Bekas Bomba Alami Kerosakan Otak Kekal Selepas Makan Tiram Mentah

     AMERIKA SYARIKAT— Seorang pesara bomba Illinois yang juga veteran Kor Marin Amerika Syarikat dilaporkan terlantar di hospital selama lebih setahun akibat kecederaan otak kekal, dipercayai selepas menikmati hidangan tiram mentah.

     Joe Belgio, 44 tahun mengalami serangan jantung, koma berbulan-bulan dan kerosakan otak kekal selepas makan tiram tercemar di Gibsons Steakhouse & Bar di Oak Brook pada 30 Jun 2025. Menurut dokumen guaman yang diperoleh ABC 7 Chicago, kejadian malang itu berlaku ketika mangsa bersama tunangnya, Melanie Stayer dan keluarga sedang keluar menyambut kelahiran anak perempuan mereka yang baru berusia lima bulan, Carmela.

     Peguam mangsa, Scott O’Sullivan berkata, Belgio jatuh sakit teruk serta mengalami serangan jantung tiga hari selepas menikmati hidangan tersebut yang menyebabkan dia pengsan dan ketiadaan oksigen selama sekurang-kurangnya lapan minit. Belgio berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba Cicero yakni bekas pasukan tempatnya pernah berkhidmat sebelum dikejarkan ke hospital.

      Hasil saringan perubatan mendapati pelbagai patogen dalam sistem badan mangsa. Menurut laporan CBS News, guaman tersebut mendakwa Belgio dijangkiti dua jenis bakteria berbahaya daripada tiram berkenaan iaitu Enteropathogenic E. coli (EPEC) dan Plesiomonas shigelloides.


      Akibat kejadian itu, Belgio terpaksa menanggung bil perubatan melebihi USD1 juta dan kini terlantar kekal di hospital dengan keperluan penjagaan rapi sepanjang masa. O’Sullivan memaklumkan bahawa anak guamnya mengalami kerosakan otak yang teruk dengan kapasiti kognitif yang sangat rendah sekali gus memerlukan penjagaan seumur hidup.

      Sementara itu, pihak Gibsons mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes keracunan lain dilaporkan dan menegaskan tiada bukti yang menunjukkan premis mereka punca kepada keadaan kesihatan mangsa berdasarkan siasatan dalaman. Selain restoran tersebut, dua pembekal makanan laut iaitu Supreme Lobster dan Seafood Company turut dinamakan dalam tindakan saman terbabit.

     Bagi meringankan beban keluarga, satu kempen GoFundMe telah dilancarkan sejak 8 Julai 2025 dan berjaya mengumpul lebih USD85 000. Kempen tersebut menyifatkan Belgio sebagai seorang bapa yang penyayang.

Catat Ulasan for "Bekas Bomba Alami Kerosakan Otak Kekal Selepas Makan Tiram Mentah"