Kuasa Netizen Korea (Knetz): Sokongan atau Penghancur Karier Selebriti?

Netizen Korea atau lebih dikenali sebagai Knetz, terkenal dengan pengaruh besar mereka dalam dunia hiburan Korea Selatan. Hanya dengan hanya satu hantaran di forum dalam talian, mereka mampu mengubah perjalanan karier seseorang selebriti sama ada melonjakkan populariti atau menghancurkannya dalam sekelip mata. Fenomena ini bukan sesuatu yang asing dalam industri K-pop dan drama Korea di mana banyak selebriti telah menjadi mangsa tekanan serta kecaman mereka.
Knetz merujuk kepada pengguna internet Korea Selatan yang aktif di platform seperti Naver, Nate Pann, TheQoo, DC Inside dan Instiz. Mereka sering membincangkan topik berkaitan hiburan, muzik dan isu semasa. Perbincangan ini tidak sekadar bersifat santai sebaliknya mereka bertindak seperti ‘hakim’ yang menentukan siapa layak untuk terus berada dalam industri.

Knetz mempunyai dua sisi berbeza. Dari satu sudut, mereka boleh menjadi penyokong kuat selebriti, membantu mempromosikan artis dengan komen positif dan sokongan tidak berbelah bahagi. Namun jika mereka tidak menyukai seseorang, mereka boleh menjadi penghancur karier dengan memulakan boikot besar-besaran serta mendesak syarikat hiburan untuk mengambil tindakan drastik seperti menamatkan kontrak atau menggugurkan seseorang daripada projek besar. Selain itu, mereka juga terkenal dengan sikap ‘detektif internet’ iaitu menggali masa lalu selebriti untuk mencari sebarang kesalahan atau kontroversi yang boleh dijadikan alasan untuk memburukkan nama artis tersebut.
Pengaruh Knetz dalam industri hiburan sangat besar sehingga keputusan syarikat hiburan sering bergantung pada reaksi mereka. Beberapa kes menunjukkan betapa kuatnya kuasa ini dalam menentukan kejayaan atau kejatuhan seseorang artis. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tuduhan buli sekolah menjadi isu utama dalam kalangan selebriti Korea. Tuduhan ini biasanya dimulakan oleh individu tidak dikenali di forum dalam talian yang mendakwa telah menjadi mangsa buli seseorang selebriti semasa zaman persekolahan mereka. Sebagai contoh, Kim Garam iaitu bekas ahli kumpulan LE SSERAFIM, disingkirkan hanya beberapa minggu selepas debut akibat dakwaan buli sekolah yang tersebar dalam talian. Begitu juga dengan Soojin (G)I-DLE yang terpaksa meninggalkan kumpulannya selepas seorang individu mendakwa dia telah membuli rakan sekolahnya, walaupun tiada bukti kukuh dikeluarkan.

Knetz juga sangat sensitif terhadap kehidupan peribadi selebriti terutamanya apabila berkaitan dengan hubungan percintaan. Dalam dunia K-pop, ramai peminat menganggap idola mereka sebagai "milik peminat" dan jika seorang selebriti didapati bercinta, mereka boleh kehilangan peminat dalam jumlah yang besar. Sebagai contoh, Kim Seon-ho, seorang pelakon popular yang hampir kehilangan kariernya selepas bekas teman wanitanya mendakwa dia memaksa pengguguran kandungan. Walaupun tuduhan itu kemudian terbukti tidak tepat, reputasinya sudah pun terjejas dan beberapa projeknya dibatalkan. Sementara itu, pasangan selebriti HyunA dan Dawn kehilangan kontrak mereka dengan Cube Entertainment selepas mengumumkan hubungan mereka secara terbuka dipercayai akibat tekanan daripada peminat dan Knetz.
Dalam dunia K-drama, pemilihan pelakon sering menjadi topik kontroversi di kalangan Knetz. Jika mereka merasakan seseorang pelakon tidak sesuai untuk sesuatu watak, mereka boleh memulakan petisyen mendesak pengarah untuk menggantikan pelakon tersebut. Sebagai contoh, pelakon Ji Soo terpaksa meninggalkan drama River Where the Moon Rises selepas didakwa terlibat dalam buli sekolah walaupun tiada bukti sah dikeluarkan. Begitu juga dengan Seo Ye-ji yang menghadapi kecaman besar selepas tersebarnya dakwaan bahawa dia mengawal dan memanipulasi bekas teman lelakinya, Kim Jung-hyun, sehingga menyebabkan perubahan sikapnya di set penggambaran drama.

Walaupun Knetz sering berperanan sebagai ‘penjaga moral’ dalam industri hiburan Korea, mereka tidak selalunga betul. Banyak kes menunjukkan bahawa mereka sering terburu-buru menjatuhkan hukuman sebelum bukti kukuh didedahkan. Sebagai contoh, pelakon Kim Seon-ho kembali menerima sokongan selepas kebenaran tentang skandalnya terbongkar tetapi kesan buruk akibat kecaman awal daripada Knetz sudah pun merosakkan reputasinya. Begitu juga dengan Lucas (NCT) yang dituduh terlibat dalam skandal percintaan dan manipulasi tetapi sehingga kini masih tiada bukti sah yang dikeluarkan untuk menyokong dakwaan tersebut. Dalam kes lain, Tzuyu (TWICE) pernah dikecam hebat oleh Knetz dari China hanya kerana mengibarkan bendera Taiwan dalam sebuah rancangan televisyen meskipun niatnya tidak bersifat politik.
Masalah utama ialah apabila sesuatu tuduhan sudah tersebar ia sukar untuk dibendung dan walaupun kebenaran akhirnya terungkap, selebriti tersebut mungkin sudah kehilangan kepercayaan daripada peminat dan syarikat hiburan. Jadi, adakah Knetz lebih banyak membawa kebaikan atau keburukan kepada industri hiburan Korea?
Catat Ulasan for "Kuasa Netizen Korea (Knetz): Sokongan atau Penghancur Karier Selebriti?"