Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI KEHILANGAN RYKER WEBB

    Pada sekitar bulan Jun tahun 2022, seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun bernama Ryker Webb telah hilang di dalam sebuah hutan belantara. Namun mujur sajalah dia berjaya ditemui semula dalam keadaan hidup selepas dua hari kehilangannya itu. Cuma selepas penemuan tersebut, ada sesuatu yang menakutkan tentang Ryker hingga menimbulkan ramai spekulasi oleh ramai pihak.

    Kisah bermula pada 3 Jun 2022 saat Ryker sedang bermain di halaman belakang rumah bersama dengan bapanya dan seekor anjing peliharaan mereka. Ryker kemudian hilang tidak lama selepas bapanya masuk ke dalam rumah sebentar untuk mengambil barang. Setelah dua jam mencari, ibu bapa Ryker seterusnya membuat laporan polis.

    Operasi pencarian Ryker yang dilakukan di dalam kawasan hutan berhampiran itu melibatkan semua jenis kenderaan seperti helikopter, ATV, dron, bot dan juga anjing pengesan. Usaha mencari dan menyelamat Ryker telah berdepan dengan cabaran keadaan cuaca yang buruk selain berkabus.

    Tatkala operasi pencarian Ryker kian menemui jalan buntu, sepasang suami isteri akhirnya menemui kanak-kanak tersebut selepas terdengar bunyi bising di belakang kabin milik mereka yang terletak di tengah-tengah hutan tersebut. Kabin itu tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air. Paling menarik perhatian adalah bagaimana Ryker dapat selamat serta boleh bertahan di dalam hutan tebal yang dihuni oleh binatang buas seperti singa gunung dan beruang tersebut.

    Gambar Ryker yang duduk berbaring dalam ambulan sejurus dia berjaya diselamatkan telah menjadi tular di laman media sosial. Dalam gambar itu, tubuh Ryker dilihat sudah hampir membeku dan matanya juga terbeliak seolah-olah dia telah mengalami perkara atau ternampak sesuatu yang menakutkannya. Disebabkan perbezaan ketara penampilan Ryker berbanding sebelum waktu dia menghilang, ada juga pengguna laman media sosial membuat teori konspirasi bahawa itu bukan Ryker sebenar. Boleh jadi Ryker sebenar telah diculik atau menjadi mangsa sihir.

    Tidak kurang juga ramai pengguna laman media sosial berpendapat tiada apa pun yang pelik tentang kes Ryker ini. Dia hanyalah kanak-kanak berusia 3 tahun yang tidak bernasib baik apabila tersesat di dalam hutan bersendirian. Semestinya cukuplah berharap Ryker kini sentiasa gembira dan sihat selalu.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN RYKER WEBB"