Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TAKAHIRO SHIRAISHI : Si Pembunuh Twitter

    Pada tahun 2017, negara Jepun dikejutkan dengan penangkapan seorang lelaki pembunuh bersiri moden iaitu Takahiro Shiraishi yang digelar sebagai Twitter Killer. Sepanjang tiga bulan tempoh pembunuhan berantainya yakni dari bulan Ogos hingga Oktober 2017, Takahiro telah membunuh seramai sembilan orang mangsa di mana lapan daripada jumlah mangsa itu adalah kaum wanita. Lagi mengerikan apabila semua mayat mangsa yang dibunuh tersebut dikerat oleh Takahiro secara halus sebelum disimpannya ke dalam bekas penyejuk.

    Tentang Takahiro, dia yang dilahirkan pada 9 Oktober 1990 dikatakan sebagai seorang yang agak pendiam. Tamat sekolah menengah, Takahiro bekerja sebagai tukang rekrut pelacur di sebuah kawasan sarang pelacuran terbesar Tokyo. Pekerjaan Takahiro itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas dia ditahan oleh pihak polis pada bulan Februari 2017 atas pertuduhan melakukan pemerdagangan seks. Lima bulan berikutnya, Takahiro telah berpindah ke sebuah apartment yang terletak di bandar Zama. Bermula saat tersebut, bermulalah kewujudan naluri sebagai pembunuh bersiri dalam jiwa Takahiro.

    Modus operandi Takahiro adalah dengan menggunakan akaun Twitter untuk memancing mangsanya. Dia menyasarkan pengguna Twitter wanita berusia dari 16 hingga 26 tahun yang ada mengalami masalah kemurungan hingga terdesak untuk membunuh diri. Dalam erti kata lain, Takahiro memegang karakter sebagai seorang lelaki romantik yang bersedia untuk menjadi pendengar setia kepada masalah yang dialami oleh mangsa. Takahiro seterusnya akan meyakinkan mangsa untuk mati bersama-sama. Hakikat sebenar, semua itu adalah pembohongan Takahiro semata-mata bagi membolehkannnya mendapatkan wang mangsa dengan cara yang mudah. Mangsa dibunuh sewaktu mereka sedang pengsan selepas menelan dadah dan pil tidur yang diberikan oleh Takahiro. Seperkara yang harus diketahui, Takahiro juga akan merogol mangsanya terlebih dahulu sebelum membunuh mereka. Proses mengerat dan pembuangan sebahagian daripada keratan mayat dilakukan sejurus selepas pembunuhan mangsa selesai.

    Saat kemuncak bermula pada sekitar bulan Oktober apabila abang kepada salah seorang mangsa mula berasa bimbang setelah adik perempuannya yang berusia 23 tahun tidak pulang ke rumah mereka selama beberapa hari. Rentetan daripada perkara tersebut, abang mangsa yang berkenaan telah membuat laporan polis tentang kehilangan adik perempuannya serta pada masa sama membuat siasatan yang tersendiri. Abang mangsa itu tadi kemudian mendapat tahu mengenai Twitter milik adik perempuannya yang banyak kali memberi ciapan untuk membunuh diri. Dari situ, si abang tersebut telah menemui perbualan Twitter mencurigakan antara adik perempuannya dengan Twitter milik Takahiro.

    Maka pada akhirnya, rumah Takahiro pun diserbu oleh pihak polis. Serbuan itu dibuat hasil maklumat daripada seorang wanita yang sebelumnya berpura-pura ingin membunuh diri di sisi Takahiro. Sewaktu awal serbuan, Takahiro membuat penafian tentang kehilangan mangsa yang telah dikaitkan dirinya. Namun hasil penggeledahan yang pihak polis lakukan di rumah Takahiro berjaya menemui kepala, tangan dan tangan manusia di dalam lapan tempat penyejuk yang berbeza. Secara keseluruhannya, pihak polis telah mengumpul sebanyak 240 bahagian anggota manusia yang telah dikerat. Jumlah ini termasuklah kepala kesemua sembilan mangsa. Takahiro yang ditahan menerima pertuduhan merogol, membunuh dan mengerat mayat mangsa.

    Bulan Disember 2020, Takahiro yang membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan terhadap dirinya telah dijatuhkan hukuman mati oleh pihak juri mahkamah. Takahiro juga ada membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa di mahkamah. Hingga pada hari ini, Takahiro masih lagi meringkuk dalam penjara sementara menunggu hari pelaksanaan hukuman matinya.

Catat Ulasan for "KISAH TAKAHIRO SHIRAISHI : Si Pembunuh Twitter "