Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH D.B COOPER : ROMPAKAN TERHEBAT DALAM PESAWAT



    Kes kehilangan pesawat MH370 mungkin antara kes paling misteri yang pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia. Namun sebelum kes itu berlaku, pernahkah kalian mendengar kes rampasan pesawat oleh lelaki yang bernama D.B. Cooper? Cooper telah terjun dari pesawat dengan menggunakan payung terjun sejurus selepas berjaya mendapatkan wang tebusan seperti yang dipintanya. Lagi misteri, Cooper tidak pernah berjaya ditemui sekaligus menjadikan rompakan yang dilakukannya itu sebagai salah satu rompakan terhebat sepanjang zaman.

    Siapa sebenarnya D.B Cooper? Kisahnya bermula apabila sebuah pesawat jenis Boeing 727 yang sedang berada di ruang udara antara Porland, Oregon dan Seattle,Washington, Amerika Syarikat telah dirampas oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Dan Cooper. 

    Jangan salah faham, Dan Cooper dan D.B. Cooper adalah orang yang sama. Namun telah berlakunya salah faham daripada segi komunikasi oleh pihak media ketika itu telah menyebabkan nama asal Dan Cooper bertukar menjadi D.B Cooper.

Gambar sekadar hiasan

    Pada 21 November 1971 di kaunter Northwest Orient Airlines, seorang lelaki dalam anggaran usia 40an telah membeli tiket penerbangan 315 satu hala dari Portland ke Seattle dengan mendaftarkan namanya sebagai Dan Cooper.

    Dan Cooper digambarkan sebagai seorang yang sangat kemas dari segi penampilannya. Dia yang mengenakan pakaian kemeja putih serta bertali leher hitam, sekilas pandang gaya gayanya tidak ubah seperti seorang ahli perniagaan. 

    Setelah memasuki pesawat, Cooper terus duduk di kerusi tempahannya. Dia kemudian menyalakan rokok pada bibir dan  seterusnya memesan air soda serta wiski. 

    Sejurus selepas pesawat berlepas, Cooper memberi sehelai nota kecil kepada salah seorang pramugari pesawat tersebut yang bernama Florence Scahffner. Pada mulanya, nota itu disimpan sahaja oleh Scahffner ke dalam beg duit kerana beranggapan nota tersebut mengandungi nombor telefon Cooper.

    Cooper yang menyedari nota tulisannya itu tidak dibaca terus berbisik kepada Scahffner,

    "Miss, you'd better look at that note. I have a bomb."

    Mendengar perkara tersebut, Scahffner berass terkejut. Tanpa berlengah, Cooper mengarahkan Scahffner untuk duduk bersebelahan dengannya. Di situ, Scahffner telah melihat sendiri bentuk bom di dalam beg bimbit milik Cooper. Reka bentuk bom itu digambarkan dengan lapan silinder yang dilekatkan dengan wayar merah serta sebuah bateri yang berbentuk silinder.

    Seterusnya, Cooper menyuruh Scahffnere untuk menulis semua permintaannya iaitu wang tebusan berjumlah $200 000, empat buah payung terjun dan minyak pesawat harus disediakan di Seattle sejurus sahaja pesawat itu mendarat kelak. Scahffner yang akur kemudian membawa nota ke bahagian kokpit untuk diserahkan kepada juruterbang.

    Juruterbang pesawat iaitu William Scott telah bertindak untuk menghubungi pihak trafik kawalan udara Seattle-Tacoma Airport. Presiden Northwest Orient yang dimaklumkan mengenai insiden itu terus mengeluarkan arahan kepada agensi yang berkaitan untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya dengan Cooper.

    Selepas pesawat itu mendarat dengan selamat di Seattle, kesemua 36 orang penumpang dibenarkan oleh Cooper untuk keluar dari pesawat kerana ia adalah salah satu syarat pertukaran dengan benda tuntutan Cooper. 

    Bagi penggemar filem Hollywood, kita sering disajikan dengan watak perampas pesawat yang dikategorikan sebagai antagonis. Perkara ini boleh dikatakan agak jauh berbeza sekali dengan perwatakan Cooper. Menurut keterangan saksi, Cooper dikatakan seorang yang sangat baik, tenang, dan lemah lembut orangnya.

    Berikutan semua rancangan Cooper berjalan dengan lancar, maka pesawat itu kemudian kembali meneruskan penerbangannya menuju ke arah Bandar Mexico. Mereka yang kekal menjadi tebusan Cooper adalah juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pramugari dan seorang jurutera.

    Pada sekitar jam 8.15 malam di ruang udara Reno dan Seattle, salah satu pintu pesawat tiba-tiba dibuka oleh Cooper. Dia kemudian melakukan satu aksi luar biasa iaitu terjun keluar dari pesawat itu dengan menggunakan payung terjun. Bermula saat itu, kes Cooper telah menjadi salah satu kes paling membingungkan dalam kes penerbangan kerana jejaknya tidak pernah berjaya ditemui selepas itu.

    Pada mulanya, pihak FBI berpendapat bahawa Cooper tidak  sesekali akan terselamat selepas terjunannya itu. Ini kerana adalah sesuatu yang mustahil untuk Cooper mendarat dengan selamat berikutan lokasi terjunannya itu merupakan kawasan berbukit. Lagipun, keadaan cuaca sewaktu terjunan Cooper dikatakan agak buruk ketika itu. 


    Sudah berpuluh-puluh tahun lamanya kes D.B Cooper ini masih lagi gagal untuk diselesaikan. Meskipun terdapat banyak cap jari yang ditemui dalam pesawat itu, tiada satu pun yang berjaya disahkan milik Cooper. Selepas keterangan semua individu yang pernah bersemuka dengan Cooper diambil, maka terhasillah lakaran wajah D.B Cooper.

    Lagi menarik, satu eksperimen telah dijalankan mengikut situasi sebenar kejadian. Berdasarkan keputusan eksperimen itu dengan mengikut kira faktor daya angin dan beberapa lagi aspek lain, jam 8.15 malam iaitu bersamaan dengan waktu terjunan Cooper merupakan waktu yang sangat sesuai untuk melakukan terjunan! Selain itu, pihak berkuasa juga ada melakukan pencarian di beberapa tempat teori pendaratan Cooper namun kesemuanya gagal untuk menemui sebarang petunjuk.

    Ramai pihak mempercayai bahawa Cooper merupakan bekas anggota payung terjun. Mungkin ada benarnya untuk kenyatan ini kerana bukan calang-calang individu boleh melakukan terjunan yang luar biasa seperti sedemikian. Satu teori yang agak kelakar, Cooper berkemungkinan tingggi adalah seorang pakar transgender. 

    Ada juga teori berkenaan dengan nama Dan Cooper. Nama Dan Cooper adalah nama watak fiksi yang terdapat di dalam siri komik Belgium pada sekitar tahun 1970an. Watak Dan Cooper dalam komik tersebut merupakan seorang wira juruterbang yang boleh melakukan aksi terjunan payung terjun. Jadi, ada kemungkinan D.B Cooper menggunakan nama watak tersebut sebagai nama samarannya.

    Kalau diikutkan memang ramai sebenarnya suspek yang dikaitkan dengan D.B Cooper. Salah seorang daripadanya adalah John List yang telah membunuh semua anggota keluarganya sebelum berlakunya kejadian rampasan pesawat oleh Cooper. Biarpun John ditangkap pada tahun 1989, dia tetap mem uat penafian identitinya sebagai D.B. Cooper.

    Pada sekitar bulan Februari tahun 1980, seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang sedang bercuti bersama keluarganya telah menggali pasir di kawasan utara Portland. Semasa berseronok melakukan aktiviti menggali, budak lelaki tersebut telah menemui sejumlah wang. Berdasarkan pemeriksaan terhadap nombor siri wang dan beberapa lagi aspek lain, wang itu ternyata disahkan sebagai wang tebusan milik Cooper! Jadi, penemuan tersebut telah sedikit sebanyak membantu perkembangan kes Cooper.


    Bagaimanapun selepas sekian lama siasatan kes kehilangan D.B Cooper terbantut, FBI akhirnya membuat keputusan untuk menutup kes ini pada tahun 2016.

    Pada perkembangan lain, sekumpulan saintis iaitu Citizen Sleuths yang diketuai oleh Tom Kaye telah berjaya menemui sesuatu yang sangat luar biasa pada klip dan tali leher yang Cooper tinggalkan di tempat duduknya. Menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan saintis itu, mereka menyimpulkan bahawa berkemungkinan besar Cooper  adalah seorang jurutera kapal terbang. Bahkan kumpulan saintis tersebut juga untuk mengalu-alukan mana-mana pihak yang sedia bekerjasama dengan mereka bagi mengembang dan membangunkan teori bahawa Cooper merupakan seorang jurutera pesawat jenis Boeing.

    Tahun 2018, Thomas J. Colbert iaitu penulis buku misteri yang berjudul Cooper : The Last Master Outlaw) mendedahkan bahawa individu di sebalik Cooper sebenarnya adalah Robert Rackstraw, bekas juruterbang tentera Amerika Syarikat. Dakwaan ini dibuat ekoran kejayaan seorang veteran tentera bernama Rick Sherwood yang telah berjaya memecahkan kod rahsia dalam surat yang pernah diutus oleh Cooper kepada media pada masa lalu. Walaubagaimanapun, peguam terdahulu Rackstraw menafikan sekeras-kerasnya tentang perkara ini.

    Jadi, apa pandangan anda? Selepas terjunan yang dilakukan Cooper, adakah dia mati atau sebaliknya? Jika benar sekalipun dia telah mati, mengapa mayatnya tidak pernah dijumpai?

    Sekarang sudah pun mencapai tahun 2020 dan jika dikira kini usia  Cooper mungkin telah mencecah lebih 90an. Usia itu bukanlah soalan ataupun jawapan kepada misteri kehilangan D.B Cooper, tetapi  mengajak untuk berfikir sejenak di mana D.B Cooper berada selepas terjunan? Jadi, siapa Cooper yang sebenarnya? Adakah benar Cooper adalah Rackstraw?

Catat Ulasan for "KISAH D.B COOPER : ROMPAKAN TERHEBAT DALAM PESAWAT"