Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

INCANTATION, FILEM PALING SERAM TAIWAN AKAN DITAYANGKAN DI NETFLIX

    Terkini, filem seram dari Taiwan yang berjudul Incantation akan ditayangkan melalui penstriman Netflix pada 8 Julai 2022 ini. Filem yang telah pun dimulakan tayangannya di Taiwan pada bulan Mac lepas ini dilaporkan sebagai filem paling menakutkan yang pernah dihasilkan di negara berkenaan. Malah hingga setakat ini, Incantation telah pun meraih kutipan sekitar $5.7 juta sekaligus menjadikan filem ini meraih kutipan filem paling tertinggi dalam sejarah industri perfileman negara Taiwan.

    Filem mokumentari berkonsepkan found footage ini merupakan inspirasi kisah benar yakni tentang sebuah keluarga di Kaohsiung yang mengamalkan ajaran sesat. Jalan ceritanya mengisahkan seorang wanita yang juga merupakan seorang ibu tunggal telah melanggar satu pantang larang di sebuah kuil suci semasa dia menjalani penggambaran rakaman pemburuan hantu untuk siaran Youtube miliknya. Akibat tindakannya itu, wanita tersebut berserta dengan anaknya termasuk orang-orang di sekeliling mereka mula mengalami insiden menyeramkan yang disebabkan satu sumpahan.

    Filem Incantation ini telah mendapat tujuh pencalonan sempena Anugerah Filem Taipei yang dijadualkan akan berlangsung pada 9 Julai kelak. Pencalonan itu merangkumi ciri naratif terbaik, pengarah terbaik dan aktres terbaik. Filem ini juga telah pun disahkan akan mempunyai sekuel yang seterusnya. 

Catat Ulasan for "INCANTATION, FILEM PALING SERAM TAIWAN AKAN DITAYANGKAN DI NETFLIX"