Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BLANCHE MONNIER YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

    Blanche Monnier merupakan seorang wanita bangsawan Perancis yang dilahirkan pada 1 Mac 1849 bertempat di Poitiers. Dia memiliki paras rupa cantik hingga menjadi rebutan ramai golongan lelaki bangsawan Perancis yang berniat untuk menjadikannya sebagai isteri. Walau bagaimanapun, tidak semudah itu Blance untuk menerima lamaran perkahwinan berkenaan. Bagi Blanche, erti cinta sejati tidak boleh diukur dengan wang.

    Pada tahun 1876 yakni ketika Blanche berusia 25 tahun, dia telah meluahkan hasrat kepada ibunya iaitu Louise Monnier tentang keinginannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya yang bekerja sebagai seorang peguam. Apabila Louise mendengar perkara tersebut, dia membantah sekeras-kerasnya kerana lelaki peguam tersebut bukan saja 13 tahun lebih tua daripada Blanche bahkan juga tidak berharta dan bukan berasal daripada keluarga yang berpengaruh. Blanche bagaimanapun tekad untuk meneruskan perkahwinan dengan pilihan hatinya sekaligus menimbulkan kemarahan Louise.

    Hinggalah satu hari, Blanche tiba-tiba telah menghilang dengan misteri. Kehilangan Blanche itu bukan untuk sehari dua akan tetapi selama bertahun-tahun. Tiada sesiapapun yang lagi pernah melihat Blanche hinggakan ramai orang berpendapat bahawa dia telah bertindak untuk melarikan diri dari rumah kerana berasa terlalu kecewa hubungannya dengan lelaki peguam tersebut tidak direstui oleh orang tuanya. Louise dan seorang anak lelakinya yang dikenali sebagai Marcel turut berasa sedih dengan kehilangan Blanche akan tetapi ramai orang telah dapat menghidu kelakuan aneh dua anak beranak itu yang dipercayai menyembunyikan sesuatu

    Realiti sebenar, Blanche tidak pernah pun melarikan diri. Dia sebaliknya telah dikurung oleh Louise di dalam bilik loteng rumah. Lebih sadis, Blanche diikat pada katil dengan rantai besi. Malah tingkap dalam bilik loteng yang gelap itu turut disimen bagi mengelakkan suara jeritan Blanche didengari oleh orang ramai. Apa yang menyedihkan tentang Blanche sepanjang tempoh pengurungannya, dia kerap dibiarkan kelaparan dengan hanya diberikan sisa makanan untuk mengisi perut. Lelaki peguam cinta hati Blance dilaporkan telah meninggal dunia pada tahun 1885 atas sebab yang tidak dapat dipastikan.

    Pada bulan Mei 1901 bersaman dengan tahun ke-25 kehilangan Blanche, Peguam Negara Perancis telah menerima sepucuk surat yang tidak diketahui sama sekali identiti penulis serta pengirimnya. Isi kandungan tersebut menyatakan tentang Blanche yang telah dikurung selama 25 tahun di rumah Louise. Rentetan daripada perkara itu, peguam tersebut yang tidak melengahkan masa terus mengarahkan pihak polis pergi ke rumah Louise bagi melakukan pemeriksaan. Selepas rumah Louise diperiksa, barulah terungkai segala-galanya. Blanche ditemui oleh pihak polis di dalam bilik loteng yang berbau busuk. Lebih menyayatkan hati, berat badan Blanche waktu itu hanyalah seberat 25 kilogram. Dia segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Bayangkan Blanche dikurung dalam keadaan bergelap selama 25 tahun dengan makanan hariannya hanyalah sisa makanan yang dikelilingi najis.

    Susulan penemuan Blanche, Louise dan Marcel pun terus ditangkap oleh pihak polis. Berita penangkapan Louise dan Marcel ini ternyata mengejutkan ramai pihak sehingga ada yang sanggup merusuh sesudah mengetahui cerita sebenar. Louise telah membuat pengakuan berhubung penculikan Blanche sebelum dikenakan hukuman penjara. Namun selepas 15 hari Blanche diselamatkan, Louise telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Berkenaan Marcel pula, dia yang sudah berusia dalam 50an menerima hukuman penjara selama 15 bulan penjara atas penglibatannya dalam membantu Louise. Marcel bagaimanapun dibebaskan lebih awal kerana dilaporkan mengidap masalah penyakit mental.

    Sementara itu, Blanche yang dirawat di hospital psikiatri pula disahkan telah mengidap beberapa penyakit mental termasuk gangguan pemakanan. Tahun 1913, Blanche akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun selepas melalui separuh usia kehidupan yang benar-benar membuatkannya menjadi derita.

Catat Ulasan for "KISAH BLANCHE MONNIER YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"