Remaja 16 Tahun Ditahan Selepas Bunuh Sepupu Gara-Gara Nafsu Serakah

     INDONESIA – Ketangkasan pihak berkuasa menyelesaikan kes pembunuhan seorang gadis berusia 20 tahun di Dusun Tambak Yoso, Desa Kalaena Kiri, berjaya membuahkan hasil apabila suspek utama iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas dalam tempoh kurang sembilan jam selepas mayat mangsa ditemui pada Khamis (11/6/2026).

     ​Mangsa yang dikenali sebagai AL ditemui dalam keadaan menyayat hati di kawasan sawah padi dengan kesan kecederaan parah pada bahagian kepala. Difahamkan, suspek yang masih menuntut di tingkatan empat itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa. ​Pihak polis mengesahkan bahawa tangkapan pantas itu dilakukan hasil daripada pemeriksaan tempat kejadian  dan risikan secara maraton oleh anggota penyiasat.

​"Suspek sudah pun dalam tahanan kami hanya sembilan jam selepas mayat ditemukan. Disebabkan suspek masih bawah umur, kami menyerahkan sepenuhnya pengendalian kes ini kepada Unit Pelayanan Perempuan dan Anak (PPA) Polres Luwu Timur bagi memastikan ia mengikut lunas undang-undang," ujar jurucakap pihak polis ketika mengulas perkembangan kes tersebut.

     ​Siasatan polis mendedahkan motif pembunuhan kejam ini bermula daripada tabiat buruk suspek yang sering mengintai mangsa ketika sedang mandi di kediaman mereka. Perbuatan jijik itu dipercayai telah menimbulkan keinginan seksual suspek sekali gus mendorongnya merancang untuk melakukan serangan seksual terhadap mangsa.

     Menurut pihak polis, suspek sebenarnya sudah lama memerhati pergerakan harian mangsa yang bekerja sebagai petugas pembersihan. Walau bagaimanapun, niat jahat suspek sebelum ini sering terbantut kerana mangsa sentiasa ditemani oleh adik atau sepupunya setiap kali keluar bekerja. ​Kemuncak kejadian berlaku pada pagi Khamis (subuh). Suspek yang telah lama menanti peluang akhirnya bertindak mengekori mangsa yang ketika itu keluar rumah seorang diri.

​     "Suspek cuba menyekat mangsa di tengah jalan dan memaksa mangsa mengikut kehendaknya. Mangsa bagaimanapun cuba melawan dan melarikan diri ke kawasan sawah untuk mendapatkan bantuan," jelas pihak polis lagi mengenai detik cemas tersebut.


     Semasa cuba melarikan diri, mangsa menjerit meminta tolong namun suspek yang hilang kawalan terus mengejar mangsa sejauh 50 meter. Suspek kemudiannya mengambil seketul batu konkrit yang ditemui di sekitar jalan lalu menghentakkannya ke kepala mangsa sehingga menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat pendarahan hebat.

     Kejadian disedari orang awam yang menemui mayat mangsa dalam keadaan terduduk bersandar di batas sawah dengan masih memakai baju-T dengan tubuh diselaputi lumpur. Penduduk kampung mengakui terdengar suara jeritan nyaring pada waktu subuh tetapi tidak mengesyaki sebarang kejadian jenayah berlaku.

     Kejayaan polis menjejaki suspek dengan pantas berpunca daripada kecekapan mereka menganalisis bukti di lokasi kejadian termasuk kesan tapak kaki yang tertinggal. Jejak kaki tersebut membawa pihak polis terus ke kawasan Gereja GPDI Jemaat Kalaen yang terletak tepat di hadapan rumah mangsa sekali gus memudahkan penahanan suspek.

     Mayat mangsa telah pun dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis.


Catat Ulasan for "Remaja 16 Tahun Ditahan Selepas Bunuh Sepupu Gara-Gara Nafsu Serakah"