Kisah Pembunuhan Kejam Chelsy Katrin Chandra

     Chelsy Katrin Chandra merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang membesar dalam komuniti Toraja di Kelurahan Waroki, Daerah Nabire Barat, Papua Tengah. Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah tempatan dikenali sebagai seorang yang ceria dan peramah. Pada bulan Mei 2026, Chelsy mula menjalin hubungan asmara dengan seorang remaja lelaki sebaya bernamanya Arya Wibowo Sulistio. Namun disebabkan ketidakmatangan usia, hubungan tersebut telah melampaui batas pergaulan hingga membawa kepada perbuatan persetubuhan berulang kali secara bersembunyi.


     Hubungan tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Arya memutuskan hubungan pada penghujung bulan Jun 2026 kerana dia ingin memikat gadis lain. Keputusan mendadak itu menyebabkan Chelsy mengalami kekecewaan yang mendalam. Menerusi pertengkaran di aplikasi pesanan ringkas, Chelsy menuntut Arya supaya bertanggungjawab selain memberi amaran untuk mendedahkan rahsia hubungan intim mereka kepada ibu bapa Arya sekiranya dia terus mengelak. Amaran tersebut mencetuskan panik yang kepada Arya kerana dia terlalu takut perbuatannya diketahui oleh bapanya yang didakwa merupakan seorang anggota polis. Ketakutan inilah yang mendorong suspek merancang pembunuhan tersebut demi menutup rahsia berkenaan.

     Pada Rabu malam, 29 Julai 2026, Arya bertindak menjalankan rancangan jenayah yang telah disediakan lebih awal. Sebelum mengajak mangsa bertemu, Arya terlebih dahulu menyimpan sebilah senjata tajam dan sebotol minyak petrol di dalam ruangan simpanan motosikalnya. Arya kemudian menghubungi Chelsy lalu mengajaknya meronda ke kawasan Jalan Poros Waroki berhampiran Pantai Naikere yakni sebuah laluan yang terpencil dan sunyi. Setibanya di lokasi kejadian, Arya cuba menyerang Chelsy menggunakan senjata tajam. Walaupun Chelsy sempat bergelut dan melarikan diri, Arya berpura-pura membuang senjata tersebut lalu memujuk mangsa untuk mendekatinya semula.


     Sebaik sahaja Chelsy kembali berhampiran, Arya bertindak kasar hingga Chelsy rebah ke tanah. Arya seterusnya mencekik leher Chelsy dengan kuat hingga gadis itu mengalami kekurangan oksigen lalu pengsan. Dalam keadaan Chelsy yang tidak berdaya, suspek menyiram petrol ke atas tubuh dan kepala mangsa sebelum membakarnya bagi melupuskan bukti fizikal serta menyukarkan pengecaman mayat. Arya kemudian melarikan diri meninggalkan lokasi kejadian seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

     Pada sekitar jam 8:00 malam, mayat Chelsy ditemui dalam keadaan rentung oleh seorang penduduk setempat yang kebetulan melalui di laluan berkenaan. Laporan segera dibuat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Nabire yang kemudiannya tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan awal di bawah pimpinan Timbalan Ketua Polis Daerah Nabire, Kompol Peter Kendek. Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Daerah Nabire menggunakan kenderaan peronda polis bagi tujuan siasatan forensik.


     Meskipun pengecaman fizikal menghadapi kesukaran akibat kesan terbakar yang parah, pasukan penyiasat berjaya merungkai petunjuk penting menerusi analisis terperinci ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan lokasi kejadian. Hasil siasatan membawa kepada penangkapan Arya di kediamannya di Kelurahan Kalisusu pada Jumaat, 31 Julai 2026 sekitar jam 4:40 pagi. Hasil soal siasat, Arya akhirnya mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan tersebut. Walaupun Arya baru berusia 14 tahun, pihak polis menegaskan bahawa proses perundangan tetap dilaksanakan secara tegas menerusi Sistem Keadilan Jenayah Kanak-Kanak mengikut peruntukan Perlindungan Perempuan dan Anak bagi menjamin keadilan buat pihak mangsa.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Chelsy Katrin Chandra"