Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PENJARA BLACK DOLPHIN, PENJARA PALING BERBAHAYA DI DUNIA

    Pernah dengar tentang penjara Black Dolphin yang merupakan salah satu penjara paling berbahaya di dunia? Penjara yang terletak di Wilayah Oryol Oblast, Rusia ini direka khas sebagai tempat tahanan untuk penjenayah paling berbahaya seperti berpengaruh seperti pembunuh bersiri, anggota mafia, pedofilia dan pengganas.

    Dianggarkan seramai 700 orang pembunuh ditahan dalam penjara ini di mana mereka sebelum itu dilaporkan telah membunuh seramai 3500 orang mangsa secara keseluruhan dengan purata lima pembunuhan bagi setiap seorang banduan.


    Keluasan sel adalah berukuran 50 kaki persegi dengan setiap sel dikongsi oleh dua orang banduan. Sel itu juga dilindungi oleh tiga set pintu keluli yang memisahkan banduan dari koridor.

    Semua banduan akan dikejutkan seawal jam 6.00 pagi. Mereka kemudian dilarang sama sekali untuk duduk di atas katil bagi tempoh 16 jam berikutnya. Tiada kawasan khas untuk banduan bersenam sekaligus memaksa mereka melakukan senaman di dalam sel sahaja.


     Pergerakan mereka terbatas kerana sentiasa diawasi dengan sistem pemantauan kamera yang beroperasi sepanjang masa. Terdapat juga alat pengesan cahaya dan gerakan di dalam sel khas untuk memantau aktiviti banduan. Lebih dahsyat yakni sewaktu banduan keluar dari sel, mereka dipaksa berjalan secara membongkok dalam keadaan mata tertutup. Perkara ini adalah bagi mengelakkan banduan itu daripada mencipta peta visual dalam usaha mereka untuk melarikan diri.

    Namun hingga setakat ini, tiada banduan yang pernah berjaya melarikan diri dari penjara Black Dolphin. Satu-satunya jalan keluar untuk mereka adalah dengan kematian.

    Terdapat laporan yang menyatakan bahawa banduan dalam penjara ini telah mengalami  penyeksaan secara fizikal dan mental sekaligus mengundang kritikan daripada pihak tertentu terutamanya pejuang hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Rusia menafikan perkara tersebut dengan hujah bahawa semua tindakan yang diambil di Black Dolphin adalah selaras dengan undang-undang.

Catat Ulasan for "PENJARA BLACK DOLPHIN, PENJARA PALING BERBAHAYA DI DUNIA"