Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Kematian Jaylin Schwarz yang Benar-Benar Meyedihkan

     Kes Jaylin Anne Schwarz adalah salah satu kes penderaan kanak-kanak yang paling tragis dan mengejutkan di Amerika Syarikat. Jaylin, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia akibat dehidrasi yang teruk selepas ibu bapa angkatnya, Daniel dan Ashley Schwarz memaksanya melompat di atas trampolin dalam cuaca panas yang melampau sebagai satu bentuk hukuman. Kejadian ini berlaku di Odessa, Texas pada 29 Ogos 2020 dan kes ini akhirnya dibawa ke mahkamah di mana kedua-dua ibu bapa angkatnya disabitkan dengan kesalahan jenayah yang serius.

     Jaylin Schwarz tinggal bersama ibu bapa  angkatnya iaitu Daniel Schwarz (48 tahun) dan Ashley Schwarz (38 tahun) di rumah mereka di Odessa, Texas. Dia diambil sebagai anak angkat bersama seorang lagi adik-beradik. Berdasarkan penyiasatan, kedua-dua Jaylin dan adiknya sering menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh ibu bapa angkat mereka.

     Pada 29 Ogos 2020, Jaylin dipaksa untuk melompat di atas trampolin di halaman belakang rumah mereka sebagai satu bentuk hukuman. Tidak cukup dengan itu, dia juga tidak dibenarkan untuk makan sarapan sebelum menjalani hukuman tersebut. Lebih teruk lagi apabila Jaylin dilarang minum air sepanjang tempoh itu.

     Pada hari kejadian, suhu di Odessa, Texas dilaporkan mencecah sekitar 43°C (110°F). Namun suhu permukaan trampolin yang dipaksa digunakan oleh Jaylin dipercayai jauh lebih tinggi. Berdasarkan siasatan, suhu di atas trampolin dianggarkan sekitar 43°C manakala suhu permukaan tanah boleh mencecah 65°C (150°F). Jaylin terpaksa melompat di atas permukaan yang panas ini tanpa sebarang perlindungan hingga menyebabkan tubuhnya kehilangan cecair pada kadar yang sangat berbahaya. Jaylin akhirnya tumbang akibat dehidrasi yang melampau. Pada ketika itu, sudah terlambat untuk menyelamatkannya.

     Sebaik pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, Jaylin didapati sudah tidak lagi bernyawa. Pemeriksaan awal menunjukkan bahawa tubuh Jaylin mengalami kesan haba yang melampau dan dia mengalami dehidrasi teruk. Bedah siasat yang dijalankan kemudian mengesahkan bahawa punca kematian Jaylin adalah dehidrasi yang berkaitan dengan suhu panas melampau dan ia diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

     Pihak berkuasa juga menemui bukti bahawa Jaylin bukan sahaja dilarang minum air ketika melaksanakan hukuman itu tetapi dia juga dipaksa untuk melompat secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Berdasarkan laporan saksi dan bukti di tempat kejadian, Jaylin mungkin telah dipaksa melompat selama berjam-jam sebelum dia pengsan akibat kehilangan cecair yang terlalu banyak. Adik Jaylin yang turut tinggal bersama ibu bapa angkat mereka, menjadi saksi utama dalam kes ini. Dalam perbicaraan di mahkamah, adik Jaylin mendedahkan bahawa penderaan ke atas mereka telah berlaku berulang kali dan Jaylin sering dihukum secara kejam oleh ibu bapa angkat mereka.

     Berikutan kematian tragis ini, Daniel dan Ashley Schwarz ditahan dan didakwa atas kesalahan pembunuhan peringkat pertama (capital murder) serta pengabaian terhadap kanak-kanak yang membawa kepada kematian. Menerusi perbicaraan yang berlangsung pada 1 Mei 2023, Ashley Schwarz telah disabitkan bersalah atas tuduhan pembunuhan peringkat pertama dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol. Pada 7 Mac 2025, Daniel Schwarz mengaku bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat (manslaughter) dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun.

     Kes ini memberi kesan besar kepada masyarakat terutamanya dalam kesedaran mengenai penderaan kanak-kanak. Ia menunjukkan bagaimana penderaan fizikal dan pengabaian boleh membawa kepada kematian yang tragis. Ramai pihak menyeru supaya sistem pemantauan terhadap ibu bapa angkat diperketatkan agar kejadian seperti ini tidak berulang.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Jaylin Schwarz yang Benar-Benar Meyedihkan"