Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SIN CHANG-WON : Pelarian Penjara Terhebat di Korea Selatan

Sin Chang-won

    Sin Chang Won yang dilahirkan pada 27 Mei 1967 dilahirkan dalam keadaan keluarganya yang hidup dalam kemiskinan. Dia mempunyai seorang bapa yang sangat garang, manakala ibunya pula telah meninggal dunia sejak dia dari kecil lagi. 

    Menjejaki ke alam sekolah menengah, Sin mula membuat perangai dengan melakukan aktiviti kecurian makanan seperti buah tembikai dan ayam. Dia pernah ditangkap pada usia 14 tahun lalu dipenjarakan sebelum kembali dibebaskan. Menginjak usia 22 tahun, Sin semakin berani apabila dia telah pergi mencuri di sebuah pasar raya bersama empat orang lagi rakan-rakannya di mana insiden kecurian terbabit berakhir dengan kematian si pemilik kedai. Sin dan rakan-rakannya yang kemudian berjaya ditangkap menerima padah selepas dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup.

    Sin seterusnya dipenjarakan di penjara Busan yang memang dikenali sebagai salah sebuah penjara paling sukar dan ketat di Korea Selatan. Menyedari bahawa kehidupan sebagai seorang banduan bukanlah pilihannya, maka Sin pun merancang untuk melarikan begitu diri. Semuanya dirancang dengan begitu rapi oleh Sin. Setiap malam, dia akan menggergaji besi pada lubang pengudaraan bilik mandi sel menerusi gergaji kecil yang telah dicurinya dalam bengkel kayu penjara berkenaan. Sin melakukan aktiviti menggergaji ini selama 20 minit iaitu sewaktu siaran berilmiah berkumandang daripada radio yang dipasang oleh pihak penjara menggunakan pembesar suara. 

Gambar sekadar hiasan

    Dalam tempoh empat bulan, Sin akhirnya selesai melakukan aktiviti menggergaji tersebut. Namun ada satu masalah besar yang dipaksa dihadapinya. Lubang yang digergajinya itu agak kecil. Mustahil Sin boleh memasuki lubang tersebut memandangkan dia mempunyai ketinggian setinggi 172 sentimeter berserta berat badan seberat 80 kilogram. Sin yang tidak pernah berputus asa tekad untuk menurutkan berat badannya dengan cara mengamalkan diet pemakanan. Usahanya membuahkan hasil apabila dia dapat menurunkan beratnya sebanyak 15 kilogram dalam tempoh dua bulan. Usaha tangga kejayaan, Sin akhirnya berjaya merangkak masuk lubang pengudaraan itu dan seterusnya memanjat tembok pemisah menggunakan peralatan yang diambilnya di sebuah tapak gereja kawasan penjara berkenaan yang masih dalam proses pengubahsuaian.

    Sebaik kehilangan Sin disedari oleh pihak penjara, usaha pemburuannya terus dijalankan secara besar-besaran. Pihak berkuasa Korea Selatan juga telah menawarkan wang ganjaran yang tinggi iaitu sebanyak 50 juta won. Pada masa sama, Sin kembali pada tabiat lamanya iaitu mencuri wang dan kereta. Bagusnya tentang Sin ini adalah sikapnya yang sangat dermawan. Dia gemar untuk membantu orang-orang yang dalam kesusahan kerana dirinya sendiri pernah berasa susah. Ada masanya Sin akan pergi ke rumah orang tua dan golongan kurang upaya bagi menghulurkan wang derma serta makanan.

    Tidak lama selepas pelariannya, Sin telah berkenalan dengan seorang pekerja wanita kedai kopi yang dikenali sebagai Jay. Sikap romantik yang ditunjukkan oleh Sin telah menyebabkan Jay jatuh hati kepadanya. Lama-kelamaan, mereka berdua pun menjalinkan hubungan percintaan. Sin yang kemudian tinggal di apartment Jay telah menjadikan aktiviti mencuri sebagai punca pendapatannya. Lagi dahsyat, Jan turut serta bersama Sin melakukan kegiatan jenayah itu. Susah senang bersama. Seperkara yang perlu diketahui, Sin ada membuat pengakuan terhadap Jay bahawa dia sebenarnya adalah seorang banduan dari penjara Busan yang menjadi buruan polis. Tiada sebarang masalah untuk Jay menerima Sin seadanya. 


    Satu hari, seorang anggota polis telah mendapat maklumat tentang Sin daripada seorang rakannya yang juga merupakan seorang pekerja pencuci kereta. Lelaki polis tersebut berazam untuk menangkap Sin secara berseorangan kerana dengan cara tangkapan sedemikian akan membolehkannya dinaikkan pangkat. Sin bagaimanapun sempat untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis itu di apartmentnya. Fakta sampingan, Sin adalah seorang pelari yang begitu pantas. Berikutan insiden cubaan tangkapan tersebut, Sin sedar bahawa hubungannya dengan Jay adalah dalam keadaan berisiko. Jadi, mereka berdua telah membuat keputusan untuk berpisah. Cuma apa yang benar-benar mengejutkan Jay pada kemudiannya adalah kenyataan Sin menjalinkan hubungan dengan wanita lain pada waktu yang singkat selepas perpisahan mereka. Hal ini dikatakan menjadi punca kepada Jay untuk bersepakat dengan pihak polis bagi menangkap Sin. 

    Saat kemuncaknya, Sin dan Jay telah pergi berjumpa di sebuah kawasan parkir kereta. Tanpa Sin sedari, ada dua orang anggota polis yang bersembunyi di dalam kereta Jay telah cuba untuk menangkapnya. Di situ, mereka saling berbalas tumbukan selama setengah jam. Bayangkan, dua lawan satu seperti aksi dalam filem. Kesudahannya, Sin sekali lagi berjaya melarikan diri dengan meninggalkan keretanya meskipun salah seorang daripada polis tersebut cuba melepaskan tembakan. Mujur sajalah keajaiban berlaku apabila pistol yang digunakan oleh polis itu tiba-tiba gagal untuk berfungsi. Berdasarkan pemeriksaan pada kereta Sin telah menemui diari, dokumen pengenalan palsu dan barangan kemas hasil curian.

    Pada bulan Julai tahun 1999 iaitu bersamaan dengan hari ke 907 pelarian Sin, pihak polis telah menerima satu maklumat daripada seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja pembaikian di rumah Sin. Dia mengesyaki Sin merupakan buruan paling dikehendaki di Korea Selatan selepas mendapati penampilan Sin dalam keadaan yang mencurigakan serta menemui beberapa peralatan pelik. Bertindak atas maklumat terbabit, seramai 46 anggota polis bersenjata dikerah ke lokasi. Diulangi, 46 anggota polis bersenjata. Setibanya pasukan polis itu di lokasi, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Sin apabila berjaya ditangkap. Sementara itu, lelaki yang telah menyalurkan maklumat Sin tersebut bukan setakat menerima wang ganjaran 50 juta won, bahkan terus dilantik menjadi anggota polis. 

    Penangkapan Sin telah menjadi tajuk sensasi media di Korea Selatan. Paling mencuri tumpuan adalah pakaian oleh Sin sewaktu penangkapannya iaitu baju bercorak yang berwarna warni hingga menjadi tren jualan di kedai. Semuanya gara-gara Sin yang dijolok oleh orang ramai sebagai Robin Hood. Harus diingatkan dia bukan pembunuh, sebaliknya cuma seorang anti hero yang mencuri untuk membantu orang-orang miskin. 


    Berhubung dengan status penangkapan Sin, penamat kisahnya tidak semanis kisah Catch me If You Can oleh Frank Abagnale. Sin telah diberikan hukuman tambahan penjara selama 22 tahun atas kesalahan melarikan diri dari penjara selama dua tahun lebih. Sepanjang tempoh pelariannya, Sin dilaporkan telah melakukan lebih seratus kes kecurian, lima rompakan, satu rogol dan lain-lain lagi kes jenayah. 


    Di penjara, dia banyak mengkritik sistem penjara dan pemerintahan pihak kerajaan yang dilabelnya sebagai tidak telus akibat masalah rasuah. Berdasarkan diari dan surat tulisan Sin, cara penulisannya menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang pintar meskipun tidak berpelajaran tinggi. Sin pernah cuba untuk membunuh diri pada tahun 2011, namun sempat diselamatkan. Dia yang kini berusia 53 tahun meneruskan sisa-sisa kehidupannya di penjara, dikenang sebagai seorang banduan yang mencipta salah sebuah kisah pelarian terhebat sepanjang zaman.

1 ulasan for "KISAH SIN CHANG-WON : Pelarian Penjara Terhebat di Korea Selatan"