BAYI 18 BULAN HIDUP SEMULA SELEPAS ENAM JAM DISAHKAN MENINGGAL DUNIA

AMERIKA SYARIKAT– Satu kejadian yang sangat mengejutkan berlaku di Gilbert, Arizona apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan yang disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam kolam renang didapati masih hidup selepas enam jam berada di dalam bilik mayat hospital.
Kejadian bermula pada 8 Februari lalu apabila kanak-kanak malang itu, Vincent Lorenzo Fiordilino tergelincir ke dalam kolam renang di kediamannya di Gilbert, Arizona. Bapanya segera mengeluarkan Vincent dari air dan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum pasukan paramedik bergegas membawanya ke Pusat Perubatan Mercy Gilbert.
Walau bagaimanapun, Vincent kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas, Dr. Toosi lalu dimasukkan ke dalam beg mayat dan dipindahkan ke bilik mayat hospital. Namun dalam satu pusingan kejadian yang mendebarkan, kanak-kanak itu didapati masih hidup hampir enam jam kemudian yakni kira-kira jam 11.45 malam apabila kakitangan pengangkutan dari Pemeriksa Perubatan Daerah Maricopa membuka beg tersebut untuk menguruskan mayat.
Menurut laporan 12 News, kakitangan terbabit mendapati Vincent masih bernafas. Dia segera dikejarkan semula untuk rawatan kecemasan sebelum diterbangkan ke Hospital Kanak-Kanak Phoenix. Dokumen polis yang baru didedahkan mendakwa bahawa terdapat beberapa amaran telah diabaikan sebelum kanak-kanak itu dihantar ke bilik mayat.

Laporan menyatakan seorang jururawat berdaftar di hospital tersebut memaklumkan kepada Dr. Toosi bahawa dia dapat mengesan denyutan nadi mangsa. Pegawai polis di tempat kejadian juga mendakwa telah melihat Vincent bergerak serta mendengar kanak-kanak itu tercungap-cungap. Dr. Toosi bagaimanapun dilaporkan menepis kebimbangan tersebut dengan menyifatkan pernafasan itu sebagai agonal breathing iaitu refleks pernafasan yang berlaku selepas kematian dan tetap mengarahkan supaya kanak-kanak itu dibawa ke bilik mayat.
Walaupun Vincent terselamat, keluarganya mendedahkan bahawa kesan daripada kejadian tersebut sangat tragis. Menurut Daily Mail, Vincent mengalami kerosakan otak kekal yang teruk akibat kekurangan oksigen yang berpanjangan selain ditambah dengan trauma berada di dalam bilik mayat yang sejuk selama beberapa jam dalam keadaan masih hidup. Kini Vincent dijangka memerlukan penjagaan rapi sepanjang hayat dan pihak keluarga telah melancarkan tabung bantuan menerusi GoFundMe bagi menampung kos perubatan yang amat tinggi.
Susulan insiden itu, pihak Pusat Perubatan Mercy Gilbert mengesahkan bahawa satu semakan dalaman menyeluruh telah dimulakan bagi menyiasat punca kegagalan prosedur berkenaan. Pihak hospital bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada Dr. Toosi telah digantung tugas, dipecat atau masih berkhidmat di fasiliti tersebut atas alasan privasi pesakit.
Catat Ulasan for "BAYI 18 BULAN HIDUP SEMULA SELEPAS ENAM JAM DISAHKAN MENINGGAL DUNIA"