KISAH SARVJEET SINGH YANG TERANIAYA : Bahana Cerita Sebelah Pihak.

Pada bulan Ogos 2015 bertempat di negara India, satu kejadian telah berlaku di jalanan hingga menjadi tular di media sosial. Seorang wanita muda iaitu Jasleen Kaur yang juga merupakan pelajar kolej di Delhi memuat naik satu hantaran di Facebook memaparkan gambar seorang lelaki bernama Sarvjeet Singh. Dalam hantarannya, Jasleen menuduh Sarvjeet melakukan gangguan seksual terhadapnya di sebuah lampu isyarat di Tilak Nagar, Delhi. Dia mendakwa Sarvjeet mengeluarkan kata-kata tidak senonoh dan menunjukkan sikap agresif apabila ditegur.
Hantaran itu segera menjadi viral. Ribuan orang berkongsi hantaran tersebut di media sosial. Ramai netizen memberi komen yang menyebelahi Jasleen tanpa mendengar penjelasan daripada Sarvjeet. Liputan media televisyen menambah api kepada kontroversi dengan menggambarkan Sarvjeet sebagai seorang penjenayah seksual jalanan yang berani bertindak di tengah hari. Beberapa tokoh politik termasuk Ketua Menteri Delhi ketika itu iaitu Arvind Kejriwal secara terbuka memuji keberanian Jasleen dengan menyifatkannya sebagai teladan kepada wanita lain yang berani bersuara menentang gangguan seksual.
Tidak lama selepas kejadian, polis menahan Sarvjeet di bawah beberapa seksyen Indian Penal Code (IPC) berkaitan gangguan seksual dan ancaman jenayah. Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan selepas itu, reputasinya telah musnah. Media mula memberi gelaran seperti National Pervert dan Delhi ka Darinda sekali gus menyebabkan wajahnya dikenali seluruh India dalam konteks yang memalukan. Sarvjeet mengakui hidupnya berubah sepenuhnya di mana dia berdepan penghinaan awam, kehilangan peluang pekerjaan dan tekanan psikologi yang berat.

Kes ini dibicarakan di mahkamah selama hampir empat tahun dengan pelbagai penangguhan. Pada 24 Oktober 2019, Mahkamah Metropolitan Delhi akhirnya memutuskan bahawa keterangan saksi pihak pendakwa, termasuk Jasleen sendiri, tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai. Hakim membebaskan Sarvjeet daripada semua pertuduhan. Pembebasan ini dianggap sebagai kemenangan keadilan bagi Sarvjeet tetapi dia tetap kecewa kerana kerosakan terhadap reputasinya telah pun berlaku sejak hari pertama kes itu tular.
Selepas bebas, Sarvjeet memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Delhi untuk meminta siasatan jenayah terhadap Jasleen dan keluarganya atas dakwaan memfitnah serta memberikan keterangan palsu. Namun pada September 2022, mahkamah menolak permohonan tersebut dengan alasan bahawa kehilangan reputasi semata-mata tidak mencukupi untuk memulakan tindakan jenayah di bawah Seksyen 340 CrPC. Hakim menegaskan bahawa Sarvjeet masih boleh memfailkan saman defamasi secara sivil jika mahu.
Dalam perkembangan berkaitan, diketahui bahawa Jasleen Kaur telah berpindah ke Kanada untuk menyambung pelajaran. Ketidakhadirannya di mahkamah menjadi antara punca perbicaraan mengambil masa yang lama. Dia tidak pernah membuat kenyataan umum yang panjang selepas pembebasan Sarvjeet dan kehidupannya di luar negara kekal jauh daripada perhatian media India.
Catat Ulasan for "KISAH SARVJEET SINGH YANG TERANIAYA : Bahana Cerita Sebelah Pihak."