Kisah Liku-Liku Kehidupan Preity Zinta

     Siapa saja tak kenal pelakon jelita Bollywood, Preity Zinta di mana wajahnya yang memiliki lesung pipit itu pernah menghiasi pelbagai naskhah hit era 90-an dan 2000-an. Namun siapa sangka, perjalanan hidup peribadi serta kerjayanya ternyata jauh lebih berliku dan penuh dengan pelbagai ranjau berduri.

     Dilahirkan pada 31 Januari 1975 di Shimla, Himachal Pradesh, India, Preity dibesarkan dalam sebuah keluarga berlatar belakangkan tentera. Bapanya, mendiang Durganand Zinta merupakan seorang pegawai tentera India manakala ibunya bernama Nilprabha Zinta. Beliau mempunyai dua orang abang lelaki iaitu Dipankar dan Manish. Walau bagaimanapun, kehidupan selesa keluarganya itu berubah dalam sekelip mata ketika usianya baru mencecah 13 tahun pada sekitar 1988. Sebuah tragis kemalangan jalan raya telah meragut nyawa bapanya. Ibunya terselamat tetapi terpaksa terlantar sakit akibat kecederaan parah selama hampir dua tahun. Ujian berat pada usia muda itu membentuk peribadi Preity menjadi seorang wanita yang berdisiplin, berani serta tidak mudah mengalah. Menariknya, selain aktif bersukan seperti bola keranjang ketika zaman persekolahan, dia turut menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan memiliki ijazah kepujian dalam bidang bahasa Inggeris serta kelulusan pasca siswazah dalam bidang psikologi jenayah dari St. Bede’s College.

     Pintu industri hiburan mula terbuka buat Preity pada tahun 1996 ketika usianya 21 tahun apabila dia dilamar membintangi beberapa iklan komersial popular seperti coklat Perk dan sabun Liril. Selepas pertemuan dengan pengarah Shekhar Kapur dan keputusan spontan yang dibuatnya, Preiry akhirnya membuat kemunculan sulung yang cemerlang menerusi filem Dil Se pada 1998 di bawah arahan Mani Ratnam diikuti filem Soldier pada tahun yang sama. Kejayaan dua filem awal itu membolehkannya merangkul Anugerah Filmfare untuk Penampilan Sulung Wanita Terbaik. Namanya terus melonjak naik sebagai bintang kelas A menerusi deretan filem pecah panggung seperti Kya Kehna, Dil Chahta Hai, Koi... Mil Gaya, Kal Ho Naa Ho, Veer-Zaara dan Salam Namaste. Kemuncak kegemilangannya terukir kukuh sekitar tahun 2003 hingga 2004 apabila filem-filem lakonannya mendominasi kutipan pawagam dan memenanginya pelbagai trofi pelakon wanita terbaik.

     Di sebalik populariti, Preity turut berdepan dengan detik cemas yang menguji integriti dan keberaniannya. Ketika proses penggambaran filem Chori Chori Chupke Chupke pada tahun 2001, dia menerima ugutan bunuh daripada sindiket kongsi gelap di bawah arahan Chhota Shakeel. Berbeza dengan kebanyakan saksi lain yang memilih untuk menarik diri kerana takut akan keselamatan diri, Preity tampil berani memberikan keterangan di mahkamah menentang anasir kongsi gelap berkenaan pada Januari 2003. Ketegasan dan prinsip hidupnya itu melayakkannya menerima perlindungan saksi khas serta pengiktirafan atas semangat waja yang dipamerkan.

      Beralih kepada kisah peribadinya, kehidupan percintaan Preity sering menjadi tumpuan media sosial dan pihak akhbar. Selepas beberapa hubungan yang terdahulu termasuk ikatan bersama ahli perniagaan Ness Wadia yang berakhir dengan kontroversi dan laporan polis pada Jun 2014 akibat pertikaian di Stadium Wankhede (yang kemudiannya ditarik balik selepas penyelesaian damai pada Oktober 2018), Preity akhirnya menemui pelabuhan terakhir hatinya. Dia mendirikan rumahtangga secara tertutup dengan seorang warga Amerika Syarikat yang juga profesional kewangan, Gene Goodenough, pada 29 Februari 2016 di Los Angeles. Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini mengejutkan peminat pada November 2021 apabila mengumumkan kehadiran cahaya mata kembar, Jai dan Gia menerusi kaedah ibu tumpang.

     Selain aktif dalam bidang seni, Preity turut membina empayar perniagaan yang kukuh. Dia merupakan salah seorang pemilik bersama pasukan kriket Liga Perdana India (IPL), Punjab Kings serta memegang kepentingan dalam francais St. Lucia Kings di bawah kejohanan Caribbean Premier League. Penglibatannya dalam pasukan tersebut turut melibatkan urusan pengurusan strategik dan pertikaian korporat bagi memastikan prestasi pasukan sentiasa berdaya saing.

     Menjelang pertengahan tahun 2026, nama Preity kembali hangat diperkatakan atas beberapa faktor utama. Pada Jun 2026, dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap beberapa platform gergasi termasuk Google, Meta dan X susulan penularan kandungan palsu, gambar ubah suai serta video deepfake yang menyalahgunakan identiti serta wajahnya. Mahkamah Tinggi Bombay kemudiannya memberikan perlindungan sementara terhadap hak personaliti pelakon tersebut. Selepas hampir lapan tahun menyepi daripada membintangi filem utama, Preity membuat kemunculan semula yang sangat dinanti-nantikan menerusi filem epik Batwara 1947 (sebelum ini dikenali sebagai Lahor 1947) arahan Rajkumar Santoshi dan diterbitkan oleh Aamir Khan yang mula menemui penonton pada Ogos 2026.


Catat Ulasan for "Kisah Liku-Liku Kehidupan Preity Zinta "