Kisah Benar Into the Wild: Pengembaraan Nekad Pemuda 24 Tahun yang Berakhir Duka

Dilahirkan dalam keluarga berada di El Segundo, California, dan dibesarkan di Annandale, Virginia, Christopher McCandless sepintas lalu mempunyai masa depan yang amat cerah. Bapanya iaitu Walt McCandless merupakan seorang jurutera saintifik terkemuka di NASA yang kemudiannya mengasaskan syarikat perundingan perniagaan bersama ibunya, Billie. Chris merupakan seorang anak yang sangat bijak, cemerlang dalam akademik dan aktif dalam sukan. Pada Mei 1990, dia berjaya menamatkan pengajian sarjana muda di Emory University dalam bidang Sejarah dan Antropologi.
Namun di sebalik kejayaan luarannya, Chris menyimpan kekecewaan yang mendalam terhadap realiti sosial. Dia melihat corak kehidupan moden yang terikat dengan kebendaan, status dan kepura-puraan sebagai sesuatu yang mengongkong jiwa. Kekecewaan ini bertambah parah apabila Chris mendapati rahsia silam keluarga di mana bapanya masih mengekalkan hubungan serta mempunyai anak dengan isteri pertamanya semasa Chris dan adiknya dilahirkan. Rasa dikhianati ini mendorong Chris memutuskan terus hubungan dengan persekitaran bertamadun.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian universiti, Chris mengambil tindakan yang amat radikal. Dia mendermakan seluruh wang simpanannya sebanyak $24 000 kepada badan kebajikan OXFAM. Tanpa memberitahu keluarga atau adiknya, Carine, Chris memusnahkan kad pengenalan, lesen memandu serta kad kreditnya, membakar baki wang tunai dan meninggalkan kereta Datsun lamanya di Arizona selepas dilanda banjir kilat. Dia memadamkan identiti lamanya dan menjelma semula sebagai Alexander Supertramp.
Antara musim panas tahun 1990 hingga awal tahun 1992, Chris mengembara merentasi benua Amerika Syarikat. Dia hidup dengan berjalan kaki, menumpang kenderaan orang lain dan kadangkala melompat ke dalam gerabak kereta api barang. Bagi membiayai kelangsungan hidup asasnya, Chris melakukan pelbagai kerja kasar sambilan yakni daripada memetik buah di Californiaehinggalah bekerja di kilang pemprosesan gandum di Carthage, South Dakota di bawah majikannya, Wayne Westerberg.
Dalam tempoh ini, Chris membawa beg galas yang serba kekurangan bersama naskhah buku karya penulis dan pemikir agung seperti Leo Tolstoy, Henry David Thoreau dan Jack London yang menjadi panduan falsafah hidupnya. Keperibadian Chris yang karismatik dan berilmu menyebabkan dia dengan mudah memenangi hati sesiapa sahaja yang ditemuinya. Salah satu hubungan paling menyentuh perasaan adalah bersama Ronald Franz, seorang veteran Perang Dunia Kedua berusia 80 tahun di Salton City, California yang menganggap Chris seperti anak sendiri dan berhasrat mengambilnya sebagai cucu angkat. Walau bagaimanapun, Chris menolak secara halus kerana enggan mengikat dirinya dengan sebarang komitmen emosi.

Bagi Chris, pengembaraan merentas negeri-negeri Amerika hanyalah persediaan awal untuk matlamat utamanya, The Alaskan Odyssey. Dia mengimpikan ujian keupayaan fizikal dan rohani yang ekstrem iaitu hidup bersendirian di dalam hutan tebal Alaska tanpa teknologi, peta atau kompas. Pada April 1992, Chris menumpang sebuah kenderaan menuju ke bahagian utara Alaska. Pemandu terakhir yang menumpangkannya, Jim Gallien berasa amat bimbang apabila melihat peralatan Chris yang serba kekurangan seperti pakaian yang tidak cukup tebal, bekalan beras hanya 4.5 kg dan senapang kecil .22 kaliber. Walaupun dirayu untuk membatalkan niatnya, Chris berkeras. Sebelum berpisah di laluan Stampede Trail, Gallien sempat memberi sepasang bot getah kalis air dan sedikit bekalan roti.
Pada 28 April 1992, Chris berjalan kaki merintangi salji tebal dan melintasi Sungai Teklanika yang membeku. Beberapa hari kemudian, dia menemui sebuah bas awam usang (Fairbanks Bus 142) yang ditinggalkan sejak tahun 1960-an sebagai tempat perlindungan sementara pekerja pembinaan jalan raya. Bas ini dijadikan markas peribadinya yang dinamakan The Magic Bus. Chris bertahan hidup di bas tersebut selama lebih 100 hari dengan memburu haiwan kecil seperti tupai, burung, dan arnab serta memetik buah-buahan liar. Pada bulan Jun, dia berjaya menembak seekor rusa besar tetapi sebahagian besar daging tersebut rosak kerana dia belum mahir dalam teknik pengawetan daging

Pada awal Julai 1992 di mana selepas berasa tujuan ekspedisinya tercapai, Chris mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Namun apabila dia berjalan balik ke laluan asal, Sungai Teklanika yang dahulunya cetek semasa musim sejuk telah bertukar menjadi deras dan dalam akibat pencairan salji musim panas. Tanpa peta kawasan yang sebenarnya menunjukkan kewujudan kereta kabel penyelenggaraan tidak jauh dari situ, Chris terpaksa berpatah balik ke Bas 142.
Kekurangan bekalan makanan pada pertengahan musim panas menyebabkan Chris mula mengumpul dan memakan biji daripada tumbuhan liar wild potato (Hedysarum mackenzii). Analisis saintifik menunjukkan bahawa biji tersebut mengandungi toksin berbahaya L-canavanine yang menyebabkan kelumpuhan fizikal secara berperingkat dan menghalang badan daripada menyerap zat makanan.

Tubuh Chris menjadi terlalu lemah dan mengalami kelaparan teruk. Menyedari hayatnya bakal berakhir, Chris menulis nota perpisahan ringkas dan menampalnya di pintu bas untuk meminta bantuan. Pada hari-hari terakhirnya, Chris menyelimutkan dirinya di dalam beg tidur di dalam bas. Pada kira-kira 18 Ogos 199, kira-kira 113 hari selepas melangkah ke laluan Stampede Trail Christopher McCandless menghembuskan nafas terakhir pada usia 24 tahun. Mayatnya ditemui oleh pemburu tempatan kira-kira 19 hari kemudian pada 6 September 1992. Sebelum meninggal dunia, Chris sempat mencoretkan satu baris ayat ikonik di halaman belakang buku Doctor Zhivago:
"Happiness only real when shared."(Kebahagiaan hanya benar-benar wujud apabila ia dikongsi.)
Ayat ini dianggap sebagai kesedaran terbesar Chris di penghujung nyawanya bahawa kebebasan mutlak tanpa perhubungan dan kasih sayang sesama manusia tidak membawa kebahagiaan sejati.

Kisah hidup Chris diabadikan secara meluas apabila Jon Krakauer menerbitkan buku biografinya pada tahun 1996 yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem drama biografi bertajuk Into the Wild pada tahun 2007. Filem ini diarahkan oleh Sean Penn dengan persembahan muzik dan runut bunyi ikonik oleh vokalis Pearl Jam, Eddie Vedder. Watak Christopher McCandless dijayakan oleh pelakon Emile Hirsch yang mengamalkan komitmen ekstrem dengan membuang berat badan sebanyak 18 kilogram bagi melakonkan babak-babak akhir kelaparan. Filem yang turut dibintangi oleh Kristen Stewart, Vince Vaughn dan Hal Holbrook ini dirakamkan di lokasi-lokasi sebenar pengembaraan Chris dan meraih pelbagai anugerah termasuk dua pencalonan Anugerah Academy (Oscar).
Walau apa jua pandangan, Bas 142 pernah menjadi lokasi "ziarah" berbahaya bagi ramai pengembara dari seluruh dunia. Disebabkan kerap berlaku kes pengembara sesat dan maut semasa cuba menyeberangi Sungai Teklanika, kerajaan negeri Alaska telah memindahkan Bas 142 menggunakan helikopter tentera pada Jun 2020. Bas ikonik tersebut kini dipulihara dan dipamerkan secara selamat di Museum of the North di University of Alaska Fairbanks.
Catat Ulasan for "Kisah Benar Into the Wild: Pengembaraan Nekad Pemuda 24 Tahun yang Berakhir Duka"