Kisah Kematian Rubin Blount yang Benar-Benar Menyedihkan
Rubin Blount seorang lelaki berusia 28 tahun yang menghidap autisme serta mempunyai masalah pembelajaran yang telah menjadi mangsa kekejaman melampau di tangan orang yang sepatutnya mengasuh dan melindunginya. Kejadian ini berlaku di Tamworth, Staffordshire, United Kingdom.
Di sebalik penampilan luaran sebuah kediaman di Tamworth, Rubin diletakkan di bawah jagaan abang tirinya iaitu Kenneth Newton bersama pasangannya yang bernama Melanie James. Disebabkan keadaan autisme yang dihidapinya, Rubin amat bergantung kepada pasangan ini untuk menguruskan keperluan harian. Walau bagaimanapun, kebergantungan tersebut diabaikan dan bertukar menjadi medan penderaan. Rubin telah dikurung dalam keadaan persekitaran yang amat kotor selain dipaksa berdiri tegak dalam tempoh yang sangat lama tanpa rehat serta dibiarkan terbaring di atas kekotoran dan air kencingnya sendiri.

Bukan hanya pengabaian fizikal, pasangan pesalah turut mengenakan penderaan emosi dan kelaparan yang melampau ke atas Rubin. Dia dilarang daripada mendapat bekalan makanan dan minuman yang secukupnya hingga terpaksa makan sisa makanan dari tong sampah semata-mata untuk bertahan hidup. Keadaan ini menjadi lebih mengerikan apabila Newton dan James secara sadis merakam video aksi mereka mentertawakan, memperlekehkan dan mendera fizikal Rubin yang berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu pertahankan diri. Video-video berkenaan kemudiannya menjadi bukti kukuh mahkamah tentang niat dan kekejaman secara sengaja oleh kedua-dua pesalah.
Kemuncak penderitaan Rubin berlaku pada November 2022 apabila dia dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung akibat komplikasi kesihatan yang melarat. Walaupun pihak hospital berusaha memberikan rawatan kecemasan, Rubin menghembuskan nafas terakhir tiga hari kemudian. Hasil pemeriksaan perubatan dan bedah siasat membongkarkan tahap penderitaan fizikal yang dialami Rubin di mana berat badanya susut merosot kepada hanya 40 kilogram.

Selain itu, Rubin menderita radang paru-paru (pneumonia) yang teruk, dehidrasi melampau, kesan melecur pada badan serta mengalami keretakan pada tulang belakang. Lebih memilukan, doktor mendapati terdapat 50 patah pada tulang rusuknya dengan 47 daripadanya dikesan berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematiannya.
Kes penindasan ini akhirnya dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Crown Stafford. Pada September 2026, pihak mahkamah mendapati Kenneth Newton dan Melanie James bersalah atas pertuduhan membunuh. Hakim yang mengendalikan kes tersebut menyifatkan perbuatan pasangan itu sebagai satu bentuk kekejaman yang disengajakan ke atas seorang insan autistik yang tidak berdaya. Kedua-dua pesalah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh hukuman minimum sekurang-kurangnya 21 tahun sebelum sebarang pertimbangan pembebasan bersyarat boleh dibuat.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Rubin Blount yang Benar-Benar Menyedihkan "