KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANGELICA SUHERMAN

     Angelica Suherman (26 tahun) merupakan anak kelahiran Desa Mindaka, Kecamatan Tarub, Kabupaten Tegal, Jawa Tengah. Dia dikenali dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan sebagai seorang wanita yang berdikari dan ramah. Demi menyara kehidupan serta membantu ekonomi keluarganya di kampung, Angelika telah merantau ke Bali sejak empat tahun lalu. Walaupun bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat tempatan dan tidak pernah pulang ke Tegal sepanjang tempoh perantauan tersebut, dia sentiasa konsisten mengirimkan wang perbelanjaan kepada ibunya, Suima.

     Perkenalan Angelica dengan suspek iaitu Muhammad Zulhelmi bin Muhammad Nazli (25 tahun) bermula sekitar pertengahan tahun 2025. Zulhelmi, seorang warga negara Singapura keturunan India pergi ke Bali menggunakan visa pelancong. Tidak lama selepas berkenalan, kedua-duanya menjalin hubungan sebelum mereka tinggal bersama di rumah sewa yang didaftarkan atas nama Angelica. Walaupun tempoh sah visanya telah tamat, Zulhelmi enggan pulang ke negara asalnya. Dia memilih untuk terus hidup bersenang-lenang di Bali dengan bergantung kepada kiriman wang bulanan daripada keluarganya di Singapura.


      Sepanjang tempoh satu tahun mendiami rumah sewa berkenaan bersama, hubungan pasangan ini kera bertengkar. Punca utama konflik berterusan ini adalah sikap Zulhelmi yang kerap berlaku curang dengan wanita lain. Walaupun lelaki itu sering memohon maaf dan berjanji untuk berubah setiap kali tindakannya terbongkar, tabiat buruk tersebut terus berulang. Kemuncak perselisihan faham berlaku apabila Angelica mendapati Zulhelmi sekali lagi menjalin hubungan sulit dengan wanita lain pada 9 Julai 2026. Dek kerana berasa dirinya sudah terlalu penat dengan janji palsu dan sikap toksik Zulhelmi, Angelika membuat keputusan untuk memutuskan hubungan mereka secara muktamad.

     Keputusan Angelika untuk berpisah tidak dapat diterima oleh Zulhelmi yang masih mahu mempertahankan hubungan tersebut. Pertengkaran mulut itu berlarutan selama beberapa hari hingga mencapai kemuncaknya pada Sabtu, 11 Julai 2026 yakni kira-kira jam 11:00 pagi. Pertengkaran di bilik tidur utama menjadi semakin teruk apabila Angelica enggan bertolak ansur. Maka dalam keadaan diselubungi emosi dan kemarahan yang tidak terkawal, Zulhelmi bertindak agresif dengan mencekik leher Angelica menggunakan kedua-dua belah tangannya. Cekikan kuat yang berlangsung selama kira-kira 15 minit itu akhirnya menyebabkan Angelica mengalami kesukaran bernafas lalu meninggal dunia di atas katil.

      Menyedari bahawa Angelica sudah tidak bernyawa, Zulhelmi yang panikmerancang pelan untuk menyembunyikan mayat tersebut. Zulhelmi mengangkat mayat Angelica dari atas katil dan memindahkannya ke bilik sebelah. Mayat mangsa dibaringkan di atas lantai lalu ditutup dengan lipatan karpet tebal sebelum ditimbunkan dengan puluhan patung mainan milik Angelica bagi memastikan mayat tersebut tidak kelihatan dari pandangan luar. Bagi menghilangkan bau busuk pereputan mayat, suspek memasang alat penapis udara secara berterusan di dalam bilik berkenaan.

     Perkara paling mengejutkan dalam kes ini yakni hanya beberapa jam selepas meragut nyawa Angelica, Zulhelmi bertindak menemui teman wanita baharunya, seorang wanita berinisial DP yang baru dikenalinya tiga hari sebelum kejadian. Pada malam yang sama sekitar jam 23:00, suspek tanpa rasa bersalah membawa DP bermalam di rumah sewa tersebut. DP yang tidur di bilik bersebelahan sempat terhidu bau busuk. Zulhelmi bagaimanapun menepis pertanyaannya dengan kemarahan.

     Misteri kehilangan Angelica akhirnya terbongkar pada Rabu malam, 15 Julai 2026, sekitar jam 19:00 apabila adik kandung mangsa, Reza Ananda Saputra (22 tahun) bertindak mendatangi rumah sewa berkenaan. Reza yang diminta oleh keluarga di Tegal untuk memeriksa keadaan kakaknya berikutan kegagalan menghubungi mangsa selama hampir seminggu berasa curiga sebaik sahaja melangkah masuk ke halaman rumah kerana tercium bau busuk. 

     Semasa Reza memerhati timbunan patung di bilik sebelah, dia terserempak dengan Zulhelmi yang cuba melarikan diri keluar dari rumah. Reza sempat bertindak menghentikan suspek dan menanyakan keberadaan kakaknya. Walau bagaimanapun, suspek yang enggan menjawab berjaya melarikan diri menggunakan motosikal Honda Scoopy milik mangsa selepas berlaku pergelutan kecil. Reza yang semakin tidak sedap hati segera membongkar timbunan karpet dan patung tersebut sebelum diuji dengan pemandangan ngeri mayat kakaknya yang sudah mula membusuk.

     Susulan panggilan kecemasan daripada penduduk setempat, pihak Polis Sektor Denpasar Selatan dan Polresta Denpasar dengan bantuan Ditreskrimum Polda Bali melancarkan operasi pemburuan pantas. Hasil tindakan cekap pihak polis, Zulhelmi berjaya ditahan ketika melalui Jalan Bypass Ngurah Rai dalam tempoh kurang daripada tiga jam selepas mayat ditemui.

     Hasil pemeriksaan forensik yang dijalankan oleh pihak hospital mengesahkan bahawa punca utama kematian mangsa adalah akibat kecederaan daya tumpul pada bahagian leher yang konsisten dengan kesan cekikan. Selain itu, pendarahan dalaman dan lebam pada bahagian muka serta kepala mangsa dipastikan berlaku akibat hentakan semasa suspek memindahkan dan terlepas pegangan mayat mangsa ke lantai.

     Mayat Angelica Suherman telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Desa Mindaka, Tegal pada 17 Julai 2026 untuk dikebumikan. Sementara itu, pihak polis telah menyita pelbagai barangan bukti termasuk pakaian, karpet, alat penapis udara, dokumen pengenalan diri dan motosikal. Zulhelmi kini menghadapi pertuduhan di bawah Pasal 458 KUHP mengenai pembunuhan dan Pasal 468 Ayat 2 KUHP mengenai penganiayaan berat yang menyebabkan kematian yang membawa ancaman hukuman penjara maksimum hingga 15 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANGELICA SUHERMAN"