Tak Puas Hati Ibu Dapat Kerja Kerajaan, Gadis Ini Jadi Mastermind Pembunuhan

      Pada 5 Julai 2026, pihak polis di Jaipur, India telah menahan seorang penuntut undang-undang tahun akhir berusia 23 tahun bernama Ayushi Sharma di bilik asramanya. Ketika serbuan dilakukan, polis mendapati buku rujukan undang-undang jenayah di meja Ayushi terbuka pada halaman yang membincangkan hukuman kes kesalahan membunuh. Penangkapan ini merungkai satu konspirasi pembunuhan terancang yang didalangi sendiri oleh Ayushi terhadap ibu kandungnya. 

     Mangsa dalam kes ini ialah ibu kandung suspek, Nirasha Sharma yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai kerani rendah di mahkamah. Bapa Ayushi iaitu mendiang Vijai Kumar Sharma sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran Kehakiman di Mahkamah Tinggi Rajasthan sebelum meninggal dunia akibat masalah kesihatan pada tahun 2025. Susulan kematian bapa Ayushi, Nirasha telah berjaya memohon dan mendapatkan jawatan sektor awam tersebut melalui skim pelantikan belas kasihan (Compassionate Appointment) bagi menyara kehidupan keluarga mereka. 


     Motif utama pembunuhan ini berpunca daripada rasa tidak puas hati dan dendam Ayushi terhadap ibunya. Dia menuntut jawatan sektor awam berprestij itu kerana menganggap kedudukannya sebagai pelajar undang-undang lebih melayakkan dirinya memegang jawatan tersebut. Selain itu, Ayushi turut mendesak agar harta pusaka bernilai jutaan rupee serta pampasan insurans bapanya dibahagikan segera. Walau bagaimanapun, Nirasha enggan menuruti desakan itu kerana mahu mengutamakan masa depan anak bongsu mereka yang mempunyai masalah kekangan fizikal atau kurang upaya. 

    Sebelum merancang pembunuhan di jalan raya, Ayushi bersama rakan subahatnya yang terdiri daripada bapa saudara dan sepupu sebelah bapanya pernah mencuba beberapa kaedah lain yang gagal. Mereka mula-mula merancang untuk meracuni makanan Nirasha sebanyak dua kali dan cuba melakonkan insiden rompakan bersenjata palsu namun semua rancangan tersebut tidak berjaya. Selepas itu, Ayushi mengambil keputusan untuk mengupah kumpulan pembunuh upahan dengan bayaran sebanyak 700 000 rupee yakni menggunakan sebahagian wang insurans bapa serta tipu alasan yuran pengajian. 


      Kemuncak kejadian berlaku pada petang 3 Julai 2026 ketika Nirasha sedang memandu kereta pulang selepas menghantar anak bongsunya. Sebuah kenderaan SUV hitam yang dipandu oleh pembunuh upahan bernama Hemant Sharma secara sengaja telah merempuh kereta mangsa pada kelajuan 130 km/j tanpa sebarang usaha membrek. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh 30 meter dan maut serta-merta di tempat kejadian. Pihak polis akhirnya berjaya membongkar keseluruhan konspirasi ini menerusi analisis rakaman CCTV, penjejakan GPS serta rakaman audio kotak hitam kenderaan suspek. Susulan penangkapan ini, pihak polis turut membuka semula kertas siasatan terhadap kematian bapa Ayushi pada tahun 2025 yang turut dicurigai mati akibat perbuatan terancang.  

      Hingga setakat ini, suspek utama iaitu Ayushi Sharma bersama beberapa individu lain yang terlibat termasuk pembunuh upahan dan anggota keluarga yang bersubahat itu telah ditahan oleh pihak polis dan kes ini masih dalam peringkat siasatan serta proses perundangan awal.

Catat Ulasan for "Tak Puas Hati Ibu Dapat Kerja Kerajaan, Gadis Ini Jadi Mastermind Pembunuhan "