Keluarga Mentua Tuntut Hantaran Perkahwinan Secara Berterusan, Wanita Ini Akhirnya Ditemui Mati

     Sisi gelap amalan tuntutan hantaran atau dowry masih membelenggu sebahagian masyarakat di India. Insiden maut kali ini berlaku pada malam 17 Mei 2026 yakni hanya kira-kira 18 bulan selepas mangsa yang berusia 24 tahun iaitu Deepika Nagar mendirikan rumah. Kematiannya yang didakwa berpunca daripada kejatuhan dari tingkat tiga kediaman mentuanya merupakan kemuncak kepada siri penderaan fizikal dan tuntutan kewangan melampau yang dialami mangsa sejak hari pertama dia melangkah masuk ke rumah keluarga suaminya.

     Secara umumnya, dowry atau Dahej pada asalnya merupakan adat pemberian harta sebagai bekalan kehidupan untuk anak perempuan yang berkahwin. Walau bagaimanapun, amalan ini telah terpesong menjadi satu transaksi perniagaan yang kejam dan bersifat eksploitatif dalam masyarakat patriarki di India. Majlis perkahwinan kini sering disalahgunakan oleh keluarga pengantin lelaki sebagai peluang untuk mengaut keuntungan material dan meningkatkan status sosial melalui tuntutan hantaran yang tinggi yang tidak berakhir selepas majlis perkahwinan malah berterusan sebagai bebanan kewangan yang menindas. Ketamakan ini sering membawa kepada penderaan fizikal dan mental terhadap isteri apabila tuntutan tersebut gagal dipenuhi,


      Dalam kes Deepika ini, keluarganya telah mengeluarkan belanja hampir 1 crore rupee (10 juta rupee) yang merangkumi wang tunai, barangan kemas, perabot dan sebuah kereta Scorpio sebagai hantaran perkahwinan. Namun bagi keluarga mentuanya, pemberian tersebut masih dianggap tidak mencukupi. Maka mereka menuntut tambahan wang tunai 5.1 juta rupee dan sebuah SUV jenis Fortuner. Kegagalan keluarga Deepika memenuhi tuntutan yang tidak munasabah ini mengakibatkan Deepika dijadikan sasaran penderaan fizikal dan mental secara berterusan.

      ​Hasil laporan bedah siasat ke atas mayat Deepika mendedahkan bukti yang sangat mengejutkan dan bercanggah dengan dakwaan awal bahawa dia terjatuh secara tidak sengaja. Doktor forensik menemui senarai kecederaan yang luasntermasuk bengkak besar bersaiz 12 sentimeter kali 9 sentimeter pada wajah, pendarahan dalam otak serta kerosakan organ dalaman yang teruk. Kecederaan ini ditambah dengan penemuan kesan wayar pada tangan mangsa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Deepika telah diserang dengan kejam sebelum insiden kejatuhan tersebut berlaku. Tindakan keluarga mentuanya sejurus selepas kejadian juga sangat mencurigakan apabila mereka memilih untuk membawa Deepika ke hospital yang terletak 15 hingga 20 kilometer jauhnya berbanding hospital yang hanya terletak 2 kilometer dari kediaman mereka.


     ​Naratif kes ini menjadi semakin kompleks dengan percanggahan keterangan antara keluarga mangsa dan penduduk setempat. Keluarga Deepika menegaskan bahawa Deepika sering mengadu tentang penderaan yang dialami. Wanita bahkan sempat menghubungi mereka dalam keadaan menangis pada malam kejadian untuk memberitahu bahawa dia dipukul. Misteri kehilangan telefon mangsa dan kereta hantaran tersebut menjadi persoalan besar yang menghalang siasatan. Di sebalik semua ini, terdapat penyesalan yang amat mendalam daripada bapa Deepika. Dia mengakui kesilapannya yang berulang kali menasihati anaknya untuk bersabar dan menyesuaikan diri demi menjaga maruah keluarga tanpa menyedari bahawa budaya bersabar inilah akhirnya memerangkap anaknya dalam situasi yang membawa maut.

     ​Pihak polis India kini telah mendaftarkan kes ini di bawah kategori Dowry Death atau kematian akibat tuntutan hantaran selaras dengan undang-undang yang mengharamkan amalan tersebut di bawah Dowry Prohibition Act 1961. Suami, ibu bapa mentua dan seorang bapa saudara mentua telah ditahan bagi membantu siasatan sementara tiga lagi individu yang terlibat masih diburu.

Catat Ulasan for "Keluarga Mentua Tuntut Hantaran Perkahwinan Secara Berterusan, Wanita Ini Akhirnya Ditemui Mati"