KISAH KEMATIAN SRISHTI KANDARI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Srishti Kandari berasal dari perkampungan Shrikot di kawasan Srinagar, daerah Pauri Garhwal, sebuah kawasan berbukit yang indah di Uttarakhand, India. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga pendidik di mana ibu bapanya, mendiang Sumer Singh Kandari dan Seema Kandari bekerja sebagai guru. Srishti mempunyai perwatakan yang tabah terutamanya selepas bapa kandungnya itu meninggal dunia pada tahun 2020. Di atas kekuatan mental dan usahanya yang tinggi, Srishti berjaya melanjutkan pelajaran hingga peringkat Sarjana Sains dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Keazaman Shrishti membuahkan hasil apabila berjaya lulus peperiksaan perkhidmatan awam dan dilantik sebagai guru kerajaan di daerah Tehri pada usia yang muda.
Menyediri pencapaian dan perwatakan Srishti yang cemerlang, ibunya berusaha mencari pasangan hidup yang sekufu dan berpendidikan. Jodoh akhirnya menemukan Srishti dengan Saurabh Khatri, seorang lelaki berusia sekitar 36 tahun yang berasal dari Harrawala, Dehradun. Saurabh memegang jawatan berpangkat tinggi sebagai Setiausaha Peribadi di Sekretariat Uttarakhand manakala keluarganya dikenali sebagai sebuah keluarga terkemuka yang mempunyai kedudukan sosial dan sebuah kediaman mewah di kawasan elit Dehradun. Percaya bahawa pasangan ini sepadan dari segi status kerjaya dan kelulusan, perkahwinan mereka dilangsungkan dengan meriah pada November 2025. Pihak keluarga Srishti telah mengorbankan sebahagian besar simpanan mereka bagi memastikan majlis perkahwinan tersebut berjalan lancar demi maruah dan masa depan anak kesayangan mereka.

Meskipun fasa awal perkahwinan berjalan dengan normal, konflik mula tercetus apabila bapa mentua Srishti mengalami masalah kesihatan serius dan disahkan menghidap kanser selain diserang sakit jantung beberapa bulan selepas majlis perkahwinan tersebut. Walaupun pelbagai ikhtiar perubatan telah diusahakan oleh pihak keluarga, keadaan kesihatan warga emas itu semakin merosot. Maka dalam keadaan terdesak dan dibelenggu kebimbangan, keluarga mentua Srishti dilaporkan terpesong ke arah amalan karut dengan mendapatkan khidmat seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai bomoh atau pengamal ilmu hitam.
Berdasarkan siasatan dan laporan yang mendedahkan punca tekanan, pengamal tahyul tersebut telah menanam fahaman songsang kononnya kehadiran Srishti sebagai menantu baharu membawa nasib malanh dan menjadi punca kepada segala musibah kesihatan yang menimpa ketua keluarga tersebut. Keluarga yang berpendidikan tinggi itu tanpa usul periksa mempercayai dakwaan karut berkenaan. Sejak detik itu, layanan terhadap Srishti berubah 180 darjah. Dia mula dijadikan kambing hitam atas setiap masalah kecil yang berlaku di dalam rumah tangga dan kesihatan bapa mentuanya yang semakin merosot sekali gus mencetuskan tekanan psikologi yang amat berat.

Tekanan emosi yang ditanggung oleh Srishti semakin memuncak selepas bapa mentuanya akhirnya meninggal dunia di hospital akibat penyakit yang dihadapinya. Kematian tersebut dijadikan alasan kukuh oleh suami, ibu mentua dan kakak iparnya untuk terus menyisih serta menyeksa mangsa secara mental. Srishti dituduh secara terbuka sebagai membawa sial, dihalang daripada terlibat dalam sebarang upacara penting keluarga selain berdepan dengan pelbagai bentuk caci maki termasuk isu berkaitan hantaran serta status kewangan keluarganya.
Suami mangsa, Saurabh Khatri yang sepatutnya menjadi pelindung dan tempat mengadu didakwa gagal mempertahankan isterinya. Dia bahkan turut bersama-sama menyertai ahli keluarga yang lain dalam menekan Shristi. Disebabkan berasa tiada sebarang jalan keluar dan enggan membebani ibunya yang berada jauh di Pauri Garhwal, Srishti mengambil keputusan nekad untuk membunuh diri. Pada pagi 29 Julai 2026 yakni sekitar jam 7:00 pagi, Srishti merakamkan sebuah video pendek melalui telefon bimbitnya dalam keadaan menangis teresak-esak (video di hujung artikel). Di dalam rakaman tersebut, dia memohon maaf kepada ibunya selain menceritakan bagaimana dia didera secara mental dan dicemuh sebagai pembawa sial oleh suami serta ahli keluarganya sendiri. Video tersebut dikirimkan kepada ibunya menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dia mengakhiri hayatnya dengan menggantung diri.

Ibu mangsa, Seema Kandari yang membuka mesej tersebut pada jam 7:20 pagi segera panik dan cuba menghubungi anak serta ahli keluarga menantunya namun panggilan tersebut sengaja tidak dijawab. Hanya kira-kira sejam kemudian, pihak keluarga mentua menghubungi pihak waris di kampung dengan maklumat ringkas bahawa Srishti berada dalam keadaan kritikal di hospital di Dehradun. Apabila ahli keluarga tiba di hospital selepas perjalanan jauh dari Srinagar, mereka mendapati Srishti telah pun meninggal dunia jauh lebih awal daripada waktu yang dimaklumkan oleh pihak suami.

Kes ini segera membawa kepada tindakan undang-undang yang tegas apabila pihak keluarga Shristi membuat laporan polis rasmi menuntut keadilan. Susulan daripada tekanan awam dan arahan pihak berkuasa tertinggi negeri Uttarakhand, kes ini diserahkan kepada unit khas jenayah CBCID untuk siasatan menyeluruh. Bedah siasat yang dijalankan secara telus di bawah pengawasan pihak berkuasa mengesahkan punca kematian adalah akibat jerutan pada leher. Pada 1 Ogos 2026, pihak polis telah menahan Saurabh Khatri dan kakak iparnya bagi membantu siasatan lanjut manakala permohonan jaminan bagi pihak ibu mentua mangsa ditolak oleh mahkamah.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SRISHTI KANDARI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "