Betapa Bahayanya Salman Khan....


      Dunia Bollywood tidak lengkap tanpa memperkatakan tentang Abdul Rashid Salim Salman Khan atau lebih dikenali sebagai Salman Khan yang telah mencipta fenomena dan mendominasi industri filem selama lebih tiga dekad. Semenjak menjejakkan kaki ke dalam arena lakonan dan merayakan tempoh lebih 35 tahun berkecimpung dalam industri, dia telah membintangi lebih daripada 100 buah filem merangkumi pelbagai karya blokbuster serta membina kelompok peminat tegar yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk melihat kelibatnya di layar perak. Namun apa yang menjadikan perjalanan hidup Salman Khan begitu unik, kelangsungan kerjayanya kekal utuh di puncak populariti meskipun dirinya berdepan dengan pelbagai kontroversi peribadi, kes jenayah berat serta pertelingkahan terbuka dengan pelbagai pihak dalam industri hiburan India.

       Keluarga Salman Khan mempunyai akar umbi yang kukuh dalam industri perfileman India sebagai anak sulung kepada Salim Khan, seorang penulis skrip tersohor yang mengetengahkan karya-karya malar segar seperti Sholay, Zanjeer, Deewaar dan Don. Meskipun lahir dalam keluarga seni yang berpengaruh, bapa Salman Khan tidak pernah mengenakan sebarang tekanan atau menggunakan pengaruh namanya untuk melancarkan kerjaya anak-anaknya. Perkara ini memberikan Salman Khan kebebasan penuh dalam membuat keputusan peribadi dan profesional. Dia memulakan langkah kecil menerusi watak sokongan dalam filem Biwi Ho To Aisi pada tahun 1988 sebelum melakar kejayaan luar biasa menerusi watak utamanya sebagai Prem dalam filem fen55omena Maine Pyar Kiya (1989) yang mencatat rekod kutipan tertinggi pada era itu sekali gus melayakkannya merangkul Anugerah Filmfare bagi Pelakon Lelaki Terbaik dan membuka tirai era kegemilangan sepanjang dekad 1990-an.

    Dekad 90-an merupakan fasa indah bagi kerjaya Salman Khan di mana filem-filem romantik seperti Saajan, Hum Aapke Hain Koun..! dan Andaz Apna Apna memperkukuhkan imejnya sebagai lver boy atau kekasih pujaan ramai yang memiliki rupa paras tampan serta fizikal maskulin yang mencetuskan trend baharu di India. Di celah-celah kemuncak era romantik ini, Salman turut melakonkan watak Aman Mehra menerusi penampilan istimewa (cameo) dalam filem klasik arahan Karan Johar, Kuch Kuch Hota Hai (1998). Pada era lewat 90-an yang belum dikuasai oleh kemudahan media sosial atau platform internet, kehadiran Salman dirahsiakan dengan rapi yang menjadikan kemunculannya di layar perak satu kejutan. Suasana pawagam dilaporkan meletup dengan jeritan, sorakan gemuruh, tepukan tangan serta siulan penonton apabila Salman muncul buat kali pertama menerusi babak lagu popular Saajan Ji Ghar Aaye.  Penampilan fizikalnya yang berada di kemuncak ketampanan (peak 90s prime) bersama watak Aman Mehra yang digambarkan sebagai seorang tunang yang budiman, tenang, penyayang, setia, mm dan berhati mulia hingga membuatkan sebahagian penonton merasai watak Anjali lebih layak berpasangan dengannya.

       Meskipun watak Aman Mehra di layar perak memaparkan peribadi yang serba lurus dan budiman, realiti kehidupan sebenar Salman Khan mula dibayangi oleh ketegangan ekoran peningkatan populariti yang mendadak serta kebenciannya terhadap pencerobohan privasi oleh media massa. Titik tolak kejatuhan imej awannya bermula daripada siri hubungan percintaannya yang bergolak dan penuh kontroversi. Sejarah percintaan Salman mendedahkan pelbagai fasa yakni bermula dari hubungan awalnya dengan Shaheen Jaffrey semasa di kolej, diikuti oleh Sangeeta Bijlani di mana perkahwinan yang hampir dimeterai pada tahun 1994 dibatalkan saat akhir akibat kecurangan, hubungan bersama Somy Ali sebelum memuncak kepada kemelut penuh sensasi bersama bekas Miss World, Aishwarya Rai selepas penggambaran filem Hum Dil De Chuke Sanam (1999). Hubungan bersama Aishwarya meninggalkan kesan mendalam apabila ia dibayangi dengan pelbagai dakwaan serius mengenai penderaan mental dan fizikal, gangguan obsesif di set penggambaran serta insiden kekecohan di kediaman peribadi yang akhirnya mendorong Aishwarya memutuskan hubungan sebelum mendedahkan sisi gelap peribadian Salman kepada umum. (Baca sini: Kisah Percintaan Romantik Salman Khan dan Aishwarya Rai)

      Gelombang kontroversi ini turut meluas ke dalam kerjaya dan hubungannya dengan rakan industri apabila dia didakwa menggunakan pengaruh serta kuasa bintangnya untuk menekan pihak lain. Peristiwa pergaduhan berprofil tinggi dengan Shah Rukh Khan pada majlis hari lahir Katrina Kaif pada tahun 2008, dakwaan tekanan serta panggilan telefon bertalu-talu terhadap Vivek Oberoi (Baca Sini: KISAH PERMUSUHAN SALMAN KHAN DENGAN VIVEK OBEROI) susulan isu peribadi serta penyingkiran penyanyi terkenal Arijit Singh daripada runut bunyi filem akibat perselisihan faham kecil di majlis anugerah, membina bad boy yang digeruni, pengaruh Salman di kalangan penonton tidak pernah luntur. Selain konflik peribadi dan kerjaya, imej awam Salman tercalar teruk akibat kes-kes perundangan berprofil tinggi yang membelengguhnya. Antaranya ialah kes pemburuan haram haiwan terancam jenis blackbuck (rusa) di Rajasthan pada tahun 1998 yang dianggap suci oleh komuniti Bishnoi serta kes langgar lari pada tahun 2002 di Mumbai yang mencetuskan kemarahan rakyat. Memasuki era akhir 2000-an dan awal 2010-an, Salman Khan mempamerkan kebolehan strategik yang luar biasa dalam penjenamaan semula diri menerusi filem-filem bercorak aksi anti-hero dan kepahlawanan berskala besar seperti Wanted (2008) dan Dabangg (2010). Watak polis yang korup tetapi berjiwa rakyat dan pelindung kepada golongan tertindas selari dengan pembentukan imej baharunya sebagai Bhai. Filem-filem seterusnya seperti Bodyguard, Ek Tha Tiger, Bajrangi Bhaijaan dan Sultan secara konsisten mencatat kutipan pecah panggung melebihi 100 crore yang membuktikan bahawa kekuatan filem Salman terletak sepenuhnya pada magis namanya sendiri.

     Selain itu, Salm man berjaya mengimbangi persepsi masyarakat melalui kerja-kerja kebajikan yang digerakkan menerusi yayasan amal Being Human yang membantu memulih imejnya di mata awam daripada seorang selebriti bersikap panas baran kepada individu yang mempunyai niat moral yang murni. Di dalam industri perfileman pula, kedudukannya beralih menjadi seorang godfather yang aktif melahirkan bakat-bakat baharu serta memulihkan kerjaya pelakon senior yang hampir malap seperti Bobby Deol dan pelawak Kapil Sharma. Walaupun pelbagai kontroversi terus mengekorinya, ketahanan serta pengaruh Salman Khan di persada Bollywood memang tidak akan pernah dapat dinafikan.


Catat Ulasan for "Betapa Bahayanya Salman Khan...."