Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

JANDA MUDA HAMIL DIBUNUH KEJAM: MAYAT DIBUANG DI PINGGIR JALAN


      INDONESIA – Seorang wanita muda yang sedang hamil empat bulan, Nurmaliza binti Sani, 29 tahun ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di pinggir jalan di kawasan sunyi di Desa Garung, Kecamatan Jabiren Raya, Kabupaten Pulang Pisau, Kalimantan Tengah. Mangsa yang juga seorang janda serta ibu kepada dua anak dipercayai dibunuh oleh lelaki yang dikenalinya sebelum mayatnya dibuang secara sembunyi oleh suspek.

     Mayat Nurmaliza ditemui orang awam pada pagi 13 Mei 2025 dalam keadaan tertiarap serta masih berpakaian lengkap dengan terdapat kesan kecederaan jelas pada bahagian leher. Penduduk tempatan yang menemui mayat itu segera memaklumkan pihak polis. Berdasarkan pemeriksaan awal oleh pihak forensik, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam sebelum ditemui. Hasil autopsi mengesahkan mangsa mati akibat dicekik menggunakan tangan hingga menyebabkan saluran pernafasannya terhimpit dan mengakibatkan lemas.

     Di tempat kejadian, pihak polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri tetapi berjaya mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan laporan kehilangan yang dibuat oleh ahli keluarganya sehari sebelum itu. Nurmaliza dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu keluarganya bahawa dia mahu bertemu seseorang.

     Mangsa dikenali sebagai seorang ibu tunggal yang bekerja sambilan sebagai jurujual barangan dalam talian. Dia tinggal bersama ibu dan dua anaknya di Palangka Raya. Menurut adiknya, mangsa sememangnya sedang mengandung anak ketiganya dan sebelum kejadian pernah menyuarakan kebimbangan mengenai teman lelakinya yang enggan bertanggungjawab terhadap kehamilan tersebut. Difahamkan mangsa telah mendesak agar lelaki terbabit menikahinya atau sekurang-kurangnya mengaku sebagai bapa kepada bayi dalam kandungannya.

     Menerusi petunjuk awal dan saksi yang mendakwa melihat mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza bersama seorang lelaki pada malam 11 Mei 2025, pihak polis mula menjejaki individu yang terlibat. Siasatan mendalam membawa kepada pengenalan suspek utama dikenali sebagai AJ, 31 tahun yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kafe di Palangka Raya.

     AJ dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan mangsa sejak beberapa bulan lalu. Sumber polis menyatakan bahawa motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada tekanan yang dialami suspek setelah didesak bertanggungjawab terhadap kehamilan Nurmaliza.

     Setelah kejadian, AJ dilaporkan melarikan diri dari Kalimantan ke Pulau Jawa. Pasukan khas dari Direktorat Reserse Kriminal Umum (Ditreskrimum) Polda Kalimantan Tengah dengan kerjasama Polda DIY (Daerah Istimewa Yogyakarta) berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah sewa di Kabupaten Kulon Progo, Yogyakarta pada 13 Mei 2025. Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan mengakui perbuatannya semasa disoal siasat awal.

     Berdasarkan keterangan awal suspek kepada pihak polis, AJ mengakui telah menjemput mangsa ke bilik sewa miliknya pada malam 11 Mei. Dalam pertemuan itu, berlaku pertengkaran kerana mangsa menuntut agar AJ mengaku sebagai bapa kepada bayi dalam kandungan dan menyatakan hasrat untuk memberitahu keluarga AJ tentang hubungan mereka.

     Pertengkaran itu memuncak apabila mangsa dikatakan mengugut akan mendedahkan hubungan sulit mereka di media sosial. Dalam keadaan marah dan panik, AJ bertindak mencekik mangsa dengan tangannya selama beberapa minit hingga mangsa tidak lagi bergerak. Setelah menyedari mangsa telah meninggal dunia, AJ membungkus mayat mangsa dengan kain cadar dan meletakkannya di dalam kenderaan.

     Pada awal pagi 12 Mei, suspek memandu keluar dari Palangka Raya dan membuang mayat mangsa di kawasan terpencil di Desa Garung yakni kira-kira 80 kilometer dari lokasi asal. Dia kemudian meninggalkan kereta dan menaiki pengangkutan awam ke Yogyakarta untuk bersembunyi.

     Ahli keluarga mangsa, terutama ibunya tidak dapat menahan sebak apabila menerima berita tentang kematian Nurmaliza. Mereka menyifatkan arwah sebagai seorang wanita penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. “Dia hanya mahu lelaki itu mengaku dan bertanggungjawab. Tak sangka dia dibunuh kejam begitu,” kata salah seorang ahli keluarga.

     Pihak polis telah membawa suspek pulang ke Kalimantan Tengah untuk siasatan lanjut dan pertuduhan rasmi. Suspek dijangka didakwa di bawah Pasal 340 KUHP iaitu pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Catat Ulasan for "JANDA MUDA HAMIL DIBUNUH KEJAM: MAYAT DIBUANG DI PINGGIR JALAN"