Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BELLE GUNNESS: Janda Mata Duitan Paling Kejam!

Belle Gunness bersama anak-anaknya

    Brynhild Paulsdatter Storset dilahirkan pada 11 November 1859 di Selbu, Norway. Keluarganya bukanlah daripada golongan yang berada. Disebabkan itu, sejak dari kecil lagi Brynhild berangan untuk menjadi seorang wanita yang kaya-raya. Sewaktu berusia 21 tahun, Brynhild telah berhijrah ke Illionis, Amerika Syarikat serta pada masa yang sama dia menukar namanya sebagai Belle Gunness.

    Di Amerika Syarikat, Belle berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mads Ditlev Anton Sorenson. Mereka berdua yang kemudiannya berkahwin mempunyai empat orang anak iaitu Caroline, Axel, Myrtle, Lucy dan Jennie Olsen sebagai anak angkat. Caroline dan Axel didakwa telah meninggal dunia sejurus selepas kelahiran mereka kerana mengalami keracunan secara misteri. Rentetan daripada perkara itu, Mads dan Belle telah menerima wang pampasan insurans. Seterusnya, pasangan suami isteri berkenaan membuka sebuah kedai gula-gula. Walau bagaimanapun, jualan di kedai tersebut tidak memberi sebarang keuntungan seperti yang diharapkan. Harus diingatkan, niat asal Belle berhijrah ke Amerika Syarikat adalah kerana wang. Hinggalah satu hari, kedai gula-gula itu terbakar tanpa diketahui punca sebenar yang menyebabkan api kebakaran. Akibat kebakaran tersebut, Belle dan Mads sekali lagi menerima wang pampasan insurans.

    Belle bergelar janda apabila Mads tiba-tiba meninggal dunia pada bulan Julai tahun 1900. Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati Mad dipercayai menemui ajalnya adalah disebabkan keracunan. Lain pula laporan daripada doktor pihak Belle yang memberitahu bahawa Mads telah terkena serangan jantung. Apa yang dapat dipastikan, permohonan wang insurans kematian Mads yang dituntut oleh Belle berjaya. Dia seterusnya membeli sebuah ladang di kawasan pinggir La Porte, Indiana, Amerika Syarikat. Bulan April tahun 1902, Belle telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Peter yang juga berasal dari Norway. Namun beberapa bulan berikutnya, Peter mati di tempat kerja akibat dihempap dengan mesin penggiling yang menyebabkan kepalanya terbelah dua. Belle merupakan satu-satunya saksi kejadian. Kematian Peter bagaimanapun hanya diklasifikasikan sebagai kemalangan. Sama seperti sebelumnya, Belle telah mendapat wang pampasan insurans. Pada bulan September 1906, anak angkat Belle iaitu Jennie hilang tanpa sebarang jejak. Apabila Belle disoal siasat oleh pihak polis, dia cuma memberitahu bahawa Jennie telah dihantar ke Los Angeles untuk menyambung pelajarannya di California. Maka berdasarkan keterangan Belle itu, pihak polis pun tidak melakukan sebarang tindakan susulan.

    Awal tahun 1907, Belle telah menyiarkan iklan pencarian pasangan menerusi ruangan surat akhbar Chicago. Iklan Belle tersebut bertulis,

    Personal — comely widow who owns a large farm in one of the finest districts in La Porte County, Indiana, desires to make the acquaintance of gentleman equally well provided, with view of joining fortunes. No replies by letter considered unless sender is willing to follow answer with personal visit. Triflers need not apply.

    Jelas sekali, Belle mencari pasangan lelaki yang berharta. Ternyata, iklan Belle tersebut telah mendapat respon daripada beberapa orang lelaki. Pengunjung lelaki pertama yang bertandang ke rumah Belle dengan membawa wang berjumlah $1000 adalah seorang lelaki pertengahan usia iaitu John Moe. Seminggu selepas berada di rumah Belle, John gagal dikesan sama sekali. Begitu juga dengan nasib dua orang lelaki yang bernama Ole B. Budsburg dan Andrew Helgelien. Kali terakhir mereka berdua dilihat adalah sewaktu pergi ke bank bersama dengan Belle.

    Pada 28 April 1908 iaitu lebih kurang pukul pagi, rumah Belle telah dilanda kebakaran. Selepas api kebakaran dapat dipadamkan, pihak berkuasa berjaya menemui mayat seorang wanita tanpa kepala bersama tiga orang anak kecil. Mayat-mayat itu dipercayai adalah mayat Belle dan anak-anaknya. Hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, mereka akhirnya menahan seorang bekas pekerja di ladang Belle iaitu Ray Lamphere. Dia dikatakan telah berhenti kerja kerana berselisih faham dengan Belle waktu sebelumnya. Selepas ditekan oleh pihak polis secara berterusan, Ray akhirnya membuat satu pendedahan yang benar-benar mengejutkan. Dia memberitahu bahawa terdapat banyak mayat yang telah ditanam di belakang rumah Belle.

    Bertindak atas maklumat Ray, pihak polis yang tidak berlengah terus melakukan kerja-kerja penggalian termasuk di kandang khinzir. Hasilnya, mereka telah menemui lebih kurang 14 mayat manusia yang sudah pun mereput. Mayat Jennie dan Andrew merupakan antara mangsa yang berjaya dikenalpasti. Jennie berkemungkinan besar telah dibunuh kerana dia merupakan saksi penting dalam kes kematian Peter. Lagi mengerikan sebenarnya apabila ada mayat yang telah dikerat kepada beberapa bahagian. Secara teori, kerja-kerja mengerat mayat sepertinya dilakukan oleh individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang anatomi.

    Tentang Ray, dia membuat pengakuan tentang dirinya yang telah memulakan api kebakaran di rumah Belle. Cumanya, Ray menafikan sebarang penglibatannya dalam kejadian pembunuhan. Dia mendakwa telah dibayar oleh Belle yang mengarahkannya untuk menggali tanah. Menurut Ray lagi, dia cuma pekerja yang menjalankan kerja tanpa mengetahui perkara sebenar. Berhubung perbicaraan kes, Ray yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh keluarga Belle dengan api kebakaran telah dihukum penjara selama 20 tahun. Tidak lama selepas dipenjarakan, Ray meninggal dunia atas faktor kesihatan. Sementara itu, ramai pihak mempercayai mayat wanita tanpa kepala -yang ditemui di rumah Belle bukanlah Belle yang sebenar. Ada ura-ura yang mengatakan Belle sengaja memalsukan kematiannya. Boleh jadi mayat yang ditemui tersebut adalah pelanduk dua serupa. Samada sahih atau sebaliknya, terdapat beberapa laporan daripada individu tertentu yang mendakwa telah melihat Belle selepas waktu kejadian kebakaran di rumahnya.

Catat Ulasan for "KISAH BELLE GUNNESS: Janda Mata Duitan Paling Kejam!"