Kisah Pembunuhan Kejam Putri Regita Amanda

      Pada bulan Februari 2025, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Jombang, Jawa Timur yang meragut nyawa seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, Putri Regita Amanda. Dia yang lahir pada 22 Ogos 2006 menetap di Desa Sebani, Kecamatan Sumobito, Jombang. Semasa kejadian, Putri sedang berada di tahun akhir di mana dia dijadualkan menamatkan pengajiannya dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi. Kehidupan Putri di rumah diwarnai oleh hubungan yang amat erat dengan bapanya iaitu Pak Misman yang berusia sekitar 60 tahun. Ini kerana ibu mangsa telah meninggal dunia setahun sebelum kejadian itu berlaku manakala kakaknya pula sudah lama berkeluarga dan menetap di Surabaya. Disebabkan faktor usia dan situasi keluarga, Pak Misman sentiasa mengambil berat keselamatan anak bongsunya itu.

      Seperti kebanyakan remaja seusianya, Putri aktif menggunakan media sosial untuk mencari kenalan baharu. Sebulan sebelum kejadian, dia mula berkenalan dengan seorang pemuda berusia 18 tahun bernama Adiansyah Putra yang berasal dari Desa Sembung, Perak, Jombang. Hubungan jarak jauh secara maya itu berkembang menjadi ikatan kekasih setelah kerap berbalas mesej di Facebook.

      Kejadian sebenar bermula apabila mereka sepakat untuk bertemu buat kali pertama pada petang Isnin, 10 Februari 2025 di sekitar daerah Mojowarno. Pada sekitar jam 4 petang pada hari tersebut, Putri telah meminta izin daripada bapanya untuk keluar sebentar atas urusan mengambil barang secara(Cash On Delivery). Tanpa sebarang rasa curiga, bapanya memberi keizinan kepada Putri dengan syarat anaknya itu tidak pulang terlalu lewat. Putri kemudian beredar dengan menaiki motosikal jenis Honda Vario miliknya sambil membawa telefon pintar.

      Setelah masa berlalu dan jarum jam terus berganjak melepasi waktu Isyak, Pak Misman mula berasa bimbang apabila Putri masih belum pulang ke rumah sedangkan jam sudah mencecah pukul 9 malam. Apabila cuba dihubungi, telefon Putri didapati tidak aktif. Usaha pencarian yang dilakukan oleh keluarga sepanjang malam tersebut menemui jalan buntu. 

      Misteri kehilangan itu akhirnya terjawab pada keesokan paginya, Selasa, 11 Februari 2025. Pada sekitar jam 7.30 pagi, dua orang penduduk yang melalui kawasan terusan sungai di Dusun Peluk, Desa Pacar Peluk, Megaluh, Jombang terkejut selepas melihat sekujur tubuh manusia hanyut mengikut arus air. Penduduk segera mendapatkan bantuan kayu serta taliuntuk menarik dan menaikkan jasad tersebut ke tepian tebing bagi mengelakkan ia terus hanyut. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa memakai baju sweater kuning dan seluar hitam selain lengkap dengan barangan peribadi seperti rantai dan cincin namun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

     Berita penemuan mayat itu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sebelum mangsa dihantar ke hospital. Mendengar berita tular mengenai penemuan mayat seorang gadis bersweater kuning, Pak Misman bergegas ke hospital tersebut sebelum mengesahkan bahawa jasad yang telah kaku itu adalah anak bongsunya, Putri Regita Amanda.

      Siasatan intensif yang dijalankan oleh pihak polis Jombang merungkai kronologi sebenar kejadian yang meragut nyawa Putri. Selepas berjaya menemui Adiansyah Putra di Mojowarno pada petang Isnin itu, Putri tidak terus dibawa pulang tetapi sebaliknya diajak singgah ke sebuah warung kopi di daerah Perak sebelum dibawa ke kediaman rakan Adiansyah yang bernama Ahmad Thoriq (18 tahun). Di rumah tersebut, terdapat seorang lagi individu dewasa berusia 32 tahun bernama Lutfi.

       Di lokasi tersebut, pertengkaran tercetus apabila Putri didakwa dipaksa untuk meminum minuman keras. Selepas Putri menolak ajakan tersebut dengan tegas, Adiansyah bertindak agresif dengan melancarkan serangan fizikal berupa pukulan kuat pada bahagian perut mangsa hingga remaja itu jatuh rebah, kesakitan serta hilang daya untuk melawan. Melihat mangsa yang sudah ketakutan dan tidak berdaya, ketiga-tiga suspek yang turut berada di bawah pengaruh bahan terlarang mengambil keputusan membawa Putri ke kawasan sawah yang sunyi dan gelap di Desa Godong, Kecamatan Gudo. Di lokasi terpencil itulah ketiga-tiga pelaku secara bergilir-gilir merogol Putri yang sudah separuh sedar dan lemah. 


     Setelah melampiaskan nafsu buas mereka, ketiga-tiga suspek menyedari bahawa Putri masih bernafas dan bimbang perbuatan keji itu terbongkar sekiranya gadis itu membuat laporan polis. Bagi menghilangkan jejak jenayah, mereka merancang melupuskan mangsa dengan membawanya secara berbonceng tiga menggunakan motosikal Putri menuju ke sebatang sungai di kawasan sempadan Kediri. Dalam keadaan Putri yang tidak sedarkan diri namun masih bernafas, suspek mencampakkan tubuhnya ke dalam arus sungai yang deras agar hanyut dan hilang. Selepas itu, suspek bertindak merampas motosikal Vario dan telefon Putri lalu menjual motosikal tersebut pada harga RM600 bersamaan sekitar 2.2 juta rupiah untuk kegunaan peribadi.

     Bertindak atas maklumat risikan dan analisis digital, pihak polis Jombang melancarkan operasi memburu suspek. Pada Rabu, 12 Februari 2025, sekitar jam 3 petang, pihak polis berjaya menahan Adiansyah Putra dan Ahmad Thoriq di sebuah warung di Jalan Raya Gudo, Jombang. Adiansyah dilaporkan terpaksa ditembak pada bahagian kaki selepas bertindak agresif melawan anggota polis ketika serbuan dibuat. Siasatan lanjut kemudian membawa polis ke daerah Kunjang, Kediri untuk menahan suspek ketiga iaitu Lutfi. Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan reman di bawah peruntukan undang-undang jenayah berat termasuk pertuduhan pembunuhan terancang dan jenayah seksual berkumpulan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau 20 tahun penjara.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Putri Regita Amanda"