalam pelbagai program televisyen tempatan untuk berkongsi kisah kejayaannya. Kehidupan peribadinya turut dikurniakan dua orang cahaya mata termasuk seorang anak bongsu bernama Aaron hasil perkongsian hidup dengan pelaku.

     Kejadian bermula apabila Esmeralda menjalinkan hubungan cinta dengan Omar Tejeda Guzman, seorang usahawan lelaki yang berusia 14 tahun lebih tua daripadanya dan pemilik kepada beberapa buah perniagaan termasuk farmasi serta hartanah. Pada mulanya, hubungan mereka kelihatan bahagia. Namun Omar lama-kelamaan mula menunjukkan personaliti sebenar yang sangat toksik, kuat cemburu dan sentiasa mahu mengawal pergerakan Esmeralda. Sikap buruk Omar semakin parah selepas Esmeralda berjaya membuka kedai fizikal pastrinya sendiri pada Disember 2025. Omar melihat kemandirian ekonomi dan kejayaan Esmeralda bukan sebagai satu kebanggaan tetapi sebaliknya sebagai satu ancaman terhadap dominasinya. Dek kerana tidak tahan dengan tekanan emosi dan tindakan mengongkong itu, Esmeralda mengambil keputusan berani untuk menamatkan hubungan mereka secara muktamad pada Mac 2026.

     Enggan menerima keputusan tersebut, Omar mula bertindak agresif dengan melakukan intipan dan gangguan secara berterusan selama dua bulan. Omar dikesan sering mengekori Esmeralda secara fizikal, menghantar mesej ugutan selain bertindak menanam peranti sistem kedudukan global (GPS) pada kenderaan mangsa bagi memantau setiap pergerakannya. Kehidupan Esmeralda bertukar menjadi seperti di dalam neraka akibat ketakutan hingga dia meluahkan rasa bimbang akan keselamatan nyawanya kepada adik-beradiknya. Atas nasihat keluarga, Esmeralda akhirnya memutuskan untuk mendapatkan perlindungan undang-undang. Pada Rabu, 13 Mei 2026 yakni sekitar jam 2:00 petang, dia hadir ke Pejabat Unit Keganasan Jantina di Santo Domingo Este untuk memfailkan laporan polis rasmi dan memohon perintah sekatan terhadap Omar.

     Walau bgaimanapun, malang tidak berbau apabila Omar rupa-rupanya sudah bersedia menghendap di luar kawasan bangunan tersebut dengan menaiki sebuah trak. Sebaik sahaja Esmeralda keluar dan berjalan menuju ke keretanya, dia menyedari kehadiran Omar. Diselubungi rasa panik yang teramat sangat, wanita itu terus berpaling lalu melarikan diri ke arah jalan raya utama. Rakaman video (video di hujung artikel) yang tular menunjukkan Esmeralda berlari secara zigzag di celah-celah kenderaan yang bergerak pantas. Dia bahkan hampir dirempuh oleh sebuah bas awam demi menyelamatkan diri. Omar yang memegang senjata api terus mengejarnya tanpa mempedulikan orang sekeliling. Esmeralda sempat cuba mempertahankan diri dengan memukul Omar menggunakan beg tangannya sebelum meluru masuk ke dalam sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk bersembunyi.

     Kedai serbaneka tersebut bagaimanapun menjadi saksi detik terakhir kehidupan usahawan muda ini. Omar berjaya mengejar mangsa ke dalam kedai dan melepaskan tembakan yang menyebabkan Esmeralda rebah ke lantai. Tanpa belas kasihan, Omar menghampiri mangsa yang parah sebelum melepaskan beberapa lagi tembakan jarak dekat bagi memastikan mangsa maut. Sejurus selepas melakukan pembunuhan kejam itu, Omar bertindak mengacukan pistol ke kepalanya sendiri dan memetik picu lalu rebah mati di sebelah mayat bekas kekasihnya. Pihak berkuasa daripada Polis Nasional dan Institut Sains Forensik tempatan segera tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengumpul bahan bukti.

     Dalam kes ini, ramai mempersoalkan mengapa seorang wanita yang baru sahaja meminta pertolongan dan perlindungan daripada pihak berkuasa boleh dibunuh dengan begitu mudah sejurus keluar dari balai. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Kementerian Awam mengeluarkan kenyataan rasmi yang mendakwa pihak mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana Esmeralda sebelum itu telah ditawarkan untuk tinggal di rumah perlindungan awam namun mangsa memilih untuk menolaknya kerana mahu bergantung kepada sistem sokongan keluarga. Kenyataan tersebut dikritik hebat oleh aktivis hak asasi wanita yang menyifatkan agensi kerajaan cuba melepaskan batuk di tangga dan mengabaikan kompleksiti emosi serta psikologi yang dihadapi oleh mangsa keganasan domestik.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Esmeralda Moronta"