Tak Tahan Dengan Tabiat Buruk Suami, Wanita Tekad Lakukan Pembunuhan Kejam

      Kes kali ini berlaku di Renuka Dham Colony, kawasan Sikandra, Agra, India. Surendra Kumar Sharma, seorang lelaki berusia 44 tahun hidup dalam sebuah keluarga kelas pertengahan yang pada pandangan mata kasar kelihatan seperti keluarga normal. Namun di sebalik pintu rumah tersebut, hubungan antara Surendra dan isterinya iaitu Ruby Sharma sering diselubungi konflik. Surendra yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bergelut dengan ketagihan alkohol sering terlibat dalam pertengkaran hebat dengan Ruby dengan adakalanya berakhir dengan keganasan rumah tangga. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada wang pencen mendiang bapa Surendra berjumlah 32 000 Rupee (sekitar RM1300) yang sering menjadi punca perbalahan apabila wang tersebut digunakan untuk membiayai tabiat buruk Surendra.

     Pada pagi 18 Mei 2026, kehidupan keluarga ini berubah secara drastik. Mengikut perancangan yang rapi, Ruby telah menghubungi abang iparnya, Anil Sharma dengan alasan bahawa polis mungkin akan menyerbu rumah mereka berkaitan kes curi trak yang melibatkan Surendra pada tahun 2017. Hasutan ini berjaya meyakinkan Anil untuk membawa keluar ibu mentua Ruby serta dua orang anak perempuan mereka ke rumah Anil di Shahganj bagi mengelakkan mereka tertekan dengan pemeriksaan polis. Pemergian keluarga tersebut memberi ruang kepada Ruby untuk melaksanakan rancangan gelapnya.

     Menurut siasatan, Ruby telah menyediakan hidangan kheer (sejenis bubur manis) yang dicampurkan dengan dos pil tidur yang sangat tinggi. Setelah Surendra memakan hidangan tersebut dan jatuh tidak sedarkan diri, Ruby mengambil kesempatan untuk mencekik mangsa sehingga meninggal dunia. Pada hari berikutnya, Ruby bertindak kejam dengan menggali lubang sedalam dua kaki di lantai bilik air rumah mereka. Selepas meletakkan mayat suaminya di dalam lubang tersebut, dia segera memanggil tukang binaan untuk menutup semula lantai tersebut dengan simen, dengan alasan lantai bilik air itu perlu dibaiki kerana rosak. Ironinya yakni selama 45 hari berikutnya, Ruby terus menjalani kehidupan harian di rumah itu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malah dia menggunakan bilik air tersebut setiap hari tanpa rasa bersalah.

      Pembongkaran kes ini bermula apabila pihak polis datang ke rumah tersebut untuk urusan pengesahan rekod lama berkaitan kes curi trak tersebut. Perubahan riak wajah Ruby yang kelihatan amat gelisah dan gugup ketika berhadapan dengan pegawai polis telah menimbulkan kecurigaan. Pada masa yang sama, Anil Sharma mula menyedari ketidakwajaran dalam pengurusan kewangan keluarga itu apabila Ruby mendakwa wang pencen tidak masuk ke akaun. Siasatan Anil mendapati transaksi terus berlaku melalui ATM meskipun Surendra dilaporkan hilang. Apabila didesak dengan bukti-bukti ini, pertahanan mental Ruby akhirnya runtuh. Pada pagi 3 Julai 2026, Ruby akhirnya membuat pengakuan kepada Anil bahawa suaminya tidak hilang tetapi sebaliknya telah dibunuh dan ditanam di bawah lantai bilik air.

    Apabila pihak polis menjalankan penggalian di lokasi yang ditunjukkan, bau busuk yang amat menyengat memenuhi ruang kediaman tersebut. Penemuan rangka manusia yang sudah mereput di bawah lantai simen itu mengesahkan segala syak wasangka keluarga mangsa. Ruby ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut. Pihak polis di bawah pimpinan DCP Syed Ali Abbas kini sedang meneliti sama ada Ruby bertindak secara sendirian atau mempunyai rakan subahat dalam merancang jenayah seumpama plot filem Drishyam ini. 

Catat Ulasan for "Tak Tahan Dengan Tabiat Buruk Suami, Wanita Tekad Lakukan Pembunuhan Kejam"