Kisah Pembunuhan Kejam Sunarti Adian

     Kisah ini bermula pada hari Selasa, 27 Oktober 2026, di Perumahan Puri Agung 4, Kelurahan Mangsang, Kecamatan Seibeduk, Batam, Indonesia. Sepasang suami istri yang juga pemilik premis rumah sewa, Encik Afrizal dan Puan Husna baru sahaja pulang ke kediaman mereka selepas semalaman menginap di kawasan kebun. Sebaik tiba di sekitar kawasan kediaman pada pukul 6:05 pagi, mereka mula terhidu bau busuk seperti bangkai haiwan. Walaupun mereka cuba masuk ke dalam rumah dan menutup alat pendingin hawa bagi mengurangkan bau tersebut, bau busuk itu kembali menerpa apabila Puan Husna keluar untuk membersihkan halaman rumah sekitar pukul 9:00 pagi. 

    Didorong oleh rasa ingin tahu berserta kerumunan lalat dan barisan semut yang banyak menuju ke arah sebuah bilik sewa berhampiran, mereka bertindak memeriksa pintu bilik yang dihuni oleh seorang gadis yang juga merupakan anak perantau. Setelah panggilan telefon gagal dihubungi dan ketukan tidak dijawab, Puan Husna menggunakan kunci simpanannya untuk membuka pintu bilik tersebut. Pintu berjaya dibuka lalu mendedahkan bau yang teramat kuat serta kesan cecair merah di lantai yang membongkar kejadian pembunuhan kejam itu.

      Mangsa yang disahkan terkorban ialah Sunarti Adian atau lebih mesra dengan panggilan Dian yang berusia 24 tahun. Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik kepada pasangan Encik Abdullah Rasyid dan Puan Nurbaya Hamid yang berasal dari Kecamatan Wolowaru, Kabupaten Ende, Nusa Tenggara Timur. Dian baru sahaja berhijrah dan menetap di Batam selama lima bulan, menyewa sebuah bilik yang terletak tidak jauh dari tempat kerjanya. Dian bekerja sebagai kakitangan di PT Infineon, sebuah syarikat multinasional dari Jerman yang menghasilkan komponen semikonduktor. 

     Dikenali sebagai seorang gadis yang ramah, sopan, dan disenangi ramai, kehidupan seharian Dian amat teratur di mana masanya hanya dihabiskan antara tempat kerja dan bilik sewa. Dia jarang menerima tetamu lelaki di biliknya dan sentiasa menjaga peribadi sebagai seorang perantau. Sebelum kejadian malang ini, Dian pernah mengalami kemalangan jalan raya yang mengakibatkan patah tangan dan terpaksa dipasang besi hingga menyebabkanya mengambil cuti panjang serta bergantung pada bantuan pemilik rumah untuk menguruskan hal-hal pembersihan di sekitar kawasan bilik sewa.

     Susulan penemuan mayat tersebut pada pukul 10:30 pagi, pihak polis dari balai berdekatan segera tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan forensik. Pemeriksaan mendapati terdapat puluhan kesan serangan senjata tajam (sekitar 21 tikaman) pada tubuh Dian. Mayatnya kemudian dibawa ke hospital Bhayangkara untuk proses bedah siasat. 

     Pihak berkuasa segera menggerakkan usaha mengumpul bahan bukti keterangan saksi daripada penghuni bilik sewa yang lain. Petunjuk penting timbul apabila didapati salah seorang jiran bilik sewa Dian tidak kelihatan dan telefonnya gagal dihubungi. Bertindak atas maklumat risikan, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek bernama Amrullah alias Aris (20 tahun) di sebuah rumah di kawasan Kavling Sejulung, Kecamatan Nongsa yakni sejauh kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian. Walaupun pada awalnya sempat mengelak, Aris akhirnya mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut.


    Berdasarkan pengakuan Aris kepada pihak polis, motif di sebalik pembunuhan kejam ini adalah kerana rasa sakit hati dan dendam peribadi. Aris mendakwa kejadian bermula pada hari Sabtu, 24 Oktober 2026 ketika dia sedang mencuci motosikal di hadapan bilik sewa. Ketika Dian melintas dan berselisih pandang dengannya, wanita itu didakwa melontarkan kata-kata sindiran dengan menyebutnya sebagai lelaki gatal selain meludah ke arahnya sebanyak dua kali. 

     Perasaan terhina dan ego yang tercalar itu membuatkan Aris menyimpan dendam yang mendalam. Mengambil kesempatan pada waktu sunyi di kawasan bilik sewa itu, Aris menyelinap masuk ke bilik Dian melalui tingkap yang tidak berkunci pada pukul 3:00 pagi, Ahad, 25 Oktober 2026. Dian yang sedang tidur terkejut dengan kehadiran Aris sebelum diserang secara bertubi-tubi menggunakan senjata tajam sehingga parah. Selepas memastikan Dian tidak bernyawa, Aris bertindak menutup mayat wanita berkenaan dengan pakaian serta patung mainan besar, menabur tepung bagi menutup kesan darah di lantai lalu melarikan telefon mangsa sebelum mengunci bilik dari luar dan membuang kunci tersebut.

    Walau bagaimanapun, dakwaan dan pengakuan Aris mengenai motif sakit hati itu menimbulkan keraguan yang besar. Rakan-rakan dan pemilik rumah sewa mengenali Dian sebagai seorang gadis yang baik, sopan, pendiam dan tidak pernah membuat masalah sekali gus menjadikan dakwaan bahawa dia tiba-tiba mengeji dan meludah Aris adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Tiada saksi bebas yang mengesahkan kejadian provokasi tersebut. Berkemungkinan besar, semua itu sekadar alasan sebelah pihak daripada Aris untuk mencuba meringankan hukuman bagi menutup jenayah terancang yang telah dilakukannya. Akibat perbuatan kejam tersebut, dia kini berdepan dengan pertuduhan berat di bawah peruntukan undang-undang jenayah berkaitan pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman berat yang lain. Sementara itu, jenazah Dian telah selesai urusannya dan diterbangkan pulang ke kampung halaman di Nusa Tenggara Timur untuk dikebumikan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Sunarti Adian"