Kisah Benar di Sebalik Filem Scream

Filem Scream (1996) yang diarahkan oleh Wes Craven dan ditulis oleh Kevin Williamson bukan sekadar karya fiksyen seram tetapi sebenarnya diinspirasikan oleh satu kes pembunuhan bersiri yang benar-benar berlaku. Kes ini dikenali sebagai pembunuhan oleh Danny Rolling, seorang pembunuh bersiri yang digelar The Gainesville Ripper. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Rolling di Gainesville, Florida pada tahun 1990 tersebut telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk dan menjadi antara kes jenayah paling mengerikan dalam sejarah Amerika Syarikat.
Danny Harold Rolling dilahirkan pada tahun 1954 di Shreveport, Louisiana. Sejak kecil, hidupnya penuh penderitaan akibat penderaan fizikal dan mental oleh bapanya yang juga merupakan seorang pegawai polis bersikap kejam. Danny sering dipukul dan dihina hingga menyebabkan dia membesar dengan masalah psikologi yang serius. Pada usia remaja, Danny mula menunjukkan kecenderungan jenayah seperti pecah rumah dan mengintai wanita. Selepas beberapa kali ditangkap atas kesalahan kecil, dia akhirnya berkembang menjadi seorang pembunuh bersiri yang kejam. Pada tahun 1990, Danny tiba di Gainesville dalam keadaan melarikan diri selepas membunuh tiga orang di kampung halamannya, Shreveport. Tidak lama selepas itu, dia mula melakukan pembunuhan yang menggemparkan bandar universiti tersebut.

Dalam tempoh empat hari antara 24 hingga 27 Ogos 1990, Danny membunuh lima orang pelajar dengan cara yang sangat mengerikan. Kes pertama berlaku pada 24 Ogos apabila dia memecah masuk ke apartmen dua orang pelajar Universiti Florida, Sonja Larson dan Christina Powell. Wattu itu, Christina sedang tidur di sofa apabila Danny menyerangnya terlebih dahulu. Dia menutup mulut gadis tersebut sebelum menikamnya berkali-kali dan kemudian naik ke bilik Sonja Larson untuk melakukan perkara yang sama. Mayat mereka berdua ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan luka di seluruh badan. Pada keesokan harinya, Danny menyerang seorang lagi pelajar, Christa Hoyt. Dia menunggu Christa pulang ke rumah sebelum menyerangnya dengan kejam. Apa yang lebih mengerikan yakni selepas membunuh Christa, dia memenggal kepala wanita itu lalu diletakkannya di atas rak buku seolah-olah untuk mengejutkan sesiapa yang menemui mayatnya.

Pada 27 Ogos, Danny melakukan pembunuhan terakhirnya dengan membunuh dua rakan sebilik iaitu Manuel Taboada dan Tracy Paules. Manuel cuba melawan tetapi Danny menikamnya berkali-kali sehingga mati sebelum menyerang Tracy dengan cara yang sama. Setelah membunuh lima orang dalam tempoh empat hari, Danny melarikan diri ke dalam hutan berhampiran untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.
Pada mulanya, pihak polis mengalami kesukaran mengenal pasti pembunuh kerana Danny tidak meninggalkan bukti yang jelas di tempat kejadian. Dia bagaimanapun akhirnya ditangkap secara tidak sengaja selepas cuba merompak sebuah kedai di bandar lain. Semasa dalam tahanan, pihak berkuasa menemui bukti yang mengaitkan Danny dengan pembunuhan di Gainesville termasuk rakaman suara dirinya bercakap tentang pembunuhan tersebut serta pisau yang sepadan dengan senjata jenayah. Pada tahun 1994, Danny mengaku bersalah atas semua pembunuhan yang dilakukannya dan dijatuhi hukuman mati. Dia akhirnya dihukum mati melalui suntikan maut pada 25 Oktober 2006 di penjara negeri Florida.

Kes pembunuhan Gainesville ini menjadi inspirasi kepada Kevin Williamson ketika dia sedang mencari idea untuk menulis skrip Scream. Sewaktu menonton dokumentari tentang kes ini, Kevin mendapat ilham untuk mencipta watak pembunuh bersiri bertopeng yang menghantui sekumpulan remaja. Beberapa persamaan antara kes Danny dan filem Scream dapat dilihat dengan jelas seperti penggunaan pisau sebagai senjata utama, mangsa yang terdiri daripada pelajar kolej serta elemen psikologi di mana pembunuh memainkan ketakutan mangsanya sebelum membunuh mereka.
Walaupun filem Scream bukan adaptasi langsung daripada kes Danny Rolling, ia tetap mengambil inspirasi daripada kejadian sebenar yang berlaku di Gainesville. Hingga pada hari ini, pembunuhan Gainesville dan filem Scream masih dikenang sebagai antara kisah seram yang paling menakutkan dalam budaya pop.
Catat Ulasan for "Kisah Benar di Sebalik Filem Scream"