Kisah Robert Hansen, Penyembelih Alaska

      Robert Christian Hansen yang dikenali secara meluas dengan gelaran The Butcher Baker merupakan salah seorang pembunuh bersiri paling kejam dan licik dalam sejarah jenayah Amerika Syarikat. Bermula dari tahun 1971 hingga 1983, dia telah menculik, merogol dan membunuh sekurang-kurangnya 17 wanita dengan anggaran sebenar dipercayai jauh lebih tinggi di kawasan terpencil dan hutan belantara sekitar Anchorage, Alaska. Di sebalik kejayaan luarannya sebagai seorang ahli perniagaan yang dihormati, Hansen menyimpan sisi gelap yang menjadikannya salah seorang pemangsa manusia paling ditakuti di rantau utara tersebut.

     Hansen dilahirkan pada 15 Februari 1939 di Estherville, Iowa dalam sebuah keluarga yang mengusahakan perniagaan bakeri. Zaman kanak-kanak dan remaja Hansen dibayangi oleh pelbagai kekecewaan sosial yang mendalam. Dia mengalami masalah pertuturan yang teruk iaitu gagap di samping masalah jerawat yang kronik dan teruk pada kulit mukanya. Keadaan fizikal ini menjadikannya sasaran buli yang kerap oleh rakan sebaya hingga menyebabkannya membesar sebagai seorang remaja yang pendiam, tersisih dan menyimpan rasa marah yang mendalam terhadap orang sekeliling. Kekecewaan sosial yang berterusan ini membenih satu bentuk kebencian dan keinginan untuk mendominasi orang lain yang kemudiannya disalurkan melalui aktiviti memburu haram, vandalisme dan perbuatan agresif kecil-kecilan.

     Pada tahun 1967 yakni setelah gagal menyesuaikan diri sepenuhnya dengan kehidupan di Iowa dan terjerat dengan beberapa siri kesalahan kecil termasuk membakar harta benda awam, Hansen membuat keputusan untuk berpindah ke Anchorage, Alaska demi mencari lembaran hidup baharu. Di luar, Hansen berjaya membina imej sebagai seorang yang patuh undang-undang, suami yang taat, bapa kepada dua orang anak, ahli gereja yang aktif serta pemilik sebuah perniagaan kedai kek yang maju dan dihormati ramai. 

     Kejayaan perniagaan keknya serta minat mendalam Hansen sebagai seorang juruterbang persendirian dan pemburu berpengalaman memberikan Hansen kelebihan logistik yang luar biasa untuk merancang serta melaksanakan jenayah tanpa dikesan oleh pihak berkuasa. Dia memiliki lesen memandu pesawat udara serta sebuah pesawat kecil di samping kenderaan pacuan empat roda yang membolehkannya merentasi kawasan hutan belantara Alaska yang tebal dan sukar diakses. Sasaran utamanya terdiri daripada golongan wanita yang dianggap hina oleh masyarakat seperti penari kelab malam, pelacur dan wanita gelandangan yang sering berkumpul di kawasan hiburan malam di Fourth Avenue, Anchorage. Hansen tahu bahawa sekiranya wanita-wanita ini hilang, laporan kehilangan selalunya lewat dibuat atau dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

     Modus operandi Hansen selalunya bermula dengan tawaran lumayan sama ada wang tunai yang banyak, peluang pekerja dan ajakan menaiki kereta atau pesawat peribadinya dengan alasan untuk bersiar-siar dari udara dan merakamkan gambar di kawasan terpencil. Sebaik sahaja mangsa mempercayainya dan menaiki kenderaan atau pesawat tersebut, Hansen akan membawa mereka ke lokasi sunyi sama ada di kabin terpencil miliknya atau jauh ke pedalaman Lembah Knik (Knik River Valley). Di kawasan hutan belantara yang terpencil dan luas itu, Hansen akan melepaskan mangsa seperti haiwan buruan, memberi mereka sedikit peluang untuk melarikan diri sebelum memburu, merogol dan akhirnya membunuh mereka menggunakan pisau berburu atau senapang berkaliber .223.

     Kegiatan kejam Robert Hansen akhirnya terbongkar pada 13 Jun 1983 berkat keberanian seorang mangsa berusia 17 tahun bernama Cindy Paulson. Paulson, seorang remaja yang terperangkap dalam kancah pelacuran jalanan di Anchorage telah diculik oleh Hansen dengan tawaran wang yang lumayan. Dia dibawa ke rumah Hansen di mana dia diikat, diancam dengan senjata dan dirogol berulang kali. Namun semasa Hansen leka mencari kunci keretanya untuk membawa Paulson ke kawasan hutan terpencil, Paulson melihat peluang keemasan untuk melarikan diri.

     Menerusi pakaian yang tidak lengkap dan dalam keadaan ketakutan melampau, Paulson berjaya merempuh pintu keluar, berlari ke lebuh raya yang sibuk di Anchorage sebelum menahan sebuah lori yang sedang melalui kawasan tersebut. Pemandu lori itu membawanya ke balai polis Anchorage. Pada mulanya, pegawai penyiasat bersikap skeptikal terhadap cerita Paulson kerana latar belakangnya sebagai gadis jalanan. Walau bagaimanapun, Sarjan Bob Henderson, seorang penyiasat berpengalaman melihat corak yang konsisten antara pengakuan Paulson dengan beberapa kes kehilangan misteri wanita pelacur di bandar itu yang tidak pernah menemui jalan penyelesaian.

     Berbekalkan keterangan terperinci daripada Cindy Paulson mengenai struktur rumah, kenderaan dan rupa bentuk Hansen, Sarjan Bob Henderson bersama pasukan penyiasat polis Anchorage berjaya mendapatkan waran geledah untuk memeriksa rumah, kenderaan serta pesawat milik Robert Hansen. Penggeledahan tersebut mendedahkan timbunan bukti fizikal yang amat kukuh dan tidak boleh disangkal lagi di mahkamah. Di dalam rumah dan pesawat Hansen, polis menemui puluhan barangan kemas, jam tangan, lesen memandu serta kad pengenalan milik mangsa-mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.


     Lebih mengejutkan, pasukan forensik turut merampas senapang berkaliber .223 yang apabila diuji secara balisti terbukti sepadan sepenuhnya dengan kelongsong peluru yang ditemui berhampiran rangka mayat beberapa mangsa yang dijumpai di kawasan Lembah Knik. Polis turut menemui sebuah peta terperinci di kediaman Hansen yang mempunyai tanda titik hitam dan simbol X kecil, tanda yang dilukis oleh Hansen sendiri bagi merekodkan lokasi tepat di mana dia menanam mayat mangsa-mangsa yang telah dibunuhnya di celah-celah hutan belantara Alaska.

     Menyedari bahawa dirinya dikepung oleh bukti forensik yang amat membebankan dan boleh membawa kepada hukuman mati, peguam bela Hansen merundingkan satu perjanjian pengakuan bersalah dengan pihak pendakwaan negeri. Melalui perjanjian tersebut, Hansen bersetuju mendedahkan lokasi sebenar kubur mangsa-mangsa yang lain dan mengaku bersalah atas empat kes pembunuhan berprofil tinggi. Siasatan bagaimanapun mendedahkan bahawa beliau sebenarnya bertanggungjawab atas sekurang-kurangnya 17 kes pembunuhan yang direkodkan manakala jumlah sebenar mangsa dianggarkan jauh lebih tinggi berdasarkan peta peribadinya.

     Pada Februari 1984, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 461 tahun tanpa sebarang kemungkinan parol kepada Robert Hansen. Dia dipindahkan ke Penjara Spring Creek di Seward, Alaska, sebuah penjara keselamatan maksimum di mana dirinya menghabiskan baki usianya dalam pengasingan. Selepas menjalani hukuman selama lebih tiga dekad, Robert Hansen meninggal dunia akibat masalah kesihatan usia tua pada 21 Ogos 2014 ketika usianya mencecah 75 tahun.


Catat Ulasan for "Kisah Robert Hansen, Penyembelih Alaska"