Cassie Dedah Penderaan Fizikal dan Seksual oleh P. Diddy dalam Perbicaraan Mahkamah

Perbicaraan jenayah terhadap mogul muzik terkenal iaitu Sean P. Diddy Combs secara rasminya bermula pada 6 Mei 2025 di Mahkamah Persekutuan Manhattan, New York. Perbicaraan ini menarik perhatian dunia kerana melibatkan pertuduhan serius terhadap salah seorang individu paling berpengaruh dalam industri hiburan Amerika Syarikat. Terdahulu, Combs menghadapi lima pertuduhan utama termasuk konspirasi untuk pemerasan, pemerdagangan seks, pengangkutan individu untuk tujuan pelacuran, penderaan fizikal dan rogol. Kes ini menjadi lebih sensasi apabila bekas teman wanitanya, Cassandra Cassie Ventura tampil sebagai saksi utama dan mendedahkan pelbagai bentuk penderaan yang dialaminya sepanjang menjalin hubungan selama lebih sedekad bersama Combs.
Menurut keterangan Cassie di mahkamah, hubungan mereka tidak pernah setara. Sejak awal, Combs telah menunjukkan kawalan luar biasa terhadap hidupnya baik secara peribadi mahupun profesional. Cassie mendakwa bahawa dia bukan sahaja dikawal dalam aspek pergaulan dan kerjayanya malah sering dipaksa terlibat dalam hubungan seksual yang menjijikkan dan melibatkan orang ketiga yang dikenali dalam kalangan rapat mereka sebagai freak-offs. Dalam aktiviti ini, Cassie diarahkan untuk melakukan hubungan seks dengan lelaki lain di hadapan Combs yang akan merakam aksi tersebut sebagai bentuk penguasaan dan ugutan. Rakaman itu digunakan untuk mengugut Cassie supaya tidak melawan atau meninggalkannya.

Lebih memilukan, Cassie turut mendakwa bahawa selepas mereka berpisah pada tahun 2018, Combs telah merogolnya dalam satu insiden yang berlaku di sebuah hotel mewah. Perbuatan itu dilakukan dalam keadaan penuh paksaan dan ugutan yang memperlihatkan bagaimana Combs masih cuba mengawal dirinya walaupun hubungan mereka telah berakhir secara rasmi. Keterangan Cassie turut menyentuh aspek penderaan fizikal termasuk kejadian-kejadian di mana dia dipukul, ditendang dan dikurung oleh Combs ketika marah atau cemburu. Antara kejadian paling terkenal adalah insiden tahun 2016 yang berlaku di Hotel InterContinental, Los Angeles di mana CCTV merakamkan Combs menyerang Cassie secara ganas di koridor hotel.
Video serangan tersebut telah tersebar luas selepas disiarkan oleh CNN pada Mei 2024. Dalam rakaman yang berdurasi kurang satu minit itu, Combs dilihat menumbuk dan menendang Cassie sebelum menyeret tubuhnya ke arah lif. Selepas rakaman itu tersebar dan mencetuskan kemarahan masyarakat umum serta selebriti antarabangsa, Combs akhirnya mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui satu kenyataan video. Dalam permohonan maaf tersebut, Combs mengakui bahawa perbuatannya pada malam tersebut adalah salah dan tidak boleh dimaafkan. Dia menyatakan rasa malu dan jijik terhadap tindakannya sendiri dan menyebut bahawa dirinya telah mendapatkan bantuan profesional sejak itu. Walau bagaimanapun, ramai pihak menganggap permohonan maaf tersebut tidak tulus dan terlalu lewat.

Sebelum pendakwaan jenayah bermula, Cassie memfailkan saman sivil terhadap Combs pada November 2023 dengan mendakwa bahawa dia telah dirogol, diperdagangkan untuk seks dan didera secara fizikal serta mental sepanjang hubungan mereka. Saman itu mengejutkan ramai pihak kerana ramai menjangkakan perbicaraan sivil akan berlangsung panjang. Namun ia akhirnya diselesaikan secara luar mahkamah hanya dalam masa sehari. Sumber media melaporkan bahawa Cassie menerima pampasan berjumlah sekitar USD 20 juta. Cuma penyelesaian sivil ini tidak menghentikan siasatan jenayah yang lebih besar yang sedang dijalankan terhadap Combs.
Combs kini sedang ditahan di penjara Brooklyn sementara menunggu perbicaraan jenayah penuh yang dijadualkan berlangsung sepanjang Mei dan Jun 2025. Permohonan ikat jaminnya telah ditolak sebanyak tiga kali oleh hakim kerana kebimbangan bahawa beliau mungkin mengganggu saksi, melarikan diri atau menyebabkan bahaya kepada keselamatan awam. Pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti-bukti fizikal termasuk rakaman video, gambar kecederaan serta mesej teks antara Combs dan Cassie yang menunjukkan kawalan berlebihan dan ugutan berterusan. Beberapa saksi lain juga dijangka tampil memberikan keterangan termasuk bekas pekerja dan individu yang turut menjadi mangsa dalam jaringan eksploitasi Combs. Artikel terdahulu tentang pesta P.Diddy boleh dibaca di sini : Freak Off Party, Pesta Jijik P. Diddy?
Catat Ulasan for "Cassie Dedah Penderaan Fizikal dan Seksual oleh P. Diddy dalam Perbicaraan Mahkamah"