PEMINAT TEGAR K-POP INI BUNUH DIRI SELEPAS JADI MANGSA BULI SIBER

Baru-baru ini, Mina Chan iaitu seorang peminat tegar kumpulan muzik popular Korea Selatan, ENHYPEN telah membunuh diri pada usia 26 tahun. Wanita itu mengambil tindakan sedemikian akibat tekanan mental yang dialaminya setelah menjadi mangsa kecaman dan buli siber yang berleluasa di media sosial.
Mina merupakan seorang wanita berdarah Jepun yang menetap di Korea Selatan dan baru sahaja menamatkan pengajiannya dari Universiti Rikkyo. Sebagai seorang peminat yang sangat setia, dia telah menghabiskan banyak masa, tenaga serta wang untuk menyokong kumpulan ENHYPEN, terutamanya ahli kegemarannya bernama Ni-ki. Disebabkan minat yang mendalam, Mina sering hadir ke konsert jelajah di pelbagai negara dan membina akaun peminat yang mempunyai pengikut yang ramai.

Walau bagaimanapun, segalanya mula berubah pada penghujung bulan Julai 2026 semasa sebuah konsert di Amerika Syarikat. Pada malam itu, Mina telah membawa dua jambangan yakni bunga matahari untuk Sunoo dan bunga ros untuk Ni-ki. Ketika konsert berlangsung, Mina mencampakkan jambangan bunga matahari ke atas pentas. Sunoo yang menyambut bunga tersebut kelihatan agak terkeliru sebelum mencampakkannya semula kepada penonton. Niat asal Mina hanyalah mahu mencetuskan detik mesra antara Sunoo dan Ni-ki yang memang dikenali sebagai rakan baik. Malangnya, tindakan itu telah disalah tafsir oleh segelintir peminat yang menganggap Mina biadab dan cuba mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.
Keadaan menjadi semakin keruh beberapa hari kemudian iaitu pada 31 Julai 2026 apabila Ni-ki mengadakan satu sesi siaran langsung. Tanpa menyebut nama sesiapa pun, Ni-ki secara umum berkongsi rasa kurang senangnya terhadap sikap sesetengah penonton di barisan hadapan yang terlalu ketara mencari perhatian peribadi hingga mengganggu suasana konsert untuk orang lain. Walaupun tiada nama dipetik, sebahagian warga maya dengan pantas membuat andaian melulu dan mengaitkan ucapan itu dengan insiden bunga yang dilakukan oleh Mina.

Bermula dari detik itu, nama Mina disebarkan secara meluas di media sosial. Dia dihujani dengan ribuan mesej kebencian yang bertalu-talu. Bukan sahaja tindakan di konsert itu dipertikaikan malah netizen mula mengorek kisah silam peribadinya termasuklah kerjaya lampaunya sebagai seorang pelayan di Jepun semata-mata untuk menjatuhkan maruah dan mengecam dirinya tanpa belas kasihan.
Meskipun berada dalam tekanan yang hebat, Mina menunjukkan sikap bertanggungjawab. Pada 1 Ogos 2026, dia memuat naik satu hantaran permohonan maaf terbuka di laman X yang telah ditonton lebih 28 juta kali. Mina mengakui kesilapannya kerana terlalu taksub sehingga garis sempadan antara realiti dan dunia peminat menjadi kabur selain memohon maaf kepada Sunoo serta seluruh peminat dan terus menutup akaun peminatnya.

Permohonan maaf itu bagaimanapun langsung tidak memadamkan kemarahan warga maya. Serangan terhadap dirinya semakin menjadi-jadi tanpa henti. Puncak kepada penderitaan itu berlaku pada awal pagi 5 Ogos 2026. Di dalam sebuah siaran langsung terakhir berdurasi 33 minit di platform TikTok dari kediamannya di daerah Yongsan, Seoul, Mina meluahkan rasa putus asa yang mendalam terhadap buli siber yang ditanggungnya sebelum dia bertindak menelan sejumlah pil yang banyak dan menggantung diri di hadapan para penonton yang menonton strim tersebut. Rakan-rakan dan penonton yang cemas segera menghubungi pihak polis dan perkhidmatan kecemasan. Namun malangnya apabila pasukan keselamatan tiba di apartmen tersebut pada jam 5:33 pagi, nyawanya sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Catat Ulasan for "PEMINAT TEGAR K-POP INI BUNUH DIRI SELEPAS JADI MANGSA BULI SIBER"