Ditinggalkan Suami Tanpa Mampu Mengingatinya

     Seorang wanita muda berdepan ujian hidup yang amat meruntun jiwa apabila dia mengalami hilang ingatan jangka pendek yang kekal hingga menyebabkannya menangis hiba setiap kali diberitahu bahawa suaminya telah menceraikannya selepas dia jatuh sakit. 

      Wanita berkenaan iaitu Veronika Mescheryakova yang berusia 29 tahun dan berasal dari bandar Kazan, Rusia menderita sejenis penyakit genetik darah yang jarang ditemui serta bersifat degeneratif dikenali sebagai porfiria akut (acute porphyria). Penyakit kronik ini berpunca daripada ketidakupayaan badan memproses sebatian organik porfirin dengan betul yang akhirnya merosakkan sistem saraf, mencetuskan kesakitan fizikal yang teruk, masalah pernafasan, hilang ingatan serta kelumpuhan dari paras pinggang ke bawah akibat kerosakan pada anggota badannya.

      Beberapa tahun sebelum kejadian penceraian tersebut, doktor pernah cuba menghentikan perkembangan penyakitnya melalui pembedahan namun ia tidak membuahkan hasil dan keadaan kesihatannya semakin merosot. Akibat kerosakan fungsi memori jangka pendek yang dialaminya, Veronika langsung tidak dapat mengingati tindakan suaminya yang meninggalkannya pada November 2017. Setiap hari, Veronika hidup dalam memori lampau di mana dia menanti kepulangan suaminya dari tempat kerja hingga memaksa ibunya menelan pahit untuk menyampaikan berita penceraian tersebut berulang kali yang kemudiannya mencetuskan reaksi air mata dan emosi yang menyayat hati setiap kali dia menyedari hakikat sebenar.


     Walaupun media tempatan tidak pernah mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai alasan di sebalik keputusan drastik bekas suaminya itu, kisah penderitaan Veronika yang mula dilaporkan dan mendapat perhatian meluas pada Mac 2018 telah menyentuh hati ramai pihak. Liputan tersebut mendapat simpati yang meluas dalam kalangan pengguna media sosial Rusia dengan pembaca menzahirkan rasa belas kasihan yang mendalam. Ada antara mereka berasa sedih hingga ingin menangis. Selain itu, terdapat juga cadangan daripada pengguna media sosial lain supaya pendekatan psikologi digunakan untuk meredakan emosi pesakit.

     Di sebalik ketentuan takdir yang berat ini, ibu kandung Veronika terus menjadi tiang sokongan utama dengan menguruskan keperluan harian, menemaninya serta membantunya menjalani sesi fisioterapi fizikal. Usaha berterusan ini dilakukan dengan penuh ketabahan demi membolehkan anaknya itu berupaya berdiri dan berjalan semul di samping ibu murninya itu terus menyimpan impian dan harapan agar suatu hari nanti Veronika dapat kembali bersatu semula dengan bekas suaminya.


Catat Ulasan for "Ditinggalkan Suami Tanpa Mampu Mengingatinya"