Kisah Misteri Kehilangan Elena Cohen

Pada era awal kegemilangan YouTube, platform tersebut menjadi medan utama bagi ramai bakat baharu untuk menonjolkan diri berharap untuk ditemui oleh industri muzik besar. Salah seorang daripada mereka ialah Elena Cohen, seorang penyanyi-penulis lagu yang mula aktif di YouTube sekitar tahun 2010. Dia berjaya menarik perhatian ribuan penonton melalui suaranya yang unik dan bakat penulisan lagu yang mengagumkan. Namun apa yang sepatutnya menjadi perjalanan kerjaya seni yang cerah telah bertukar menjadi sebuah naratif gelap dan misteri apabila dia secara tiba-tiba menghilangkan diri daripada dunia maya.

Elena memulakan saluran YouTube miliknya di bawah nama pengguna Elena XX pada Ogos 2006. Dia mula memuat naik kandungan secara konsisten pada tahun 2010. Pada masa yang singkat, dia berjaya mengumpul pengikut setia dengan jumlah mencecah 10 000 orang, satu pencapaian yang signifikan pada waktu itu. Malangnya, populariti ini turut menarik perhatian seorang individu yang menggunakan nama pengguna E Thunder di pelbagai forum internet. Individu ini memulakan kempen gangguan yang berterusan di mana dia secara delusi mendakwa bahawa dirinya adalah individu yang bertanggungjawab atas kejayaan Elena. E Thunder sering membuat hantaran yang tidak logik merangkumi teori konspirasi industri muzik hingga kepada dakwaan palsu bahawa dirinya merupakan penerbit dan ejen kepada Elena.
Bermula lewat tahun 2011, Elena mula menunjukkan tanda-tanda untuk menarik diri daripada platform tersebut. Dia mengambil cuti panjang daripada memuat naik video yang bertepatan dengan kemuncak obsesi E Thunder terhadapnya. Walaupun Elena sempat kembali pada tahun 2012 dengan lagu baharu bertajuk Epicenter, dia sekali lagi menghilangkan diri hampir serta-merta selepas itu. Analisis terhadap hantaran dalam talian E Thunder menunjukkan bahawa dia benar-benar mempercayai lagu tersebut ditujukan kepadanya yang berkemungkinan besar mencetuskan ketakutan dan tekanan yang luar biasa kepada Elena.
Tahun 2012 menjadi titik tolak yang kritikal apabila E Thunder mendakwa dirinya ditangkap oleh pihak berkuasa. Dia mendakwa penangkapan tersebut berpunca daripada tindakannya menghantar fail projek muzik kepada Elena yang dipercayai melanggar perintah perlindungan atau perintah sekatan yang mungkin telah diperoleh oleh penyanyi tersebut. Tambahan pula, insiden melibatkannya membawa senjata tajam di kawasan kampus universiti di San Diego menimbulkan persoalan serius mengenai tahap bahaya yang dihadapi oleh Elena. Tidak lama selepas insiden penangkapan tersebut, Elena mengumumkan rancangannya untuk ke Afrika dan secara drastik memadamkan hampir semua jejak digital beliau. Dia menetapkan video-videonya kepada mod peribadi dan hampir ghaib daripada carian internet yakni satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk memutuskan hubungan dengan stalker tersebut selama-lamanya.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan Elena Cohen"