RAMBUT TERSANGKUT, KULIT KEPALA TERCABUT

INDIA – Seorang pengunjung wanita mengalami kecederaan ngeri apabila sebahagian kulit kepalanya tercabut selepas rambut panjangnya tersangkut pada jentera roda ferris dalam satu kejadian di Maharashtra pada Jumaat lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Bali Maroti Talikote, 25 tahun sedang menaiki permainan tersebut apabila rambutnya tiba-tiba terperangkap pada bahagian alas gandar belakang tempat duduknya. Rakaman video yang menyayat hati menunjukkan mangsa menjerit kesakitan ketika rambutnya ditarik dengan kuat ke dalam mekanisme mesin itu hingga menyebabkan sebahagian besar kulit kepalanya tercabut.

Kejadian cemas itu menarik perhatian orang ramai yang terkejut lalu bergegas memberikan bantuan. Mangsa difahamkan merupakan sebahagian daripada ribuan pengunjung terutamanya wanita dan kanak-kanak yang hadir memeriahkan pesta sehari sempena sambutan kuil berhampiran. Anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian segera bertindak menghentikan putaran roda ferris tersebut sebelum mengeluarkan mangsa sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran di Pusad untuk rawatan lanjut di mana keadaannya dilaporkan serius.
Kejadian malang ini menambah senarai panjang kemalangan ngeri melibatkan taman tema dan pesta ria di India kebelakangan ini. Antara kes terdahulu termasuklah kejadian di Kerala pada 28 Mei lalu di mana lima individu cedera selepas buaian berpusing tumbang serta insiden runtuhnya roda ferris sarat muatan di Uttar Pradesh pada bulan April yang mencederakan 30 orang. Satu lagi kejadian turut berlaku pada Januari apabila sebuah buaian gergasi patah dan merempuh tembok di Madhya Pradesh yang mencederakan 14 kanak-kanak.
Catat Ulasan for "RAMBUT TERSANGKUT, KULIT KEPALA TERCABUT"