Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN REBECCA REUSCH

    Kisah ini berlaku di negara Jerman pada tahun 2019. Tahun itu, Rebecca Reusch adalah gadis remaja berusia 15 tahun yang tinggal bersama dengan ibu bapanya di kota Berlin. Dia yang mempunyai puluhan ribu pengikut di laman Instagram dan gemar bermain laman aplikasi Tiktok. Rebecca juga sangat meminati industri muzik K-Pop dengan kumpulan kegemarannya adalah BTS. Rebecca dikatakan sebagai seorang gadis remaja yang baik dan peramah. Dalam erti kata lain, dia bukan seorang gadis remaja yang nakal sama sekali.

    Rebecca sering meluangkan masa hujung minggu untuk pergi ke rumah kakaknya iaitu Jessica yang tinggal berhampiran. Jessica sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Florian di mana mereka berdua mempunyai seorang anak. Malah Rebecca memiliki hubungan yang sangat rapat dengan ketiga-tiga anak-beranak tersebut.

    Kisah sebenar bermula pada 17 Februari 2019 apabila Rebecca telah pergi bermalam di rumah Jessica selepas diizinkan oleh ibunya. Rebecca mendapat keizinan tersebut selepas dia berjanji akan hadir ke sekolah pada keesokan harinya. Namun apa yang berlaku kemudian, ibu Rebecca dimaklumkan oleh pihak sekolah tentang ketidakhadiran anak gadisnya itu di sekolah. Sebelum menerima pemakluman tersebut, ibu Rebecca memang sudah tidak dapat untuk menghubungi Rebecca pada jam sekitar 7.00 pagi. Walau bagaimanapun, ibu Rebecca masih cuba untuk bersangka baik pada waktu itu atas faktor sesi persekolahan yang bermula pada pukul 9.00 pagi serta pada masa Rebecca berada di rumah Jessica. Hanya selepas dihubungi oleh pihak sekolah, ibu Rebecca yang menyedari sesuatu yang tidak kena terus membuat laporan polis mengenai kehilangan Rebecca.

    Baiklah, bagaimana dengan kronologi kehilangan Rebecca? Pada pukul 7 pagi hari kejadian, Jessica telah keluar dari rumah untuk menghantar anaknya ke tempat pengasuh. Waktu ini, Rebecca masih lagi tidur di atas sofa ruang tamu rumah Jessica. Malam sebelumnya, Florian telah keluar pergi berparti dengan rakan sekerjanya. Dakwa Florian, dia hanya pulang ke rumah pada jam 5.45 pagi dan terus masuk ke dalam bilik tidur usai sampai di rumah. Perkara ini bermaksud hanya ada Florian dan Rebecca saja yang ada berada di rumah setelah Jessica beredar pergi. Rentetan daripada fakta ini, Florian diyakini sebagai suspek utama kehilangan Rebecca. Dia bagaimanapun dibebaskan semula oleh pihak polis susulan tiada sebarang bukti kukuh yang diperolehi untuk menyabitkannya. Keluarga Rebecca sendiri bahkan tidak mempercayai sebarang penglibatan Florian memandangkan dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Rebecca.

Florian

    Walaupun Florian dikeluarkan daripada senarai suspek, ada beberapa perkara yang mencurigakan tentang dirinya semasa hari kejadian. Pertama, siasatan mendapati dia telah berulang alik ke negara Poland dengan menaiki kereta. Apabila disoal siasat, Florian memberikan alasannya pergi Poland adalah untuk berjumpa dengan pengedar dadah dan mengambil cincin perkahwinannya. Pihak polis seterusnya melakukan operasi pencarian di kawasan laluan Florian yang disyaki menjadi lokasi penanaman mayat Rebecca akan tetapi usaha itu hanyalah sia-sia belaka. Hasil pemeriksaan pada kereta Florian juga menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah. Kedua adalah data telefon Florian yang aktif di sebalik dakwaan yang mengatakannya tidur pada waktu seperti yang dinyatakan di perenggan keempat.

    Ramai pihak percaya bahawa Rebecca sebenarnya telah melarikan diri dari rumah. Teori yang sememangnya ditolak oleh pihak polis memandangkan Rebecca bukanlah gadis yang bermasalah. Keluarga Rebecca sendiri pula tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa Rebecca telah menjadi mangsa kepada pemangsa seksual dalam talian yang hanya dikenalpasti sebagai “Max” yakni sebaya usia dengannya. Dakwaan ini ada asasnya kerana Rebecca pernah cuba untuk berjumpa dengan Max tetapi dia terpaksa membatalkan hasratnya setelah tidak diberikan izin oleh ibu bapanya. Lebih misteri, Max telah memadam semua akaun media sosialnya sesudah Rebecca menghilang sekaligus menyebabkan`operasi pemburuannya menjadi lebih`sukar.

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN REBECCA REUSCH "